Kita baru sahaja memasuki tahun baru Hijrah, tahun 1431 Hijrah. Kalendar hijrah dikira bermula pada tahun hijrahnya baginda Nabi Muhammad saw bersama sahabat yang mulia, Abu Bakar as-siddiq. Sebagaimana kita semua tahu, kalendar ini dicadangkan, diperkenalkan dan mula digunakan di saat Saidina Umar al-Khattab memimpin Khilafah islam. Sebelum itu, masyarakat islam hanya menamakan tahun berdasarkan peristiwa setiap tahun walau mereka sudah mempunyai kiraan bulan. Ini merupakan salah satu ijtihad dan kelainan yang dibawa oleh Saidina Umar dalam mencorakkan dan membentuk tamadun islam kala itu. Maka tidak hairan apabila nama beliau diletakkan di kedudukan yang lebih tinggi daripada Julius Ceasar, pembina tamadun Romawi dalam buku The 100: A Ranking of the most Influential Persons in History, kajian Dr. Michael H. Hart. Perspektif hijrah boleh dilihat dari perspektif yang pelbagai, bergantung apakah ibrah yang kita ingin dapatkan dari peristiwa penting dalam sejarah islam ini, terlalu banyak yang dapat kita pelajari dari peristiwa ini, sama ada dari segi kesetiaan dan kasihnya Abu Bakar kepada baginda Nabi Muhammad saw, keyakinan mutlak baginda saw kepada Allah swt, kekuasaan Allah swt dalam mengubah kebiasaan dan pelbagai lagi. Semalam saya tertarik dengan perspektif yang diketengahkan oleh Dr. Roslan melalui khutbah jumaat beliau yang menyentuh perspektif hijrah kepada perjalanan dakwah baginda Nabi Muhammad saw. Ya, dua fasa penghijrahan, penghijrahan aqidah, keyakinan, kebergantungan, kepercayaan dan kecintaan di Mekkah. Juga penghijran tindakan, sikap, akhlak, hasil dari penghijrahan pertama di Yathrib. Saya ingin berkongsi perspektif hijrah dari segi yang berbeza, satu segi yang dapat kita perhatikan dan ambil ibrah dari sikap, perancangan dan peranan yang dimainkan oleh Abu Bakar Radhiyallahu anh dalam menjayakan hijrah nabi ini. Apabila arahan hijrah ini dikeluarkan oleh baginda Nabi Muhammad saw, ia bukan lagi sebagaimana hijrah ke Habsyah, ia merupakan arahan dan wajib. Apabila Abu Bakar ingin berhijrah, beliau meminta izin dari baginda, tapi baginda menegahnya dan berkata, “Wahai Abu Bakar, tangguhkan dulu hijrah kamu. Semoga Allah datangkan teman bersama kamu dalam hijrah.” Mendengar arahan ini, Abu Bakar kuat merasakan yang bakal menemaninya berhijrah nanti adalah kekasihnya sendiri, Muhammad saw. Maka dengan dorongan hati ini, Abu Bakar tanpa disuruh terus merencanakan segala strategi dan kelengkapan demi memastikan hijrahnya, andai benar bersama Baginda Nabi Muhammad saw berjaya. Pada malam hijrah, selepas Baginda berjaya melepasi kepungan Quraiys itu, Baginda menemui Abu Bakar di rumahnya, maka bermulalah segala perancangan. Dua ekor unta dan segala persiapan sudah disediakan Abu Bakar sejak baginda meminta Abu Bakar menangguhkan hijrahnya lagi, hanya menunggu masa sahaja. Mereka bergerak ke selatan walaupun Madinah berada di utara, ini strategi pertama. Mereka bergerak ke Gua Thur, bagi menghilangkan jejak mereka, Abu Bakar memerintah pekerjanya, Amru Bin Fuhairah membawa kambing-kambing ternakannya mengekori mereka berdua ke Gua Thur, kambing-kambing ini juga disediakan demi tujuan hijrah. Sampai di Gua Thur, kedua-dua unta dibawa balik oleh Amru Bin Fuhairah. Nabi Muhammad saw dan Abu Bakar menunggu dan bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari tiga malam demi mencari masa terbaik bagi meneruskan hijrah, kerana mereka sedar, di saat itu seluruh Quraisy sedang berusaha menggagalkan hijrah mereka, maka mereka perlu melakukan yang terbaik pada waktu yang paling tepat! Selama tiga hari itu, mereka perlu mendapatkan maklumat yang sahih berkenaan perencanaan Quraisy. Abdullah anak Abu Bakar ketika ini berperanan sebagai pengintip, mencuri segala maklumat dari perbincangan-perbincangan pemuka Quraiys di waktu siang lalu disampaikan kepada ayahnya di Gua Thur di waktu malam. Asma’ anak Abu Bakar pula ditugaskan membawa makanan kepada Nabi Muhammad saw dan Abu Bakar. Bagi menutup segala jejak ini, Amru Bin Fuhair akan mengekori Abdullah dan Asma’ dengan kambing-kambing. Di samping itu membekalkan susu kepada Nabi Muhammad saw dan Abu Bakar. Setelah mendapat dan menganalisa segala maklumat dari Mekkah dan terdapat peluang barulah mereka meneruskan kembali hijrah. Amru Bin Fuhair menghantar semula unta lalu hijrah diteruskan. Dari selatan Mekkah, mereka bergerak dengan pergerakan zig-zag, bermula dari kanan ke kiri dan laluan mereka ini bersilang dengan laluan yang biasanya digunakan oleh pedangang, ia demi memastikan Quraisy keliru dan tidak dapat menjejaki mereka sepanjang perjalanan. Bagi tujuan ini, seorang yahudi bukan islam diupah sebagai penunjuk jalan memandangkan jalan ini tidak pernah dilalui dan boleh menyebabkan mereka sesat dan terputus bekalan lalu mati. Memandangkan laluan yang mereka lalui ini jauh dan tidak banyak tempat untuk berhenti medapatkan bekalan, maka bekalan secukupnya sudah disediakan sejak awal lagi. Semua ini direncanakan Abu Bakar dan menggunakan perbelanjaan Abu Bakar sehingga tiada sedikitpun harta yang ditinggalkan buat keluarganya di Mekkah. Abu Quhafah, ayah Abu Bakar yang sudah tua dan buta datang ke rumah Abu Bakar sebaik mereka berhijrah, bertanya kepada Asma’ ada atau tidak harta Abu Bakar tinggalkan kepada mereka sekeluarga. Asma’ mengisi kantung harta Abu Bakar dengan batu lalu memberikan kepada datuknya, sebaik mendapati kantung itu penuh Abu Quhafah berasa lega, hilang risaunya akan nasib anak-anak Abu Bakar yang ditinggalkan itu. Perlu kita ingat bertapa signifikannya hijrah ke Yatrib ini kepada perkembangan dan kesinambungan dakwah islam ketika itu. Ia adalah arahan dari Allah swt, demi memastikan islam mampu membina tamadun dan asas dalam menegakkan hakimiyyah Allah swt. Baginda ke Yathrib bukan lagi untuk berdakwah tapi menubuhkan daulah, mengimpilatasi segala keyakinan dan kepercayaan yang ditanam selama 13 tahun di Mekkah. Apakah akan terjadi andai hijrah ini gagal? Quraisy sudah membuat keputusan untuk membunuh Muhammad saw. Dengan kepentingan sebegini rupa, boleh saja Allah turunkan sekali lagi Buraq untuk membawa baginda ke Yathrib, sebagaimana 3 tahun sebelumnya dalam peristiwa Isra’ wa Mikraj. Maka dapat kita lihat di sini, untuk mencapai segala perkara perlu kepada usaha dan perencanaan yang teratur dan strategik. Lebih-lebih lagi benda yang besar seperti membina kerajaan islam dalam peristiwa hijrah ini. Dalam perencaan ini perlu kepada pengorbanan sebagaimana Abu Bakar berkorban demi menjayakan agenda perjuangan, tidak ditoleh kepada nasib anak-anak dan keluarganya demi agenda yang lebih besar ini. Perlu kepada maklumat yang tepat sebagaimana peranan yang dimainkan Abdullah Bin Abu Bakar sebagai intelligence. Maka, setelah segala persiapan dan usaha sudah dilaksanakan, maka bertawakkal kepada Allah swt akan hasilnya, sebagaimana tawakkalnya Baginda dan Abu Bakar saat Gua Thur didatangi Quraisy, di saat itulah Allah menghulurkan pertolongan, memerintah ular menyusur memadamkan jejak, memerintah labah-labah menutup pintu gua. Juga di saat Suraqah mengejar Baginda dan Abu Bakar di dalam perjalanan, sekali lagi Allah menurunkan pertolongan. Di saat ini juga baginda menawarkan gelang Kisra kepada suraqah demi menutup mulut Suraqah akan laluan yang mereka gunakan untuk hijrah. Dalam kehidupan seharian, kita lebih suka menunggu dalam bertindak, sedangkan Abu Bakar tanpa disuruh dan diberi hint terus bertindak. Kita lebih suka menuggu Allah menghulurkan bantuanNya sebelum kita berusaha habis-habisan dan mengorbankan segalanya untuk mencapai cita-cita. Kejayaan itu tidak mudah, namun kerana susah itulah ia dihargai, kerana pahitnya itulah ia memberi kemanisan. Tapi semua itu hanya mampu dirasai oleh mereka yang berusaha untuk mencapai kejayaan. Sama-sama kita menghijrahkan sikap kita, attitude kita, eager kita, desire kita, segalanya di dalam diri sebagaimana Nabi Muhammad menghijrahkan jiwa-jiwa selama 13 tahun sebelum Tahun 1 Hijrah.
Saturday, December 19, 2009
Ibrah Hijrah
Tinta pena MUHAMMAD ASHRAF MOHD SALLEH at 9:02 AM 0 komen sahabat
Sunday, December 6, 2009
Mengundang sangka buruk
Fitnah adalah sesuatu yang berdosa dalam islam, malah bagi kes-kes tertentu termaktub hukuman bagi mereka yang berbuat fitnah. Zina sebagai contoh, jika dituduh seseorang berzina tanpa mendatangkan bukti dan saksi sebagaimana dituntut syarak maka, dikenakan hukuman Qazaf kepada si penuduh. Sudah pasti semua orang benci diffitnah, tidak suka dituduh, tidak suka dipandang serong, dan itulah lumrah manusia, tiada siapa yang mahu dilihat dengan identiti buruk. Namun, pernahkah kita menilai apakaah peranan dan tanggunjawab kita dalam mencegah sangka buruk dan fitnah itu? Manusia secara asasnya akan menilai berdasarkan persepsi dan track record terhadap seseorang individu, organisasi dan tindakan seseorang. Sebagai contoh, kalau seseorang datang kepada kita, dan mengajak kita ke disko di hujung minggu, apa persepsi kita terhadap orang itu? Jika buruk, apa yang menyebabkan persepsi buruk datang pada fikiran kita? Sudah tentu kebiasaan yang terdapat pada disko itu, arak, sosial melampau, dadah, dan sebagainya. Tidak dinafikan bukan semua orang yang ke disko untuk itu, ada yang hanya ke disko untuk berjumpa kawan-kawan. Tapi sangka buruk kepadanya datang di atas tindakannya sendiri, dan dia tidak boleh menyalahkan orang lain di atas sangka buruk yang hadir itu, sebaliknya dia yang perlu menghalang sangka buruk itu. Islam mengajar kita agar menutup pintu-pintu yang boleh mengundang sangka buruk kepada diri kita. Terdapat satu hadis sahih dalam kitab imam muslim yang menyebut berkenaan sangka buruk ini, di satu malam, Soffiyyah isteri baginda datang menemui baginda di masjid ketika nabi sedang beriktikaf untuk bertanyakan beberapa soalan, pada malam itu, bukan giliran soffiyyah. Selesai bertanya, baginda menemankan soffiyyah pulang memandangkan malam telah gelap, dalam perjalanan dua orang sahabat ansar melihat kelibat baginda bersama seorang wanita. Datang sangka buruk, lalu mereka mempercepatkan perjalanan mereka, menyedari tindakan dua orang sahabat itu, baginda memanggil mereka, lalu menjelaskan yang bersama baginda adalah soffiyyah. Kata mereka, “Kami tidak bersangka buruk terhadap engkau ya Rasullallah” lalu jawab baginda, “Aku tahu kamu tidak sangka buruk , tapi aku bimbang syaitan akan lontar sangka buruk ke dalam hati kalian” Pengajaran yang dapat kita faham dalam hadis ini adalah, menjadi tanggunjawab setiap individu muslim, untuk menutup segalaa sangka buruk dan fitnah. Andai sangak buruk itu datang disebabkan tindakan kita sendiri maka adalah silap kita yang mengundang sangka buruk itu, dan kita jugalah yang perlu berusaha membersihkan sangka buruk tersebut.
Tinta pena MUHAMMAD ASHRAF MOHD SALLEH at 7:37 PM 0 komen sahabat