Tuesday, July 14, 2009

Sejarah:Kelahiran Muhammad Bin Abdullah

Apabila tiba saat Abdullah mahu dikahwinkan, Abdul Muttalib mengahwinkan Abdullah dengan Siti Aminah Binti Wahab, yang juga daripada keturunan suku Abdul Manaf. Keturunan ayah dan ibu Muhammad adalah daripada keturunan Qusai bin Kilab. Kesemua mereka daripada keturunan Ismail. Daripada sudut keturunan, Muhammad bin Abdullah adalah orang paling mulia dan paling bangsawan.

Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib. Abdul Muttalib membawa Abdullah ke Yathrib dan dikahwinkan di sana dengan Siti Aminah. Selepas itu, mereka pulang ke Mekah. Semasa Siti Aminah mengandung, ayah Muhammad meninggal dunia sebelum baginda dilahirkan.

Sebelum Aminah melahirkan Muhammad, dia bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan, “Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki” kelahiran ini adalah pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun gajah atau 50 hari selepas peristiwa tentera bergajah.

Banyak perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad. Hassan bin Thabit, penyair Muhammad menceritakan, salah satu ddaripada tanda itu, katanya, semasa Muhammad lahir, dia berada di Madinah dan umurnya pada masa itu tujuh tahun. Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang Ulama Yahudi memanjat ke atas bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, “Bintang Ahmad muncul di langit.” Bintang ini hanya muncul apabila Muhammad dilahirkan. Hassan menyaksikan sendiri peristiwa itu.

Siti Aminah ibu Muhammad pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Muhammad dia tidak berasa penat ataupun sakit. Menurut sejarah lagi, Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah berkhatan.

Apabila berita kelahiran ini sampai kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadu, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib terus membawa Muhammad ke Kaabah sambil sujud syukur kepada Tuhan.

Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan Ulama Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhamamad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki dari anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu orang-orang arab tiudak ada yang bernama Muhamamad.

Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhamamad juga dalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu istana Raja Parsi, kerajaan yang paling besar ketika itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Parsi itu tertimbus.

Apabila Kisra melihat kejadian-kejadian pelik ini, dia menjadi sangat takut, lalu memanggil ahli-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran Muhammad boleh naik ke langit dan mendengar berita di langit apa yang akan berlaku di dunia. Merekalah ynag memberitahu berita-berita ini kepada para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka.

Allah berkata dalam surah al-Jin ayat 9 yang bermaksud,

“Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di langit, barang siapa yang mencuri mendengar lagi sekarang akan dipanah”

Ada antara pendeta ini menyebutkan pada Kisra, peristiwa ini berlaku kerana kelahiran seorang nabi. Kisra bertanya maksud 14 anjung istana yang runtuh, mereka berkata,”Kerajaan Parsi akan diperintahkan oleh 14 orang Kisra lagi dan selepas itu kerajaan Parsi akan jatuh.”Kisra berkata,”14 orang Kisra lagi, memaparkan tempoh yang panjang, masih lama lagi, tidak perlu dirisaukan.”

Selepas kematian Kisra ini, anak-anaknya berebut kuasa. Dalam masa empat tahun sahaja, 10 orang Kisra memerintah Parsi. Semua ini adalah petanda kejatuhan kerajaan paling besar pada masa itu iaitu kerajaan Parsi. Inilah antara berita gembira yang berlaku sempena kelahiran Muhammad.


0 komen sahabat: