Tuesday, August 19, 2008

Selepas bergraduan....



Bermula 14hb sehingga 17hb ogos yang lepas berlansungnya hari konvokesyen Universiti Sains Malaysia ke 38, USM setelah lebih 40 tahun ditubuhkan, sebagai universiti pertama ditubuhkan pasca kemerdekaan telah sekali lagi melahirkan graduan-graduan yang akan terjun ke medan masyarakat, berbakti kepada tanah air tercinta. Di sini, walaupun sudah agak lewat, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menggengam segulung ijazah setelah melalui segala jerit perih dalam usaha mendapatkan pengiktirafan akademik dari universiti terbaik di Malaysia. Terasa riang dan gembira apabila memandang wajah-wajah kegembiraan para graduan bergambar bersama keluarga, wajah-wajah kepuasan dan kegembiraan menggambarkan bertapa mereka menanti saat-saat ini. Kepada bekas aktivis PMIUSM yang bergraduasi pada tahun ini, khususnya abg amer shahreza, abg farid, abg zairul, kak azura, sesungguhnya pemergian antum semua amat terasa buat kami, warga PMIUSM. Moga antum semua diberkati Allah dan terus sukses dalam apa sahaja bidang yang antum ceburi.

Pada majlis konvokesyen kali ini, sekali lagi saya diminta oleh pihak Pusat Islam USM untuk mewakili pusat islam sebagai pembaca doa dalam majlis ini, namun bukan itu yang ingin dibicarakan di sini, tetapi peluang berada di atas pentas konvokesyen, di barisan hadapan, secara lansung memberi peluang kepada saya untuk melihat secara lebih dekat para graduan yang bergraduan pada majlis tersebut. Banyak wajah yang dapat saya perhatikan, ada yang senyumnya tidak hilang, sebenarnya tidak bergerak sejak berada di tangga hingga turun, ada yang naik dengan muka yang malas, keletihan menanti agaknya, ada yang dengan wajah selamba, tetapi wajah yang paling banyak dapat saya perhatikan adalah wajah-wajah yang takut, gemuruh agaknya, bila begitu kondisinya, aturan yang diterangkan ketika rehearsal pun kelam-kabut, tidak mengikut susunan seperti yang diarahkan marshal yang bertugas, ‘UP,UP’ kedengaran dekan di sebelah member isyarat, agar susunan yang kian kelam-kabut di pentas kembali kepada asal, selepas itu saya diberitahu pembawa cokmar yang dudukdi sebelah kanan, katanya sidang sebelum ini ada yang berjalan ke belakang rostrum, habis pening kepala marshal bertugas. Agak lucu bila memikirkan semua senario ini, terpikir di benak fikiran,”bagaimanalah aku masa konvo nanti”. Hm, tinggal setahun lagi, harap-harap segalanya lancar.

Inilah keadaannya apabila graduan-graduan ini hendak menuju ke tengah pentas, menerima ijazah yang akan dianugerahkan, maklumlah, inilah salah satu detik bersejarah dalam hidup mereka. Melihat para graduan yang memenuhi lebih tiga per empat Dewan Tuanku Syed Putra, ini baru untuk satu sidang, konvokesyen kali ini sahaja sudah lapan sidang, saya terfikir, ke mana mereka semua, para graduan ini akan pergi? Di sektor mana mereka akan berbakti? Moga-moga mereka semua akan menjadi aset terbaik walau di mana mereka bekerja sekalipun, bagi graduan-graduan muslim, harapannya mereka bukan sekadar mampu bertugas dengan baik, yang lebih utama mereka mampu menjadi agen islam, menjadi contoh individu muslim, cerminan kepada kecemerlangan akhlak dan pribadi yang diterapkan dalam ajaran islam. Allah swt berfirman di dalam al-Quran mengatakatan orang-orang beriman dan berilmu itu lebih tinggi darjatnya, malah ayat pertama yang diwahyukan kepada Baginda Nabi Muhammad saw juga adalah seruan membaca, menuntut ilmu. Dalam konteks masa kini, graduan-graduan muslim yang lahir daripada IPT merupakan mereka yang berilmu, malah diiktiraf keilmuan mereka.

Perlu difahami, darjat yang dikurniakan Allah swt itu adalah bagi mereka yang memanfaatkan ilmu itu sebagai jalan dalam mendekatkan diri mereka denganNya, malah digunakan juga ilmu tersebut untuk membawa manusia pulang kepada jalan yang haq, jalan yang Allah redha. Mendekati Allah adalah megenali sifat dan perananNya, bukan sahaja dalam merencana kegiatan alam, mengatur sistem-sistem di bumi yang saling berkaitan, malah dalam mengatur dan mentarbiyyah diri kita, tanpa ramai menyedari, sebenarnya segala yang berlaku dalam hidup disusun dan diatur oleh Allah swt, sesungguhnya sebaik-baik perancang itu adalah Allah swt. Ada yang Allah swt lahirkan dalam keluarga yang senang lenang, ada yang lahir dari keluarga yang miskin, ada yang diberi kelebihan tertentu, namun asal kita semua adalah sama, hamba Allah yang telah berjanji setia dengan Allah di alam roh. Bagi para mahasiswa yang belum bergraduan, Allah telah memilih kita untuk berada dalam gedung ilmu ini, manfaatkanlah sebaik mungkin. Bagi para graduan, terjunlah ke dalam masyarakat dan jadilah sebagaimana air mutlak, suci dan menyucikan, hati yang suci dan dekat dengan Allah dalam masa yang sama menyucikan mereka yang mencari-cari arah hidup.

0 komen sahabat: