Syawal 1430H ini mengajar saya sesuatu untuk peringatan hari esok. Bertapa banyak contoh Allah datangkan dalam memberi ibrah untuk baki kehidupan. Pada 3 syawal, saya menghadiri mesra iedulfitri mahasiswa bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan yang hadir ketika itu hanya bermatlamat untuk mendengar ucapan Tok Guru, kerana respon penonton kebanyakannya ketika ucapan Tok guru. Ucapan Tok guru hari itu agak keras dan tegas, kerana mesej Tok guru hari itu amat penting, iaitu, jangan sesekali manusia berlaku angkuh dengan Allah swt. Angkuh dengan Allah bukan hanya apabila kita menganggap diri lebih besar dari Allah, tapi apabila kita membelakangkan kata-kata, amaran, peringatan Allah kepada kita, ia seolah-olah kita sudah lebih pandai dan tahu dari Allah, sedangkan kita hanyalah makhluk ciptaanNya. Tok guru datangkan satu hadith yang pertama kali saya mendengarnya, kurang ingat maksud matan yang lengkap, tapi isinya lebih kurang bermaksud, “Apabila manusia merasa diri kaya, maka dia lupa akan Allah swt”. Merasa diri kaya dengan harta, seolah-olah harta itu mampu memberi jaminan keselamatan dan kasih sayang manusia padanya, adakah dia fikir harta itu mampu membeli redha Allah? Kaya dengan ilmu seumpama ilmu itu boleh memberi dia jalan keluar dari segala masalah, berdasarkan kepandaian dan kebijaksaan dia, lupa siapa yang memiliki ilmu mengatur dan menyusun fitrah alam ini. Kaya dengan pangkat, seolah-olah pangkat itu mampu menghindarkan musibah kepada dia, sedangkan Nabi Sulaiman yang menguasai binatang dan jin tunduk sujud pada Allas swt. Kaya dengan pujian, perhatian dan kasih sayang manusia, seperti semua pujian dan kasih sayang itu mampu menyelamatkan dia dari ajal dan api neraka Allah swt. selagi mana dia merasakan diri memiliki sesuatu, dia lupa siapa dia dengan Allah, sedangkan segala kepunyaan dia, jika bukan kerana kehendak dan izin Allah, tidak sekali-kali menjadi milik dia. Saya teringat kata-kata Tok guru dua tahun lepas selepas solat subuh di Pulau Melaka, tok guru cakap pada kami, “Anda semua loni tengah belajar, tapi keno ingat, sejauh mana kito manusia ni belajar, kita cuma boleh belajar mengguna dan memanfaatkan cipataan Allah jah, manusia dio bino bangunan, pakai konkrit, besi, kayu, sekarang ni sapo hok buat kayu, batu, kerikil tu sumo, kalu Allah tok sedio bendo tu ko manusia, manusio boleh bino bangunan ko? Sebab tu kito keno ingat, pandai mano pun kito, jange dok ingat kito ni pandai sangat, hok Allah kato tu jangan dok lawan.” Bila manusia Allah berikan sedikit kelebihan, sungguh mudah manusia lupa asal usul, siapa yang menyempurnakan keperluan di waktu manusia masih di dalam janin, siapa yang memberi dia makan, siapa yang mentakdirkan dia berjaya dalam hidup, di waktu itu, manusia lupa batasan dia dengan Allah. Di waktu inilah, manusia mula mengingkari kata-kata, amaran dan larangan Allah. Pengalaman yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, bagaimana seorang yang diberi kelebihan kebijaksaan, dan kecekapan dalam bekerja. Walaupun hanya berkelulusan diploma, mampu berjaya dalam kerjaya sehingga memegang jawatan No.2 dalam sebuah bank ternama di negara ini. Di waktu itu, segala-galanya mewah, pujian dan penghormatan sentiasa datang, makan mewah-mewah, sentiasa ke majlis-majlis VIP, namun di waktu itu, dia bersikap kasar dengan ahli keluarga, lupa arahan Allah untuk berlaku baik kepada isteri, dan anak-anak. Solat sentiasa terlepas, lupa siapa dia dengan Allah swt, lupa batasan pergaulan, seolah-olah tiada malaikat sedang merakam. Sekarang setelah Allah tarik semua jawatan dan dunia itu, diri tidak terurus, sanak-saudara tidak ambil kisah, kalau dulu pakai Mercedes, sekarang naik bas, kadang-kadang berjalan kaki, makan sekadar yang ada saja. Adakah kita merasakan semua yang kita ada sekarang mutlak milik kita? Berapa ramai yang saya pernah tengok, apabila sudah besar, berkerjaya, merasakan diri sudah ada kedudukan, berlaku kasar dengan ibu sendiri. Sedikit kesilapan sahaja diherdik, dibuat seolah-olah ibu sendiri orang asing, yang mengharap ehsan si anak. Dia lupa siapa yang mempertaruhkan nyawa di waktu mahu melahirkannya, siapa yang menyusukannya, siapa yang bersabar dengan karenahnya, lupa hakikat apabila menitis air mata ibu kerana perbuatan si anak, bergegar arash Allah swt. Adakah manusia fikir jawatan dan kedudukan itu mampu menahan balasan Allah? Adakah Allah tidak mampu menarik semua itu dan menjdikan dia papa? MasyaAllah! Takutlah pada kekuatan dan azab Allah... Yakinlah kehidupan kita di dunia ini hanyalah permainan yang sia-sia, segala-gala yang kita perolehi di dunia ini, harta, pangkat, pujian, kasih sayang, hadir dengan izin dan kehendak Allah, dan semua itu milik Allah. Jangan sekali-kali kita mengengkari Allah kerana sudah banyak diberikanNya dalam hidup kita, bersyukurlah dengan segala pemberianNya...
Sunday, September 27, 2009
Merasa diri besar dengan Allah..
Tinta pena MUHAMMAD ASHRAF MOHD SALLEH at 2:43 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen sahabat:
Post a Comment