Tuesday, September 29, 2009

Merawat budaya kuning anak-anak (Ust Hasrizal)


“Kita ambil yang inilah. Biar sama dengan warna baju Abi” kata Ummu Saif kepada anak sulung kami.

“Ok!” jawabnya ringkas. Setuju tetapi dengan air muka yang tidak setuju.

Berbaju raya sewarna sedondon ini bukanlah kemestian bagi kami. Hanya sesekali. Fadhilatnya, memudahkan pengenalan diri tatkala anak-anak saudara sejumlah 36 orang itu mencabut baju seragam raya. Mudah untuk dikenal baju siapa, berpandukan warna.

“Yop sebenarnya nak baju warna apa?” saya tidak berpuas hati dengan reaksi anak yang tidak suka dengan baju yang bakal dipakai.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu membazir membeli pakaian yang nak dipakaikan kepada si anak, tetapi mengikut selera ibu bapa. Sedangkan harganya sama sahaja. Kenapa mahu dipaksa anak-anak memakai baju mengikut pilihan kita yang dibenci anak-anak?

Nanti kalau sikap seperti ini dibiarkan, silap-silap siapa suami dan isteri si anak pun mahu kita tentukan bila sampai masanya nanti.

“Yop nak baju warna kuning” jawab si anak.

“Hmm… kuning tak ada saiz. Nantilah kalau jumpa di tempat lain, kita tengok” saya membuat janji.

Tanpa bertangguh, kami sekeluarga segera pulang ke rumah selepas selesai membeli pakaian anak-anak. Suasana di pasaraya sangat sesak dan kami tidak mahu mendedahkan diri dan anak-anak kepada bahaya jangkitan H1N1 yang masih hangat.

RAHSIA WARNA KUNING

“Kenapa Yop nak baju warna kuning? Baju t-shirt nak kuning, baju Melayu pun nak kuning” saya cuba mengorek rahsia, selepas tiba di rumah.

“Yop suka kuning” jawabnya.

Hairan.

Macam mana boleh minat dengan warna kuning? Tiada sentuhan kuning di rumah kami.

“Kenapa Yop suka warna kuning?” saya bertanya lagi.

“Kuning warna kaya. Orang kaya!” jawab anak saya, malu-malu.

“HAH!?” tercengang saya dibuatnya.

Jawapan yang langsung tidak diduga.

“Yop suka pakai baju warna kuning sebab Yop suka kayalah, ya?” saya mahukan kepastian.

Dia mengangguk.

“Siapa kata warna kuning warna orang kaya?” saya menyambung pertanyaan lagi.

“Tak tahu. Kuning emas kot” jawabnya, selamba.

“Astaghfirullah. Materialistik sungguh!” saya menggaru kepala.

Entah di mana idea itu datang. Idea mahu kaya, mahu kelihatan kaya dan mengaitkan kuning dengan kekayaan.

“Lepas ni Abi rasa Yop tak payahlah gosok gigi. Biar gigi kuning. Baru nampak macam orang kaya. Orang kaya semua kuning. Baju kuning, gigi pun kuning!” saya melontar provokasi.

“Tak nak, tak nak” katanya tersengih-sengih mendengar cadangan saya.

IDEA YANG TIDAK SIHAT

Saya tidak suka dengan idea-idea kebendaan hinggap ke kepala anak-anak.

Keluarga kami tidaklah kaya dan tidak juga susah. Serba sederhana. Berbelanja masih mengira-ngira dan membeli mesti ada bajet dan bukan sesuka hati. Saya cuba pastikan kehidupan anak-anak tidak terganggu dengan kesusahan pada perkara-perkara yang penting buat mereka. Makan minum, pakaian, buku dan peralatan sekolah serta apa-apa yang bersangkutan dengan peningkatan diri mereka, saya cuba untuk tidak terlalu berkira.

Ada pun barangan yang tidak penting, dan mempunyai kesan yang tidak baik ke atas diri seperti PSP yang diinginkan si anak, saya tidak menyetujuinya. Dari semasa ke semasa, saya peringatkan mengapa PSP tiada dalam senarai. Cukuplah dengan komputer saya yang dikongsi bersama anak-anak, serta televisyen yang dipantau penggunaannya.

Daripada mana idea sukakan kekayaan dan mahu kelihatan kaya hinggap ke fikiran anak-anak saya?

Saya tidak dapat memastikannya.

Ia boleh datang daripada mana-mana sumber, dan soal itu tidak penting. Apa yang utama, ialah membetulkan kembali persepsi anak-anak terhadap kehidupan.

PERBANDINGAN

“Abi, nanti kalau Muiz dah besar macam mana?” kata Saiful Islam kepada saya.

“Macam mana apa?” saya tidak faham dengan soalannya.

“Nanti Muiz dah besar, kereta ni tak muat. Kenalah beli Alphard!” jawab anak saya.

Tersirap darah saya.

Geram pun geram juga.

Apabila pulang beraya, ada berbelas kereta adik beradik yang akan berkumpul di halaman rumah. Saya tidak pernah kisah siapa guna kereta apa, tetapi anak saya yang meminati ‘warna kuning simbol kekayaan’ itu, rupa-rupanya jatuh hati dengan Alphard pakciknya.

Sudah berkali-kali beliau asyik tanyakan saya tentang Alphard, meminta pandangan sama ada saya suka dengan kereta itu atau tidak.

Pada detik pertama, memang ada rasa terkilan di hati. Terasa apabila dibanding-bandingkan. Apakah anakku sudah lupa yang dahulunya kita pernah berhimpit-himpit di dalam ATOS comel, kereta pertama kami? Setelah keluarga membesar daripada anak dua menjadi empat, kami memberanikan diri melangkah ke peringkat hidup seterusnya dengan menjual ATOS berkenaan serta digantikan dengan kereta 7-Seaters tempatan seadanya.

Tiba-tiba, si anak seolah-olah tidak menghargainya dan lebih berminat dengan kereta bapa saudaranya yang lebih besar dan mewah.

PEDIH MENJADI MANGSA PERBANDINGAN

Tetapi saya terbalikkan perasaan itu dan berkata kepada diri sendiri tentang pahitnya menjadi mangsa perbandingan. Justeru kita sebagai ibu bapa, jangan suka membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain. Pahitnya sama bila anak-anak kita pula membandingkan kita dengan ibu bapa yang lain. Jangan buat anak-anak dengan apa yang kita tidak mahu mereka buat kepada kita.

Golden rule!

“Kamu tengok anak orang tu. Tertib, sopan, bijak. Tak bolehkah kamu jadi macam tu?” antara ayat-ayat ibu bapa yang boleh menghancurkan jati diri si anak.

“Kenapa kereta ayah tidak sebesar kereta pakcik itu?” itu pulang paku buah keras si anak kepada ibu bapa pula.

Jika tidak mahu dialog anak berisi racun perbandingan, kita sebagai ibu bapalah jangan memulakannya.

MENCARI PENYEMBUH

“Yop nak kaya?” saya bertanya kepada si anak.

“Nak!” jawabnya tanpa berselindung.

Tangannya masih di dalam poket baju Melayu, menggenggam duit raya barangkali.

“Kalau kaya dan banyak duit, Yop boleh beli apa?” saya bertanya lagi kepadanya.

“Beli apa-apa sahaja!” katanya dengan penuh yakin.

“Beli Alphard dan baju emas?” saya menyoalnya sambil menyindir.

Beliau mengangguk sambil tersengih. Faham dengan sindiran saya.

“Kalau Abi kaya, Abi boleh tak beli mata kat kedai kalau Yop buta? Ummi boleh tak beli telinga kat pasaraya kalau anak-anak dia pekak?” saya melontar soalan berfikir untuknya.

Saiful Islam terkejut.

Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.

“Kalau Abi kaya pakai Alphard, Abi boleh tak beli jantung kat hospital untuk ganti jantung yang rosak?” saya tambah lagi soalan.

Saiful Islam berubah sedikit air mukanya. Menggelengkan kepala lagi.

“Abi sangat bersyukur kepada Allah sebab duit Abi tak banyak tetapi anak-anak Abi semua sihat. Semua cukup kaki, cukup tangan, tiada yang cacat, tiada yang sakit. Abi bersyukur sebab kita tak kaya tapi kita bahagia” saya mahu memberi satu kesimpulan kepada anak-anak.

“Yop nak kaya ke Yop nak bahagia?” tanya Ummu Saif pula kepadanya.

“Nak bahagia” kata anak sulung kami.

Anak-anak yang lain hanya mendengar. Belum mengerti.

“Kalau nak bahagia, miskin boleh bahagia, kaya pun boleh bahagia. Syaratnya, kena bersyukur kepada Allah” balas Ummu Saif lagi.

“Jadi, Yop nak Alphard orang lain punya ke, atau kereta kita?” saya menyudahkan perbualan.

“Kereta kita” jawabnya.

“Alhamdulillah. Jom singgah kedai pekena nasi kandaq!” saya menarik nafas lega.

14_7

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” [Ibrahim 14: 7]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Baca Selengkapnya....

Sunday, September 27, 2009

Merasa diri besar dengan Allah..


Syawal 1430H ini mengajar saya sesuatu untuk peringatan hari esok. Bertapa banyak contoh Allah datangkan dalam memberi ibrah untuk baki kehidupan. Pada 3 syawal, saya menghadiri mesra iedulfitri mahasiswa bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan yang hadir ketika itu hanya bermatlamat untuk mendengar ucapan Tok Guru, kerana respon penonton kebanyakannya ketika ucapan Tok guru. Ucapan Tok guru hari itu agak keras dan tegas, kerana mesej Tok guru hari itu amat penting, iaitu, jangan sesekali manusia berlaku angkuh dengan Allah swt.

Angkuh dengan Allah bukan hanya apabila kita menganggap diri lebih besar dari Allah, tapi apabila kita membelakangkan kata-kata, amaran, peringatan Allah kepada kita, ia seolah-olah kita sudah lebih pandai dan tahu dari Allah, sedangkan kita hanyalah makhluk ciptaanNya. Tok guru datangkan satu hadith yang pertama kali saya mendengarnya, kurang ingat maksud matan yang lengkap, tapi isinya lebih kurang bermaksud, “Apabila manusia merasa diri kaya, maka dia lupa akan Allah swt”.

Merasa diri kaya dengan harta, seolah-olah harta itu mampu memberi jaminan keselamatan dan kasih sayang manusia padanya, adakah dia fikir harta itu mampu membeli redha Allah? Kaya dengan ilmu seumpama ilmu itu boleh memberi dia jalan keluar dari segala masalah, berdasarkan kepandaian dan kebijaksaan dia, lupa siapa yang memiliki ilmu mengatur dan menyusun fitrah alam ini. Kaya dengan pangkat, seolah-olah pangkat itu mampu menghindarkan musibah kepada dia, sedangkan Nabi Sulaiman yang menguasai binatang dan jin tunduk sujud pada Allas swt. Kaya dengan pujian, perhatian dan kasih sayang manusia, seperti semua pujian dan kasih sayang itu mampu menyelamatkan dia dari ajal dan api neraka Allah swt. selagi mana dia merasakan diri memiliki sesuatu, dia lupa siapa dia dengan Allah, sedangkan segala kepunyaan dia, jika bukan kerana kehendak dan izin Allah, tidak sekali-kali menjadi milik dia.

Saya teringat kata-kata Tok guru dua tahun lepas selepas solat subuh di Pulau Melaka, tok guru cakap pada kami, “Anda semua loni tengah belajar, tapi keno ingat, sejauh mana kito manusia ni belajar, kita cuma boleh belajar mengguna dan memanfaatkan cipataan Allah jah, manusia dio bino bangunan, pakai konkrit, besi, kayu, sekarang ni sapo hok buat kayu, batu, kerikil tu sumo, kalu Allah tok sedio bendo tu ko manusia, manusio boleh bino bangunan ko? Sebab tu kito keno ingat, pandai mano pun kito, jange dok ingat kito ni pandai sangat, hok Allah kato tu jangan dok lawan.” Bila manusia Allah berikan sedikit kelebihan, sungguh mudah manusia lupa asal usul, siapa yang menyempurnakan keperluan di waktu manusia masih di dalam janin, siapa yang memberi dia makan, siapa yang mentakdirkan dia berjaya dalam hidup, di waktu itu, manusia lupa batasan dia dengan Allah.

Di waktu inilah, manusia mula mengingkari kata-kata, amaran dan larangan Allah. Pengalaman yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, bagaimana seorang yang diberi kelebihan kebijaksaan, dan kecekapan dalam bekerja. Walaupun hanya berkelulusan diploma, mampu berjaya dalam kerjaya sehingga memegang jawatan No.2 dalam sebuah bank ternama di negara ini. Di waktu itu, segala-galanya mewah, pujian dan penghormatan sentiasa datang, makan mewah-mewah, sentiasa ke majlis-majlis VIP, namun di waktu itu, dia bersikap kasar dengan ahli keluarga, lupa arahan Allah untuk berlaku baik kepada isteri, dan anak-anak. Solat sentiasa terlepas, lupa siapa dia dengan Allah swt, lupa batasan pergaulan, seolah-olah tiada malaikat sedang merakam. Sekarang setelah Allah tarik semua jawatan dan dunia itu, diri tidak terurus, sanak-saudara tidak ambil kisah, kalau dulu pakai Mercedes, sekarang naik bas, kadang-kadang berjalan kaki, makan sekadar yang ada saja. Adakah kita merasakan semua yang kita ada sekarang mutlak milik kita?

Berapa ramai yang saya pernah tengok, apabila sudah besar, berkerjaya, merasakan diri sudah ada kedudukan, berlaku kasar dengan ibu sendiri. Sedikit kesilapan sahaja diherdik, dibuat seolah-olah ibu sendiri orang asing, yang mengharap ehsan si anak. Dia lupa siapa yang mempertaruhkan nyawa di waktu mahu melahirkannya, siapa yang menyusukannya, siapa yang bersabar dengan karenahnya, lupa hakikat apabila menitis air mata ibu kerana perbuatan si anak, bergegar arash Allah swt. Adakah manusia fikir jawatan dan kedudukan itu mampu menahan balasan Allah? Adakah Allah tidak mampu menarik semua itu dan menjdikan dia papa? MasyaAllah! Takutlah pada kekuatan dan azab Allah...

Yakinlah kehidupan kita di dunia ini hanyalah permainan yang sia-sia, segala-gala yang kita perolehi di dunia ini, harta, pangkat, pujian, kasih sayang, hadir dengan izin dan kehendak Allah, dan semua itu milik Allah. Jangan sekali-kali kita mengengkari Allah kerana sudah banyak diberikanNya dalam hidup kita, bersyukurlah dengan segala pemberianNya...

Baca Selengkapnya....

Saturday, September 19, 2009

Salam I'edulfitri 1430H

Assalamualaikum wtb,

Ingin mengucapkan selamat hari raya, maaf atas segala kesilapan dan terlanjur kata, mohon dihalalkan mana yang terlebih dan terkurang..

sempena kembalinya kita kepada fitrah ini, sama-sama kita memohon kepada Allah swt untuk dikekalkan atau diberi kekuatan untuk terus konsisten dalam mengekalkan aqidah ini...

InshaAllah...

"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"

Baca Selengkapnya....

Monday, September 14, 2009

Tautan Hati



Baca Selengkapnya....

Wednesday, September 9, 2009

"Camna eh nak jadi baik?"

“ Acap! Camna nak jadi baik?” Tanya alif kepada saya,

“ Camna ek? Err..ha...aku cadang kau start dengan dengar Ikim.fm” cadang saya,

“ Ooo... Sorry bro, aku tak layang lagu jiwang, geli aku dengar”

Lebih kurang begitulah perbualaan diantara saya dengan seornag sahabat 4 tahun lalu di KMPP. Alif adalah ketua praktikum H5P1 ketika itu, masuk semester kedua, walaupun mendapat 4.0, alif memutuskan untuk resing dari program matrikulasi kerana mendapat tawaran daripada Malaysia Airlines untuk mengikuti latihan seterusnya bekerja dengan MAS sebagai Aircraft engineer.

Bila saya kenang balik peristiwa ini, ia member satu gambaran kepada saya, bahawa sebenarnya semua orang mahu menjadi baik. Seteruk mana pun seseorang itu, mereka tetap manusia, fitrah manusia berkehendak kepada kebaikan. Akhlak yang baik, imej yang baik, layanan yang baik, dan mereka mahu menjadi seorang yang baik, itulah suatu perasaan yang ada dalam haati setiap manusia. Cuma, persoalannya macam mana? Segalanya bermula dengan hati, sebagaimana sabda baginda Nabi Muhammad saw,

“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati”
Riwayat Al-Bukhari

Hati kita adalah milik Allah, sejak alam roh lagi, hati kita cinta dan rindu kepada Allah,

“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172

Namun, sayangnya, sebaik sahaja lahir ke dunia, kebanyakan hati yang dulunya mengingati Allah mula melupai akan hakikat itu dek kerana dikaburi oleh dunia. Kecantikan dan kesenangan dunia ini menjauhkan dan melupakan mereka akan hakikat ini, namun fitrah itu masih berbekas dan memberi isyarat kepada diri. Maka, jika ditanya bagaimana caranya, maka tidak lain dan tidak bukan dekatkan dulu hati dengan Allah swt, tidak kira melalui mengikuti kelas-kelas agama, berpersatuan, mahupun mendengar lagu nasyid sekalipun.

Semua ini, jika tidak dimulakan dengan niat untuk medekatkan hati dan menyerah diri kepada Allah tidak akan mampu membuatkan kita mengenang kembali asal-usul kita, merasai kehadiran Allah swt dalam setiap detik kehidupan kita. Apabila hati ini berhajat untuk mengenali Allah swt semata-mata untuk mencintai dan meraih kasih sayangNya, InshaAllah akan dimudahkan Allah swt, sebagaimana diceritakan dalam sebuah hadith qudsi,

Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”

(Sahih Bukhari)

Mulakan dengan menyucikan hati, beristighfar kepada Allah atas segala dosa yang dilakukan sama ada sedar mahupun tidak, berdoa kepada Allah memohon ampunanNya, petunjuNya, penting untuk kita ingat, di saat berdoa, kita bukan mahu memberitahu kepada Allah apa yang kita hajati, kerana Allah sudah sedia maklum akan masalah kita dan apa yang kita hajati, sebaliknya, di saat berdoa itu, menyerahlah diri kepada Allah. Menyerah segala ego, kebesaran, kesombongan. Merendahkan diri dan merayu kepada Allah agar didekatkan hati denganNya, diizinkan menggapai redhaNya. Seterusnya banyakanlah berfikir akan Allah, kebesaranNya, kurniaNya, niatkan untuk lebih dekat dengan Allah.

Apabila hati sudah dekat dengan Allah swt, ia akan memandu setiap pergerakan manusia, sukar untuk timbul rasa dengki, sangsi, buruk sangka, mudah marah dan bermacam-macam lagi sifat mazmumah yang merosakkan akhlak manusia. InshaAllah...Allah juga menginginkan apa yang kita hajati itu..

Baca Selengkapnya....