Friday, July 18, 2008

Ke Manakah Ilmu Membawa Kita??

Kita biasa mendengar sabda baginda nabi yang menyarankan kita menuntut ilmu, antaranya, ‘Jika kamu mahukan dunia, maka hendaklah kamu berilmu, jika kamu mahukan akhirat, maka hendaklah kamu berilmu, jika kamu mahukan kedua-duanya, maka hendaklah kamu berilmu’ (HR Bukhari) Sememangnya menuntut ilmu itu dituntut ke atas semua individu muslim, tanpa mengira lelaki atau perempuan, kerana ilmu itu cahaya yang menunjuk manusia jalan kebenaran, ilmu memandu manusia menuju jalan kehidupan yang benar, menegah manusia dari terbabas dari landasan. Ilmu yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar ilmu agama seperti ilmu tauhid, fiqh, tasawwuf, tafsir dan sebagainya, ilmu di dalam islam itu tidak streotaip. Ilmu-ilmu seperti kimia, biologi, perubatan, dan sepertinya juga termasuk dalam ilmu-ilmu islam, kerana hakikatnya semua ilmu di dunia ini datangnya dari Allah, malah Allah Maha Bijaksana. Kebijaksanaan Allah mengatur segala sistem-sistem dalam dunia ini merupakan petunjuk kepada mereka yang mencari makna diri. Allah berfirman yang bermaksud, ‘ sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, mereka yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi(seraya berkata): ‘Ya Rabbana!, tiadalah Engkau ciptakan sema ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, lantaran itu peliharalah kami dari azab nerakaMu’ (al-imran:190-191) Keyakinan akan wujudnya pencipta kepada alam ini turut diakui oleh seorang ahli sains, iaitu Sir Issac Newton, beliau berkata: ‘Janganlah ragu-ragu tentang adanya Yang Maha Pencipta, sebab tidak masuk akal, bahawa kebetulan yang mewujudkan pokok dari alam ini’. Keyakinan akan kewujudan Yang Esa akan timbul pada mereka yang berilmu, namun kita hairan mengapa ada di kalangan bijak pandai bergraduan dari universiti terbaik dengan rekod cemerlang, tetapi tidak mengenal Allah malah mengengkari perintahnya? Ada satu hadith yang berbunyi, ‘Pelajarilah apa sahaja yang kamu boleh belajar. Akan tetapi Allah tidak akan memberi ganjaran sehinggalah kamu ‘amalkan (apa yang kamu pelajari)’ Kadang-kadang kita merasakan apabila kita menuntut ilmu, kita sudah melaksanakan sebahagian dari tuntutan dalam agama, namun adakah ilmu itu kita gunakan untuk kita lebih dekat denganNya? Malah, apakah niat kita sebenarnya dalam menuntut ilmu? Betulkah untuk mengenal Allah? atau cukup sekadar untuk mendapat ilmu itu? Cukupkah sekadar beroleh ilmu untuk berbahas hukum dengan berjela-jela? Jika kita renung kembali, matlamat agama itu adalah demi mendekatkan manusia dengan Allah, bagi membolehkan manusia merasai kewujudan Allah, menguatkan muraqabatullah. Cuba kita kenang kembali sirah di awal kemunculan islam, Bilal bin Rabah ketika islam, cuma diajar lima ayat surah al-Ikhlas oleh Rasulullah, namun ketika disiksa di atas padang pasir yang panas, ditekan dengan batu yang besar, beliau tidak berganjak dari keimanan, meskipun ilmunya tidak seberapa, kerana ilmu yang sedikit itu dihayati. Inilah yang perlu kita renung dan koreksi kembali diri kita, ke mana ilmu yang kita pelajari hingga kini membawa kita, adakah mendekati Allah atau menjauhi redha Allah swt…

Baca Selengkapnya....

Jangan Sombong


Umar al-khattab ada berkata, ‘ kalau kamu mahu menjauhi kemusnahan, maka hendaklah kamu mengenali punca kemusnahan itu’. Baginda rasullulah pernah berkata, antara punca yang merosakkan manusia itu ada tiga, iaitu, nafsu yang merajai, kebakhilan yang dituruti dan kekaguman pada diri sendiri (riwayat imam muslim). Bagi mereka yang mahu mendekatkan diri kepada Allah akan sentiasa cuba menjauhi sifat-sifat yang ditegah Allah, namun satu penyakit hati yang sering menimpa mereka dan menggagalkan mereka adalah sifat bangga dengan diri, dan ini turut menimpa mereka yang menggelarkan diri mereka pendakwah islam, penyeru agama Allah. Penyakit ujub ini bagaikan barah yang mungkin menjangkiti sesiapa jua, dan sifat ini amat dikecam oleh Allah, dalam hadith qudsi Allah menyebut, “ sombong adalah selendang-Ku, dan agung adalah pakaian-Ku. Siapa yang menyaingi Ku dalam salah satu dari kedua duanya, maka akan aku lemparkan ke dalam neraka jahanam” (Riwayat ibnu majah, Ahmad dan Muslim) Islam menganjurkan umatnya sentiasa bersifat dengan sifat tawadhuk, iaitu sifat merendah diri, kerana kita meyakini, apa yang dimiliki di dunia ini amatlah kecil dengan apa yang ada di akhirat sana, lebih-lebih lagi segala yang kita miliki kini bukanlah milik kita, ia Cuma pinjaman daripada Allah, demi melaksanakan amanahNya sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Seorang yang memiliki kemahiran menulis, maka tulisannya perlu membawa manusia mendekati Allah, mereka yang dikurniakan suara yang merdu, maka nyanyian dan bacaan puisi merka perlu membuatkan manusia menginsafi kehidupan mereka, mereka yang diberi kebijaksaan perlu menggunakannya demi kebangkitan ummat, mereka yang ditakdirkan pemimpin, perlu memimpin yang di bawah kepada kehidupan yang diredhai Allah. Semua pangkat, kelebihan , serta kuasa yang diberi itu adalah pinjaman Allah, maka tiada sebab untuk kita berbangga dengan sesuatu yang bukan milik kita, Rasullulah saw pernah berkata, “ sesungguhnya Allah swt memerintahkan aku agar tawadhuk. Jangan sampai ada salah seorang yang menyombongkan diri pada orang lain. Jangan sampai ada yang bongkak pada orang lain” (Riwayat muslim, ibnu majah dan abu daud) Tawadhuk atau merendah diri ini berkaitan hati, dan hanya Allah yang mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia, Ibnu Athaillah dalam kitab al-hikam menyebut, jika ada seseorang yang yakin dirinya itu tawadhuk, maka jelas sekali orang itu sombong, Ibnu Athaillah juga menyebut, orang yang tawadhuk itu apabila diberi sesuatu anugerah, jawatan, atau penghargaan, dia merasakan dirinya belum layak malah tidak patut menerimanya, inilah orang yang tawadhuk. Namun, pada hari ini, ramai yang salah anggap akan konsep tawadhuk ini, ada yang tidak mahu menerima apa-apa jawatan, tugas, kerana mereka bimbang mereka akan riyak dengan semua itu,maka menurut imam Ghazali orang ini sudah riyak, kerana mereka merasakan diri mereka layak untuk jawatan itu, sekaligus menggambarkan diri mereka memiliki kelebihan berbanding yang lain. Umar al-khattab seorang yang amat tawaduk, pernah sekali seorang utusan dari sebuah negara datang ke madinah mahu berjumpa dengan Umar, amirul mukminin ketika itu, lalu utusan itu mendapati umar sedang tidur di atas pelpah tamar, di bawah pohon kurma, tanpa seorang pengawal sekalipun, ini adalah contoh produk yang dididik dan dibentuk oleh rasullulah, inilah generasi yang disifatkan syed Qutb sebagai generasi al-Quran, yang benar-benar menginsafi kekurangan diri sebagai manusia dan hamba Allah di muka bumi.

Baca Selengkapnya....

Di manakah kekuatan kita??



Amirul mukminin, Umar al-khattab pernah berkata, sesungguhnya hidup ini adalah kembara, kembara menuju negeri abadi iaitu akhirat. Namun sesuai dengan makna insan itu sendiri, kita sentiasa lupa akan matlamat kita dan tergelincir dari landasan yang benar, landasan yang membawa kita menemui kasih yang maha agung yakni Allah swt. Dalam sebuah hadith, baginda nabi berkata,
Sudah hampir tiba suatu masa di mana umat ini akan dikerumuni oleh semua bangsa di dunia, seumpama mereka adalah makanan dan akan diratah oleh mereka yang mengelilingi mereka. Para sahabat bertanya, adakah lantaran kerana kami sedikit di kala itu? Baginda menjawab, tidak, bahkan kamu yang paling ramai ketika itu, tetapi ramainya kamu ketika itu bagaikan buih di lautan, Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah mencampakkan al-wahnu ke dalam hati kamu. Sahabat bertanya, apakah al-wahnu itu yaa Rasulullah? Baginda menjawab, CINTA PADA DUNIA DAN TAKUT MATI.

Kita masih belum lupa akan filem fitna yang diterbitkan oleh seorang ahli parlimen belanda, satu filem yang secara terangnya menghina kesucian agama yang diredhai tuan dunia ini, sehari sebelum itu ada satu peristiwa yang member kemenangan kepada kita, mungkin tak ramai yang mengetahui, bahawa sehari sebelum filem fitna itu dikeluarkan, Vatican city telah membuat pengumuman, buat pertama kalinya umat islam mendahului umat kristian katholik dari sudut bilangan penganutnya. Namun sedihnya, sehari selepas itu kita dihina oleh seorang atheis bagaikan kita ini tiada maruah,ramainya kita itu tidak menggerunkan mereka sedikit pun, ramainya umat islam kini tidak membawa erti, sebagaimana yang dikatakan rasulullah, ramainya kita ini hanya bagai buih di lautan, hanya sekadar buih yang pecah dengan mudah apabila disentuh, yang luntur semangat juang apabila diugut, yang akan lari bertempiaran apabila digertak, ramainya kita ini bagaikan sekawan kambing yang lari apabila diancam seekor serigala, ramainya kita ini bukannya ramai bagai segerombolan singa yang ganas yang mampu menakutkan serigala hanya dengan ngaumannya, atau mungkin kita ini singa, namun singa yang penakut, singa yang mempunyai mentaliti seekor kambing, singa yang tidak menyedari kekuatan yang dimilikinya.

Cuba kita renungi kehebatan umat ini, kita merupakan yang teramai, kita mendominasi populasi dan dunia ini, Negara islam merupakan pengeksport utama minyak, emas hitam yang amat beharga kini, namun di mana silapnya? di mana kekuatan itu bersembunyi? Kekuatan itu bukan bersembunyi atau disembunyikan, sebenarnya ia tidak wujud langsung, kerana hati umat islam telah dijangkiti dengan al-wahnu, cinta pada dunia dan takut akan kematian. Umat islam makin melupai matlamat kehidupan dan tenggelam dalam kemewahan dan kesenangan dunia. Lihat sahaja pada bumi palestin, ketika mereka dizalimi oleh Israel, adakah mana-mana Negara islam yang mengelilingi palestin dan Israel itu membela mereka? Atau menghulurkan bantuan? Inilah akibatnya apabila apabila manusia begitu cinta pada dunia dan takut akan kematian, hati yang cinta pada dunia itu sedikit demi sedikit akan menjauhi kecintaan kepada Allah dan lupa pada akhirat, kerana yang dituruti ketika itu adalah kehendak nafsu, bukan kehendak iman, sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah saw,
"Sesungguhnya jalan ke syurga itu dikelilingi dengan perkara yang dibenci nafsu, manakala jalan ke neraka itu dikelilingi dengan perkara yang disukai nafsu."

Inilah satu fonomena yang menimpa umat kini, yang perlu kita koreksi bersama, perlu kita kembali bersatu, kembali kepada syariat yang tulen dating dari Allah swt. Dunia ini adalah medan kita berbakti, janganlah kita mengutamakan dunia melebihi akhirat, sesungguhnya dunia yang dicari tidak akan memberi apa-apa makna kepada insan, kerana kita pada suatu hari kelak akan kembali kepada Rabb kita, di situlah tempat kita menikmati kebahagiaan, bukan di dunia Ini, dunia ini adalah medan kita menempuh ujian, mereka yang lulus dalam ujian dunia inilah yang akan terpilih untuk mengecapi kebahagiaan akhirat, bagi yang gagal dan leka dengan kesenangan dunia, maka di akhirat sana, yang menanti adalah sengsara. Sahabat sekalian, hidup ini hanya sekali, peluang untuk beramal hanya sekali, peluang untuk menggapai cinta Allah ini hanya sekali, berusahalah, beramal, yakinlah, sesungguhnya mereka yang ikhlas terhadap tuhannya tidak akan dizalimi, malah akan dianugerahi kemanisan iman yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Ingatlah kembali kepada penyaksian kita kepada Allah,


’Dan(ingatlah) ketika tuhanmu mengeluarkan dari sulbi anak cucu adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka,”Bukankah Aku ini tuhanmu?” mereka menjawab”Betul, kami bersaksi”(kami lakukan begitu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan, ”sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini’

Bersamalah kita kembali merenungi kehidupan kita dan sama-sama kita mengejar redha Allah kepada kehidupan kita di dunia ini..

Baca Selengkapnya....