Kita biasa mendengar sabda baginda nabi yang menyarankan kita menuntut ilmu, antaranya, ‘Jika kamu mahukan dunia, maka hendaklah kamu berilmu, jika kamu mahukan akhirat, maka hendaklah kamu berilmu, jika kamu mahukan kedua-duanya, maka hendaklah kamu berilmu’ (HR Bukhari) Sememangnya menuntut ilmu itu dituntut ke atas semua individu muslim, tanpa mengira lelaki atau perempuan, kerana ilmu itu cahaya yang menunjuk manusia jalan kebenaran, ilmu memandu manusia menuju jalan kehidupan yang benar, menegah manusia dari terbabas dari landasan. Ilmu yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar ilmu agama seperti ilmu tauhid, fiqh, tasawwuf, tafsir dan sebagainya, ilmu di dalam islam itu tidak streotaip. Ilmu-ilmu seperti kimia, biologi, perubatan, dan sepertinya juga termasuk dalam ilmu-ilmu islam, kerana hakikatnya semua ilmu di dunia ini datangnya dari Allah, malah Allah Maha Bijaksana. Kebijaksanaan Allah mengatur segala sistem-sistem dalam dunia ini merupakan petunjuk kepada mereka yang mencari makna diri. Allah berfirman yang bermaksud, ‘ sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, mereka yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi(seraya berkata): ‘Ya Rabbana!, tiadalah Engkau ciptakan sema ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, lantaran itu peliharalah kami dari azab nerakaMu’ (al-imran:190-191) Keyakinan akan wujudnya pencipta kepada alam ini turut diakui oleh seorang ahli sains, iaitu Sir Issac Newton, beliau berkata: ‘Janganlah ragu-ragu tentang adanya Yang Maha Pencipta, sebab tidak masuk akal, bahawa kebetulan yang mewujudkan pokok dari alam ini’. Keyakinan akan kewujudan Yang Esa akan timbul pada mereka yang berilmu, namun kita hairan mengapa ada di kalangan bijak pandai bergraduan dari universiti terbaik dengan rekod cemerlang, tetapi tidak mengenal Allah malah mengengkari perintahnya? Ada satu hadith yang berbunyi, ‘Pelajarilah apa sahaja yang kamu boleh belajar. Akan tetapi Allah tidak akan memberi ganjaran sehinggalah kamu ‘amalkan (apa yang kamu pelajari)’ Kadang-kadang kita merasakan apabila kita menuntut ilmu, kita sudah melaksanakan sebahagian dari tuntutan dalam agama, namun adakah ilmu itu kita gunakan untuk kita lebih dekat denganNya? Malah, apakah niat kita sebenarnya dalam menuntut ilmu? Betulkah untuk mengenal Allah? atau cukup sekadar untuk mendapat ilmu itu? Cukupkah sekadar beroleh ilmu untuk berbahas hukum dengan berjela-jela? Jika kita renung kembali, matlamat agama itu adalah demi mendekatkan manusia dengan Allah, bagi membolehkan manusia merasai kewujudan Allah, menguatkan muraqabatullah. Cuba kita kenang kembali sirah di awal kemunculan islam, Bilal bin Rabah ketika islam, cuma diajar lima ayat surah al-Ikhlas oleh Rasulullah, namun ketika disiksa di atas padang pasir yang panas, ditekan dengan batu yang besar, beliau tidak berganjak dari keimanan, meskipun ilmunya tidak seberapa, kerana ilmu yang sedikit itu dihayati. Inilah yang perlu kita renung dan koreksi kembali diri kita, ke mana ilmu yang kita pelajari hingga kini membawa kita, adakah mendekati Allah atau menjauhi redha Allah swt…
Friday, July 18, 2008
Ke Manakah Ilmu Membawa Kita??
Tinta pena MUHAMMAD ASHRAF MOHD SALLEH at 11:23 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen sahabat:
Post a Comment