Saturday, August 23, 2008

Masjid cina

Masjid cina

Alhamdulillah, dua hari lepas saya dan sahabat, sufian pulang ke kampung halaman di kelantan, kesempatan selama dua hari di sana digunakan sebaiknya untuk melawat beberapa tempat menarik sekitar kelantan, dan salah satu tempat yang amat menarik perhatian adalah masjid cina yang kini masih dalam pembinaan di Rantau panjang. Meskipun masih lagi dalam pembinaan, namun binaan cina telah jelas kelihatan.

Dewan solat utama

Kesatuan ummat
Di awal cadangan pembinaan masjid ini, ada pihak yang mengatakan tindakan mendirikan sebuah masjid dengan senibina cina, seolah-olah memecahkan masyarakat islam, kerana masjid ini akan menjadi masjid yang khas buat orang cina, dan orang islam berbangsa lain tidak boleh memasuki masjid ini dan hanya solat di masjid dengan senibina melayu, ini akan memecahkan kesatuan ummat islam.


Pada hakikatnya, matlamat penubuhan masjid cina ini bukanlah untuk memecahbelahkan ummat islam, sebaliknya bermatlamat dakwah. Persepsi masyarakat non muslim di Malaysia, masuk islam bererti masuk melayu, seolah-olah islam itu khusus untuk orang melayu, sedangkan di negara China, terdapat lebih 20 juta muslim, melebihi ummat islam melayu di Malaysia, maka dicadangkan pembinaan masjid ini bagi menunjukkan islam itu bukan khusus untuk orang melayu sahaja, risalah islam ini adalah rahmat Allah kepada sekalian alam, menembusi batasan nasionalism yang sempit.
Dalam kompleks masjid cina
Binaan bumbung

Baca Selengkapnya....

Thursday, August 21, 2008

Islam dan Jepun::satu imbauan sejarah yang menarik

(Artikel ini diambil daripada laman web Ust hasrizal Abd Jamil)
Modernist Islam, 1840 - 1940: A Sourcebook oleh Charles Kurzman mencatatkan satu peristiwa penting islam dan jepun....

Lebih 100 tahun yang lalu, tatkala Jepun diperintah di bawah kepimpinan Maharaja Mutsuhito Meiji (1867 - 1912), beliau pernah menghantar surat kepada ‘khalifah terakhir umat Islam’, Sultan Othmaniyyah iaitu Sultan Abdul Hamid II (1876 - 1909) di Istanbul. Surat itu merupakan perutusan dari seorang Maharaja ‘Timur’ kepada seorang Maharaja ‘Timur’ yang lain, menyatakan keinginan Maharaja Mutsuhito untuk mengangkat persamaan ketimuran itu ke tahap yang lebih tinggi. Matsuhito Meiji

“Kita berdua adalah Maharaja Timur, dan sudah tentu menjadi tuntutan keperluan sesama kita dan rakyat kita, untuk bersahabat dan saling berhubung, sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Barat sesama mereka, tatkala Barat itu juga melihat kita sebagai ’satu’ iaitu ‘orang Timur’. Beta melihat orang Barat menghantar misionari mereka ke negara ini untuk menyebarkan agama mereka kerana kebebasan beragama yang ada di sini…
Beta melihat tuan tidak melakukan perkara yang sama. Beta mahu tuan menghantar pendakwah-pendakwah ke negeri ini untuk mengajar dan menyebarkan agama tuan, yang boleh menjadi asas ikatan moral antara kita!”, titah Maharaja Mutsuhito Meiji di dalam perutusannya kepada Sultan Abdul Hamid II di ibu kota Ummah, Istanbul.

REAKSI KHALIFAH

Tatkala tamadun Islam di ambang keruntuhan dek serangan luar dan dalam, ketika itulah suatu negeri baru ditawarkan sebagai tapak menyuburkan Islam… bumi Jepun.
Sultan Abdul Hamid II

Surat Maharaja Meiji itu sangat menarik perhatian Sultan Abdul Hamid II. Di Istana Yildiz, sebuah komiti telah ditubuhkan untuk mengkaji akan hal ini. Komiti itu dibentuk bersama Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan, kedua-duanya sangat mengambil berat akan pelawaan luar biasa ini. Ketika itu, kedua orang penting Istana ini telah berpakat bersama Sayyid Jamal al-Din al-Afghani, reformis Muslim terkemuka di zaman itu yang bermastautin di Istanbul, untuk menyediakan perancangan berkaitan hal ini. Mereka pergi mengadap Sultan dan diskusi bermula.

“Kami mencadangkan agar sebuah rombongan deligasi dibentuk dari kalangan ilmuan Madrasah Istanbul untuk dihantar ke Jepun”, kata Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan.
Sayyid Jamal al-Din al-Afghani hanya mendiamkan diri. Sultan Abdul Hamid II merenung ke arahnya dan meminta pandangan al-Afghani. Sayyid Jamal al-Din al-Afghani

“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai, memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas ini mengikut keadaan semasa”, tegas Sayyid Jamal al-Din al-Afghani.

Sultan terdiam.

“Buat masa ini, cukuplah dihantar surat perutusan bersama hadiah-hadiah yang sesuai untuk memaklumkan kepada Maharaja Meiji bahawa jemputannya sudah diterima dan diberikan perhatian yang serius. Nyatakan yang tuanku akan menunaikan jemputan itu dengan sebaik mungkin”, simpul Sayyid Jamal al-Din al-Afghani kepada Sultan Abdul Hamid II.

Cadangan itu diterima.

Perutusan dihantar, namun agenda pendidikan khas untuk pendakwah Islam ke Jepun itu tidak terlaksana. Jemputan itu ditelan masa dan hilang dari ingatan…

Sultan Abdul Hamid II menggerakkan Agenda Pan Islamisma beliau dengan begitu agresif. Sayyid Jamal al-Din al-Afghani yang sering berkonflik bersama beliau, adalah ideologue yang tidak boleh dikesampingkan. Pan Islamisma adalah ibarat Islam sebagai ideologi politik, bertujuan membina ikatan emosi dan rasa antara umat Islam seantero dunia, agar bersatu padu mendepani imperialisma Barat yang semakin dominan.

Perutusan Pan Islamisma dihantar ke seluruh dunia.


PELAYARAN ERTUGRUL



ERTUGRUL


607 anak kapal bersama 57 pegawai telah memulakan pelayaran jauh menuju Jepun pada 14 Julai 1889, bersama Kapten Ali Bey sebagai ketuanya. Perjalanan membelah lautan itu sungguh dramatik. Persinggahannya ke India, dan Semenanjung Tanah Melayu sarat dengan pelbagai catatan yang berharga. Masakan tidak, kapal utusan khalifah bangsa Islam itu belayar dengan misi besar, mengajak kaum Muslimin bersatu dari Istanbul ke hujung terbitnya mentari harapan.

Selepas 11 bulan belayar, Ertugrul tiba di Yokohama pada 7 Jun 1890.

Rombongan yang dipimpin oleh Kapten Ali Bey itu disambut meriah oleh Maharaja Meiji dan penduduk Jepun. Mereka saling bertukar hadiah dan meriam ditembak ke udara sebagai mengalu-alukan ketibaan rombongan yang dinanti-nanti ini. Masyarakat Jepun keluar beramai-ramai berpesta dan berebut-rebut melihat bendera dan kapal Othmaniyyah.

Selama beberapa hari, pelbagai majlis diadakan. Ketibaan kaum Muslimin Othmaniyyah itu amat dialu-alukan.

TRAGEDI

“Tangguhkan sebentar. Ini musim taufan!”, pesan watan kepada tetamu.

Namun Ertugrul tidak bertangguh. 15 September 1890, Ertugrul berlayar meninggalkan Yokohama.

Hari pertama cerah menyinar. Kapal itu ceria dengan 1001 berita yang ingin disampaikan kepada Sultan di Istanbul. Namun segala-galanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila taufan 16 September datang seperti yang dipesan. Ertugrul terperangkap di dalam bencana.

Sehingga lewat malam, kapal dan kira-kira 600 anak buahnya dalam keadaan genting. Pelbagai kerosakan berlaku dan tatkala pekat malam mengundang pagi, Ertugrul terhempas berkecai merempuh terumbu di Pulau Oshima, tidak jauh dari pantai Wakayama yang berbatu.

Dalam jerit pekik warga utusan khalifah, Ertugrul tenggelam ditelan ombak. Lebih 500 anak kapal terbunuh. Maharaja Meiji menyambut berita itu dengan kesedihan.


Tugu peringatan Tragedi Kapal Ertugrul di Pulau Oshima hari ini

Terasa basah air mata saya mengenangkan kemalangan itu. Ia bukan sekadar kemalangan yang menenggelamkan kapal utusan Khalifah, ia juga menenggelamkan harapan ramai umat Islam di Kepulauan Melayu yang turut sama mengirimkan mesej ke kapal Ertugrul agar Khalifah mengusahakan bantuan membebaskan tanah air kita dari penjajahan Britain dan Belanda....




Bukan itu sahaja, ia turut sama menjadi siri bencana yang akhirnya menyaksikan tenggelamnya legasi Ummah apabila Sultan Abdul Hamid II sendiri digulingkan oleh Parti Ittihad ve Terakki pada 1909 dan Khilafah Othmaniyyah dengan rasminya dikebumikan pada tahun 1924… tiada lagi Islam dan Ummah sebagai satu. Turki menjadi Turki, Jepun sebagai Jepun, Tanah Melayu bergelar Malaysia, dan semangat persaudaraan Islam hilang ditelan masa.

Maharaja Meiji telah menjemput Islam dan Muslim… seakan semangat penduduk Madinah yang membuka ruang baru selepas kesempitan Mekah yang menekan dakwah.

Ada yang mengatakan masyarakat jepun itu umpama orang islam tanpa muslim, masyarakatnya terdidik dengan nilai-nilai yang amat dekat dengan islam, sayang mereka tidak mengucap dua kalimah syahadah...mereka sedang mencari makna hidup, tetapi siapa yang akan membimbing mereka, mungkin kita boleh katakan Jepun kini adalah Yathrib bagi akhir zaman ini..




Baca Selengkapnya....

Tuesday, August 19, 2008

Selepas bergraduan....



Bermula 14hb sehingga 17hb ogos yang lepas berlansungnya hari konvokesyen Universiti Sains Malaysia ke 38, USM setelah lebih 40 tahun ditubuhkan, sebagai universiti pertama ditubuhkan pasca kemerdekaan telah sekali lagi melahirkan graduan-graduan yang akan terjun ke medan masyarakat, berbakti kepada tanah air tercinta. Di sini, walaupun sudah agak lewat, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menggengam segulung ijazah setelah melalui segala jerit perih dalam usaha mendapatkan pengiktirafan akademik dari universiti terbaik di Malaysia. Terasa riang dan gembira apabila memandang wajah-wajah kegembiraan para graduan bergambar bersama keluarga, wajah-wajah kepuasan dan kegembiraan menggambarkan bertapa mereka menanti saat-saat ini. Kepada bekas aktivis PMIUSM yang bergraduasi pada tahun ini, khususnya abg amer shahreza, abg farid, abg zairul, kak azura, sesungguhnya pemergian antum semua amat terasa buat kami, warga PMIUSM. Moga antum semua diberkati Allah dan terus sukses dalam apa sahaja bidang yang antum ceburi.

Pada majlis konvokesyen kali ini, sekali lagi saya diminta oleh pihak Pusat Islam USM untuk mewakili pusat islam sebagai pembaca doa dalam majlis ini, namun bukan itu yang ingin dibicarakan di sini, tetapi peluang berada di atas pentas konvokesyen, di barisan hadapan, secara lansung memberi peluang kepada saya untuk melihat secara lebih dekat para graduan yang bergraduan pada majlis tersebut. Banyak wajah yang dapat saya perhatikan, ada yang senyumnya tidak hilang, sebenarnya tidak bergerak sejak berada di tangga hingga turun, ada yang naik dengan muka yang malas, keletihan menanti agaknya, ada yang dengan wajah selamba, tetapi wajah yang paling banyak dapat saya perhatikan adalah wajah-wajah yang takut, gemuruh agaknya, bila begitu kondisinya, aturan yang diterangkan ketika rehearsal pun kelam-kabut, tidak mengikut susunan seperti yang diarahkan marshal yang bertugas, ‘UP,UP’ kedengaran dekan di sebelah member isyarat, agar susunan yang kian kelam-kabut di pentas kembali kepada asal, selepas itu saya diberitahu pembawa cokmar yang dudukdi sebelah kanan, katanya sidang sebelum ini ada yang berjalan ke belakang rostrum, habis pening kepala marshal bertugas. Agak lucu bila memikirkan semua senario ini, terpikir di benak fikiran,”bagaimanalah aku masa konvo nanti”. Hm, tinggal setahun lagi, harap-harap segalanya lancar.

Inilah keadaannya apabila graduan-graduan ini hendak menuju ke tengah pentas, menerima ijazah yang akan dianugerahkan, maklumlah, inilah salah satu detik bersejarah dalam hidup mereka. Melihat para graduan yang memenuhi lebih tiga per empat Dewan Tuanku Syed Putra, ini baru untuk satu sidang, konvokesyen kali ini sahaja sudah lapan sidang, saya terfikir, ke mana mereka semua, para graduan ini akan pergi? Di sektor mana mereka akan berbakti? Moga-moga mereka semua akan menjadi aset terbaik walau di mana mereka bekerja sekalipun, bagi graduan-graduan muslim, harapannya mereka bukan sekadar mampu bertugas dengan baik, yang lebih utama mereka mampu menjadi agen islam, menjadi contoh individu muslim, cerminan kepada kecemerlangan akhlak dan pribadi yang diterapkan dalam ajaran islam. Allah swt berfirman di dalam al-Quran mengatakatan orang-orang beriman dan berilmu itu lebih tinggi darjatnya, malah ayat pertama yang diwahyukan kepada Baginda Nabi Muhammad saw juga adalah seruan membaca, menuntut ilmu. Dalam konteks masa kini, graduan-graduan muslim yang lahir daripada IPT merupakan mereka yang berilmu, malah diiktiraf keilmuan mereka.

Perlu difahami, darjat yang dikurniakan Allah swt itu adalah bagi mereka yang memanfaatkan ilmu itu sebagai jalan dalam mendekatkan diri mereka denganNya, malah digunakan juga ilmu tersebut untuk membawa manusia pulang kepada jalan yang haq, jalan yang Allah redha. Mendekati Allah adalah megenali sifat dan perananNya, bukan sahaja dalam merencana kegiatan alam, mengatur sistem-sistem di bumi yang saling berkaitan, malah dalam mengatur dan mentarbiyyah diri kita, tanpa ramai menyedari, sebenarnya segala yang berlaku dalam hidup disusun dan diatur oleh Allah swt, sesungguhnya sebaik-baik perancang itu adalah Allah swt. Ada yang Allah swt lahirkan dalam keluarga yang senang lenang, ada yang lahir dari keluarga yang miskin, ada yang diberi kelebihan tertentu, namun asal kita semua adalah sama, hamba Allah yang telah berjanji setia dengan Allah di alam roh. Bagi para mahasiswa yang belum bergraduan, Allah telah memilih kita untuk berada dalam gedung ilmu ini, manfaatkanlah sebaik mungkin. Bagi para graduan, terjunlah ke dalam masyarakat dan jadilah sebagaimana air mutlak, suci dan menyucikan, hati yang suci dan dekat dengan Allah dalam masa yang sama menyucikan mereka yang mencari-cari arah hidup.

Baca Selengkapnya....

Tuesday, August 12, 2008

Pendidikan Rohani

Pendidikan yang tepat dan jitu adalah pendidikan yang dilaksanakan dengan matlamat untuk mendidik, memberi kesedaran akan hakikat diri manusia itu sendiri iaitu roh. Roh atau rohani juga disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science) atau spiritual quotient (SQ). Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina 3 komponen manusia iaitu akal, nafsu dan roh. Pendidikan ini sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan pendidikan Barat yang hanya menumpukan pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Pendidikan ala barat ini melahirkan manusia yang tidak seimbang antara pembangunan akal, roh dan nafsunya.
Baginda Nabi Muhammad SAW memerintahkan ibu bapa agar mendidik anak-anak mengerjakan solat seawal usia 7 tahun. Ertinya, didikan secara praktikal dalam melatih dan membentuk SQ ini sudah bermula sejak usia tujuh tahun. Malah ibu bapa wajib memukul anak-anak jika mereka lalai dalam melaksanakan solat apabila telah mencapai usia sepuluh tahun. Ini menunjukkan persoalan solat adalah tanggungjawab yang berat yang telah diamanahkan kepada ibu bapa, kerana ia membina rohani dan pribadi individu muslim seawal usia muda.

Oleh kerana persoalan solat itu amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga tanpa mengecualikan anak kecil kerana inilah yang akan mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Kalau solat tidak dapat didisiplinkan, kehidupan keluarga akan menjadi kucar-kacir dan berterabur, ini juga menandakan islam memandang tinggi akan aspek displin dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Solat yang diprogramkan di rumah mampu untuk mengajak atau membuatkan anak-anak ini berfikir akan wujudnya Maha Pencipta, malah inilah satu langkah yang praktikal dalam proses membentuk rohani anak-anak. Dalam membina rohani atau apa sahaja elemen, ia mesti dididik sejak di usia muda, sebab itu ada pepatah melayu yang berbunyi, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Konsep ini sebenarnya dipraktikkan di luar negara.

Masyarakat Australia sebagai contoh, mengajar anak-anak mereka untuk hidup sebagai bangsa yang maju dan mampu untuk menguasai ekonomi dan dunia. Ini dimulakaan dengan melatih pelajar sekolah dasar menjual kek cawan (cup cake) untuk dijual ketika keluar dari rumah menuju ke sekolah. Manakala pelajar sekolah menengah pula diajar supaya berdikari dengan bekerja di pejabat setelah tamat waktu pengajian. Malah mereka disokong pula oleh majikan-majikan premis di tempat mereka bekerja secara sambilan (part-time). Ini merupakan satu contoh pembinaan yang dimulakan sejak dari kecil. Berbeza dengan fenomena yang berlaku di Malaysia, siswazah-siswazah universiti yang mengambil bidang pertanian dan ekonomi contohnya, mereka masih belum tahu apa itu pemasaran (marketing). Bagaimana bangsa Cina di Malaysia dapat menguasai tampuk ekonomi negara? Mereka juga mengajar anak-anak mereka berniaga secara kecil-kecilan sejak kecil lagi.

Kejatuhan mendadak nilai moral dan akhlak remaja islam pada hari ini, bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia, merupakan masalah pembentukan pemikiran dan pembinaan rohani, sana-sini kita dapat melihat gejala sosial yang kian meruncing, jika kita selidiki mereka yang bermasalah ini, kita mendapati berlakunya kepincangan dalam membentuk aspek rohani seawal usia muda lagi, sama ada di rumah mahupun di sekolah. Apakah mungkin, kita mahu melihat generasi berkualiti di masa depan, yang mampu memimpin Negara, mampu membela agama kita, andai aspek pendidikan asas ini tidak dipandang serius pada hari ini? Mengapa perkara sebesar sistem pendidikan bagi umat Islam yang boleh memperkasakan umat Islam ini tidak dikaji dan ddibinccangkan ddi peringkat nasional, atau global seperti OIC? Inilah satu persoalan yang perlu difikir oleh mereka yang punya kesedaran.

Baca Selengkapnya....