Thursday, February 19, 2009

Gerakan Islam Perlu Kembali Kepada Matlamat Sebenar

Mungkin ramai yang tidak menyedari hangatnya isu ini diperkataka seperti gerakannya juga yang tidak berapa disedari mengancam umat Islam ketika ini. Laporan-laporan daripada sumber media yang dipercayai, respon-respon mereka yang celik akan isu semasa bahkan ulasan-ulasan serta kritikan-kritikan yang boleh didapati daripada medium yang semakin popular iaitu blog turut menjadikan isu ini sebagai santapan utama yang dihidangkan oleh pengemar alam maya.

Bercampurnya segala rasa perasaan tatkala mata mula menatap dari satu artikel ke satu artikel yang panas membincangkan isu ini. Bukan propaganda politik yang ingin ditimbulkan, apatah lagi menyokong mahupun mengkritik mana-mana pihak, cuma ingin membawa para pembaca sekalian untuk celik akan isu semasa yang melanda masyarakat ketika ini sekaligus bersama-sama memerah otak dan juga membanting usaha dalam bertindak menyelesaikan permasalahan yang harus ditangani.

Kenyataan akhbar Berita Harian yang bertarikh 12 Februari 2009, menunjukkan gerakkan Sister in Islam (SIS) semakin aktif bergerak dalam masyarakat bahkan semakin melangkah keperingkat antarabagsa. Program MUSAWAH anjuran SIS seperti yang dilaporkan, dilihat bukan sahaja mencabar hukum Allah bahkan golongan Islam liberal ini cuba bertindak menjadi “golongan ulamak” yang membahaskan sesuatu untuk dijadikan fatwa.

Program tertutup yang berlangsung selama lima hari bermula dari tarikh 14 Februari 2009 ini dihadiri oleh 200 muslim liberal yang dijemput khas daripada 40 buah negara terpilih. Para ahli penalnya juga adalah terdiri daripada tokoh-tokoh Islam liberal seperti Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.

Isu-isu sensitif dalam Islam menjadi topik utama dalam forum ini antaranya ialah kesamarataan islam, gender, poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah dan aurat wanita. Forum ini cuba membahaskan hukum-hukam dalam Islam yang dilihat sebagai menindas hak asasi dan kebebasan wanita. Golongan ini melihat bahawa hukum syariah lebih berpihak kepada patriarchy (utamakan lelaki), dan objektifnya adalah mengubah undang-undang syariah mengikut acuan hak asai manusia tajaan tamadun Barat.

Tindakan Persatuan Ulamak Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) yang menyelar penganjuran program ini, menunjukkan beratnya maslahat yang bakal melanda umat Islam sekiranya resolusi yang bakal dicapai tersebar ke peringkat masyarakat. Respon daripada pihak lain juga seperti Lajnah Dakwah & Pembelaan Dewan Pemuda PAS Pusat (pemuda PAS), Datuk Dr Mashita Ibrahim dan lain-lain individu mengkhabarkan perlunya dititikberatkan isu-isu yang bersangkut-paut dengan Islam. Namun ini bukanlah pokok persoalannya. SIS yang bergerak atas nama memperjuangkan hak wanita ditambah lagi keangotaan ahlinya yang terdiri daripada golongan professional, mampu mempengaruhi masyarakat yang kurang mendalami ilmu agama.

Mungkin ramai yang mengkritik tindakkan kelompok ini kerana cuba membangkitkan kekeliruan umat Islam yang rata-ratanya adalah Islam keturunan dan Islam hanya pada nama. Namun demikian isu ini tidak boleh dilihat dengan menggunakan saluran emosi semata-mata tetapi perlulah dilihat dengan kaca mata objektif dengan menyelidik apakah bibit-bibit pencetus gerakkan ini. Sekiranya dilihat dengan lebih telus, gerakan ini sebenarnya mengandungi agenda hegemoni pemikir liberalisme agama dan hak asasi manusia tajaan barat.

Idealisme barat cuba diselit masuk secara halus dengan menggunakan istilah ‘kebebasan asasi’ dalam pemikiran umat Islam. Kelahiran kelompok ini dilihat sebagai produk barat yang berjaya dicipta, lahir dengan status professional Islam namun berpegang kepada pemikiran barat sebagai panduan, bahkan terdapat banyak lagi kelompok diluar sana yang mungkin baru berkembang-biak menebarkan sayap idealisme barat. Jesteru adakah kita hanya mampu menyelidik tanpa ada tindakan selanjutnya yang lebih agresif sifatnya untuk menghadapi kelompok ini?

Dimana penggerak-penggerak Islam yang laungannya bergema ingin memperjuangkan kalimah Allah, sedangkab isu gerakan ini begitu lancar dalam menyebarkan propaganda mereka.
Bukan ancaman luar sahaja yang perlu diselidik, ancaman dalaman itulah yang lebih wajib dikenal pasti untuk mencetus tindakan yang perlu digerakkan. Kelemahan komuniti Muslim yang membelakangkan agama bukan sahaja gagal dalam menangani masalah kekeluargaan hingga wujudnya kelompok seperti SIS, bahkan yang lebih menyedihkan ialah budaya sosial hidup sahaja pun tidak berlandaskan nilai-nilai etika dalam Islam, walhal Islam telah menggariskan sebegitu kemas segala panduan yang perlu bagi manusia.

Golongan ini perlu dididik dengan berhikmah oleh umat Islam yang faham agar tidak terjerat dalam jaringan liberalis yang suka memutar belitkan fakta dan kefahaman berkenaan hukum-hakam Islam. Ramai wanita muda, mahupun yang sudah berumur terperangkap dalam jaringan ini. Mugkin kerana kecetekan ilmu agama Islam, maka mereka menjadi keliru dengan realiti tersebut.

Golongan ini masih boleh diselamatkan jikalau kita benar-benar mengambil kisah akan masalah ini. Tetapi ternyata perjuangan akar umbi sebegini kurang menarik perhatian para a’milin amal Islami kerana politik kepartian yang sempit, parochial lebih digemari mereka. Benar, inilah realiti.

Jika dilihat, golongan yang terbaik untuk melakukan kerja-kerja de-feminisasi, dan de-liberalisasi ini adalah mahasiswa terutamanya golongan Muslimat. Dengan ilmu yang cukup, golongan mahasiswa mampu berdialog, menerangkan kepada golongan ini baik Muslim dan bukan Muslim akan perihal sebenar isu ini.

Sekarang ini, imej political Islam itu lebih tebal berbanding kelembutan Islam itu sendiri. Masakan tidak, ramai orang sudah muak dengan pendokong Islam yang pandai beretorik tetapi masalah komuniti sendiri tidak selesai juga. Kita gagal mendidik ahli masyarakat kita dengan berkesan kerana kita sendiri yang meletakkan benteng pemisahan tersebut!

Pergilah ke kampus-kampus dan lihat apakah golongan Islamis ini berkawan dengan budak-budak yang kontemporari? Sangat minimum sekali. Bagaimana nak memerintah negara kalau satu tahap daripada prinsip sulbah –yakni masyarakat Islam pun tak selesai lagi.

Melihat Musawah ini begitu rancak diusahakan, inilah peluang gerakan Islam untuk bermuhasabah kembali manhaj dakwah sebenar. Perkara ini tidak perlu dipolitikkan. Kurang bijak kalau kita politikkan perkara yang memerlukan kesatuan ummah. Ini masalah yang perlu diambil peduli oleh semua orang tetapi disebabkan golongan Islamis yang lebih bersedia maka amanah itu lebih berat di pundak mereka berbanding orang awam. Sunnatullah bukan tertegak atas prinsip revolusi tetapi evolusi.

Wallahu a’lam...

Baca Selengkapnya....

Diri ini

Bismillahirrahmanirrahim,

Segala puji jua adalah milik Allah, khalik yang agung lagi adil, dua minggu ini adalah minggu yang sangat sibuk, terdapat dua faktor utama, yang pertama adalah jadual jemaah yang sememangnya padat bulan ini, boleh dikatakan setiap minggu ada program-program penting hingga ke muktamar 15hb Mac nanti, ditambah pula persediaan setiap ahli MT dalam menghadapi AGM, sedikit sebanyak menekan kami di barisan pimpinan, minggu ini sahaja, hampir setiap hari mesyuarat selesai jam 2 pagi.


Di celah-celah kesibukan ini juga, Final Year Project(FYP) saya berada dalam keadaan 50%, selepas harvest minggu lepas, saya berada di fasa terakhir sebelum menganalisa semua data, harap-harap segala-gala lancar. Meskipun, telah berjaya harvest, biochemical tests yang mengambil masa hampir seminggu menghadiahkan tekanan baru, minggu lepas hampir setiap hari tidur di makmal, bila tak tahan ajak abg. H
afizi minum kat subaidah, abg. Hafizi selalu masuk makmal prof. Baha tengah malam.


Namun, ini adalah fitrah dan resam dalam hidup, gerak kerja dalam jemaah sepanjang berada di USM sedikit sebanyak membantu saya dalam menghadapi keadaan-keadaan seperti ini, sepanjang saya bersama jemaah, keletihan adalah tetamu rasmi, tekanan adalah sahabat paling akrab, dan ini semua memang telah mema
tangkan saya. Kadang kala saya merasakan saya mungkin tidak punya apa-apa jika tidak berintima’ dengan jemaah.


Saya bukanlah seorang yang dilatih atau didedahkan mengenai perjuangan islam secara terus atau dibina fikrah sejak di bangku sekolah lagi, pada tingkatan satu saya gagal memasuki kelas bahasa arab kerana saya tidak pandai membaca dan menulis jawi. Sepanjang di sekolah menegah, tidak banyak yang saya tahu, saya hanya ke masjid untuk solat jumaat. Solat berjemaah lima waktu di masjid bagi saya adalah untuk pelajar pondok di kampung saya. Di tingkatan lima, saya satu-satunya pelajar yang gagal dalam ujian tajwid. Saya masih ingat wajah ustazah Latifah yang terkejut waktu itu.


Namun, sepanjang masa itu saya dapat merasakan saya menginginkan sesuatu, memikirkan tentang hakikat diri, alhamdullilah, kakak dan ustazah saya banyak membantu dalam membina kefahaman asas saya. Sebelum ke matrikulasi, kakak mengingatkan saya agar menyertai usrah. Alhamdullilah, didorong keinginan itu, saya menyertai jawatankuasa surau an-nur KMPP, dan dari situ saya mula dibina oleh sahabat-sahabat.


Nidzam yang sentiasa senyum dan tajam pemikiran,

Rushdi, seorang hafiz dan fasih bahasa arab yang kaya dengan thaqafah,

Nabil, seorang yang tenang dan sentiasa mengambil pendekatan tasawuf,

Zunnur, seorang yang amat rendah diri meskipun berasal dari keluarga berada,


Zulhusni dan zuhaili, kembar yang sentiasa ceria tetapi tegas,


Mereka ini adalah teman akrab yang saya kenang dan hargai setiap masa, mereka adalah sahabat-sahabat yang Allah swt hadiahkan kepada saya, membimbing saya kembali kepada asal keinginan saya, iaitu mengenali hakikat kehidupan ini, dan tugas sebenar saya selaku hamba dan kahlifah Allah swt.

Setahun di KMPP banyak mengubah saya,

di sini kali pertama saya solat subuh berjemaah,

di sini saya membetulkan bacaan al-Quran,

di sini kali pertama saya qiamullail,

di sini kali pertama saya puasa isnin dan khamis,

di sini kali pertama saya menyertai usrah,

di sini kali pertama saya mendengar nama Hasan al-banna,

dan di sinilah saya merasakan kehadiran Allah dalam hidup,
serta mempraktikkan sunnah dalam hidup.

Asas ini saya bawa ke USM, dengan harapan ia akan terus subur dan bercambah, penyertaan dalam jemaah PMIUSM mematangkan saya. Saya tidak pernah bermimpi atau berangan untuk menjadi pemimpin, kerana saya anggap diri masih baru dan dalam proses belajar, lalu apabila diberi taklifan YDP PMIUSM 07/08, saya sedikit kekok dan kaku. Banyak sebenarnya kesilapan dan salah tanggapan saya dalam menjalankan amanah.

Namun setelah hampir dua sidang memegang taklifan ini, saya mula menyedari ini adalah pilihan Allah swt, ini adalah aturan Allah, ini adalah latihan Allah terhadap diri saya. Allah tidak akan meletakkan sesuatu yang tidak mampu seseorang itu menaggungnya, itulah keyakinan yang paling penting, dan kita perlu sedar Allah mengenali diri kita lebih dari diri kita sendiri.

Kini, bila saya mengenang kembali diri saya yang lalu, satu perasaan syukur, kasih dan terhutang budi kepada Dia yang mengatur segala-gala, yang telah memilih diri untuk menerima semua ini, inilah nikmat dari Allah, inilah kasih sayang dan cinta Allah swt, yang sering kali dilupai oleh manusia, nikmat Islam dan Iman.

Sepanjang saya bergerak kerja, saya dapat mengenali ramai orang yang asalnya amat teruk, ada yang pernah jadi kaki pukul dan taiko di sekolah, tetapi Allah swt pilih mereka ke dalam gelanggang amal islami, dan mereka inilah yang selalunya menjadi golongan berani mati dalam gerakan.

Ini adalah cinta Allah kepada kita, dalam sebuah hadith ada menyebut,

'Allah, apabila Dia kasih pada hambaNya, maka akan diberi faham akan agama ini'
(HR Bukhari)

Siapalah kita tanpa rahmat hidayah dan petunjukNya....






Baca Selengkapnya....

Tuesday, February 17, 2009

Kita Dengan Cara Kita

Boikot barangan Israel!!! laungan ini begitu lantang diperkatakan dan merupakan salah satu method yang digunakan sebagai tanda protes terhadap kezaliman yang dilakukan oleh Zionis Israel terhadap penduduk Palestin. Bahang ini juga turut memberi kesan kepada mahasiswa-mahasiswi yang senantiasa peka terhadap kemelut dunia ini. Namun begitu, relevankah modus operandi pemboikotan ini dilakukan? Dan sebagai mahasisiswa, masih adakah alternatif lain yang lebih efektif dalam menzahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap kekejaman zionis ini?

Menurut Exco Kepimpinan dan Kelestarian Sahsiah, Majlis Perwakilan Pelajar USM, saudara Adi Syahid Mohd Ali, mahasiswa perlu tampil mengemukakan pelbagai saranan bernas dan penyelidikan sebagai suatu medium mencelikkan mata dunia tentang apa yang harus kita lakukan untuk meruntuhkan bangsa yahudi ini. Dalam konteks pendidikan, mahasiswa perlu bangkit dengan idea-idea baru baik dari segi ekonomi, sosial, politik dan sebagainya.Dari sudut ekonomi, mahasiswa perlu memperkenalkan satu model ekonomi Islam untuk menghapuskan sistem ekonomi kapitalisme yang semakin terjejas kini. Beliau berkata demikian dalam forum We & Palestine yang diadakan pada 5 Februari di dewan kuliah A sebagai salah seorang ahli panel dalam forum tersebut.


Apabila kita ingin berbicara tentang ekonomi Islam, kita perlulah mengatahui bahawa hanya dengan Islam sahajalah kita selaku umat Islam mampu mendepani masalah ini dengan penuh efektif.

Saya, selaku Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam USM ingin menegaskan bahawa hanya dengan menggunakan sistem ekonomi berteraskan Islam sahajalah yang mampu menjamin kestabilan ekonomi negara kita bahkan ekonomi negara-negara Islam yang lain.

Jesteru, saya menyeru kepada semua mahasiswa Universiti Sains Malaysia khususnya yang beragama Islam marilah kita kembali menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar ke dalam kehidupan kita sehari-harian kerana hanya dengan Islam sahajalah kita mampu mengubati segala “penyakit” yang sedang dihinggapi oleh umat Islam kini tidak kiralah dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Untuk saudara Islam kita di Palestin sana, kita selaku Mahasiswa Islam perlulah terus berusaha semampu kita untuk menolong dan seterusnya bertawakkal kepada Allah SWT dengan cara berdoa kepada Allah SWT supaya bumi Palestin akan kembali aman di bawah naungan payung Islam dan daulah Islamiyyah. Sejarah telah membuktikan bahawa Palestin pernah dibebaskan oleh Amirul Mukminin, Umar al-Khattab r.a dan seterusnya disusuli dengan pembebasan Palestin oleh mujahidin Islam yang disegani kawan dan lawan iaitu Salahudin al-Ayubi, maka kenyakinan perlu dipantakkan bahawa pembebasan Palestin dari cengkaman Zionis Israel pasti akan terlaksana.

Baca Selengkapnya....

Hari Kekasih Untuk Kekasih?

Apakah hari Valentine? Siapakah Valentine sebenarnya? Kenapa ianya dikenali sebagai hari memperingati kekasih? Bila dan bagaimanakah sambutan ini bermula? Kenapa pada 14 Februari? Bolehkah hari Valentine ini disambut oleh umat Islam? Sebenarnya terdapat beberapa cerita tentang hari kekasih ini. Beberapa orang ulama juga telah membuat kenyataan mengenai hukum menyambut hari kekasih ini.

Daripada beberapa sumber, Valentine adalah nama bagi seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama tersebut di Rom ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Claudius II telah memenjarakan orang-orang Kristian pada pemerintahannya kerana mengamalkan agama yang bertentangan dengan agamanya. Oleh kerana Valentine seorang penyebar agama Kristian, beliau juga telah ditangkap dan diseksa di dalam penjara.

Ketika di penjara, Valentine tetap berusaha mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara melepaskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Raja Rom dan beliau diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Orang-orang Kristian menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Beliau disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.


Bagi penganut agama kristian, Valentine merupakan lambang kasih sayang sejati di antara seorang hamba dengan tuhannya dan dengan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu).

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine, idola mereka.

Dengan ini, kita harus sedar bahawa ‘Hari Kekasih’ yang dibawa oleh orang-orang Barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan dan merosak akhlak masyarakat Islam, kerana tanpa disedari senario menyambut ‘Hari Kekasih’ berlaku di kalangan remaja Islam masa kini. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu, apa yang lebih membimbangkan bukanlah setakat berutus-utus kad ucapan dan hadiah, atau meraikannya di kelab-kelab disko, tetapi kemungkinan adanya segelintir remaja yang sanggup menghadiahkan kehormatan diri demi membuktikan kesetiaan.

Maka, ingatlah bahawa mengamal dan mengikut budaya asing, terutamanya di dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran kerana perkara-perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang-orang Islam bahkan boleh menjejaskan keimanan dan akidah kita.

Baca Selengkapnya....

Sunday, February 1, 2009

Tahniah MPP UiTM

Merujuk kepada halaman 23 dalan akhbar harian metro bertarikh 29 Januari 2009, saya amat tertarik kepada petikan yang bertajuk ‘MPP UiTM beri penekanan pembentukan akhlak pelajar’. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah buat yang berjaya meraih kepercayaan mahasiswa untuk bergelar ahli Majlis Perwakilan Pelajar UiTM yang diketuai oleh saudara Mohd Mursyidi Mohd Diah.


Jujur saya katakan saya amat memuji langkah yang ingin diambil oleh MPP UiTM yang ingin menumpukan aspek kerohanian pelajar seperti yang dikatakan oleh Mohd Mursyidi dalam keratan akhbar Metro tersebut. Benar sekali apa yang di katakan oleh beliau, di tambah pula dengan perancangan untuk mengadakan program kecil demi membentuk akhlak murni pelajar. Namun sejauh mana program kecil yang bakal dilaksanakan mampu merubah akhlak individu menjadi persoalan.

Jika diselusuri sirah nabawiah, akhlak adalah antara perkara pertama yang di tekankan oleh Allah kepada rasul junjungan nabi Muhammad saw. Rasulullah diperintahkan untuk menyampaikan risalah Allah kepada seluruh umat manusia di samping mempraktikkan ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Akhirnya, Islam diwarisi secara turun temurun dari satu generasi kepada satu generasi yang lain sebagaimana asalnya tanpa sebarang keraguan dan syak wasangka. Salah satu paksi utama yang menegakkan islam adalah dari segi akhlak, Allah memuji akhlak rasulullah melalui firmanNya dalam al-Quran,

Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.’
( Al-Qalam:4)

Dalam erti kata lain, akhlak Islam tidak dapat dipisahkan dalam setiap gerak geri kehidupan manusia tidak kira sama ada dalam hubungannya dengan Allah mahupun hubungannya sesama manusia, malah ia merupakan antara hikmah yang paling utama di sebalik pensyariatan sesuatu ibadat dalam Islam. Sebagai contoh, ibadah solat yang disyariatkan oleh Allah dijelaskan hikmahnya melalui firmannya,

‘Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dati perbuatan keji dan mungkar’. (surah Al-‘Ankabut:45)

Ringkasnya ruang lingkup akhlak dalam Islam adalah mencakupi seluruh kehidupan kerana akhlak merupakan simbol kepada amalan kerja dan perlakuan di dalam kehidupan. Justeru amalan menolong orang lain adalah akhlak, menjadi pemimpin yang adil adalah akhlak, beriman kepada Allah dan menyembahNya adalah akhlak. Kebajikan itu ialah akhlak dan akhlak itu adalah kebajikan. Amalan kebajikan sama ada untuk maslahat individu mahupun untuk maslahat umum termasuk dalam ruang lingkup akhlak. Namun perlu diingat saudara-saudaraku, sesuatu amalan kebajikan tidak diambil kira kecuali dengan asas iman dan ibadat.

Akhlak ialah tabiat manusia, bukan mudah untuk memiliki akhlak yang mulia bagi sesetengah individu. Mujahadah iaitu melawan hawa nafsu dan juga menjauhkan diri akhlak yang buruk memerlukan satu kekuatan dalam seseorang individu. Dalam konteks sebagai pemimpin mahupun yang dipimpin, akhlak yang digarap perlulah selari dengan syariat yang telah ditetapkan oleh islam.

Saya menyeru kepada semua khususnya yang bergelar pemimipin, untuk merubah seseorang individu dalam membentuk akhlak yang mulia kita perlu selangkah kehadapan memperkuatkan diri dengan akhlak yang mulia, berakhlak mulia kepada sesama muslim juga kepada bukan muslim sesuai dengan contoh yang di anjurkan oleh pemimpin junjungan kita Nabi Muhammad saw.

Kepada barisan kepimpinan MPP UiTM, saya doakan agar usaha mulia kalian dalam merubah akhlak pelajar UiTM akan dipermudahkan oleh Allah swt. Moga-moga usaha ini mampu merubah generasi pelapis akan datang, seterusnya membina masa depan islam yang lebih cerah.

Baca Selengkapnya....