Saturday, September 20, 2008

Kemalangan


Mengikut statistik, antara penyumbang utama kepada kematian di negara kita adalah kemalangan atau kecelakaan jalan raya, daripada semua kes-kes kemalangan yang mengakibatkan kematian, kemalangan yang melibatkan motosikal mencatat kematian yang tertinggi. Saya sendiri pernah kemalangan, sudah 3 kali setakat ini, nasib baik Allah tidak menjemput saya dalam setiap kemalangan itu.

Pertama kali ketika darjah 5, masih ingat lagi ketika itu teruja mencuba basikal baru, berlumba balik ke rumah dengan adik, akibat tiadanya perasaan sabar dan ghairah untuk dinobatkan sebagai pemenang, tanpa disangka, sebuah motosikal melanggar dari kiri, apabila sedar, saya telah tertiarap tak bermaya di dalam parit di bahu jalan, masih ingat wajah mak yang menangis ketika menanti di wad kecemasan...basikal yang tak sampai seminggu usianya, habis bengkok dan tidak mungkin dapat diperbaiki, inilah akibat tiada sifat sabar dan terburu-buru, betul kata Nabi, sifat terburu-buru itu sifat syaitan.

Kali kedua, kemalangan kereta, ketika itu baru masuk sekolah memandu, bila mak ayah dah keluar, apa lagi...terus buat pakatan dengan kakak nak cuba praktikkan apa yang dah belajar, nasib tak berapa baik, akibat tidak mahir menstabilkan cluth dengan minyak, kereta meluncur secara reverse dengan kelajuan 80Km/j, dan melanggar pagar rumah, saya bernasib baik, tidak luka sikit pun, tapi...bonet kereta hancur,dan kakak menerima lima jahitan di dahi. Masa tu teruk kena marah, tapi ia mengajar sesuatu dalam hidup ini.

Kali ketiga, yang paling teruk, ketika itu hari raya kedua aidiladha, menunggang motosikal ke kedai, mak suruh beli roti, dilanggar dari belah kanan oleh kereta Honda CR-V, tak ingat macam mana boleh dilanggar, yang masih ingat, sebelum dilanggar, memang terasa seram sejuk, bam!!

Apabila tersedar, dalam keadaan tertiarap di tengah jalan raya, masa tu cermin mata dah pecah, tapi boleh nampak kereta sedang tersekat, dan semua orang melihat diri yang sedang tertiarap, terus bangun, tak mahu menyekat jalan orang, tiba-tiba rasa kaki kanan terlampau pedih, tapi gagahkan jugak untuk sampai ke bahu jalan, sesampai di bahu jalan, terasa semua tenaga terus hilang, datang rasa pitam, dan terus terbaring di bahu jalan, sehingga orang ramai datang dan mengusung ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.

Ketika dalam perjalanan ke hospital, hati tidak dapat lari dari rasa bersalah dan berdosa, ya..kemalangan ini adalah kafarah Allah kepada dosa-dosa, di hospital, terpaksa menunggu hampir tiga jam di unit kecemasan sebelum dimasukkan ke wad, dalam menahan kesakitan, otak ligat memikirkan segala dosa-dosa lalu, menyesali dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan kepada Allah swt, akibat kemalangan kali ini, buku lali kanan disyaki retak, dan tulang juga dijangkiti bakteria.

Kemalangan ini menyebabkan diri bergantung hidup dengan tongkat selama tiga bulan, walaupun simen dibuang selepas 1 bulan, tapi kaki kanan masih tidak baik sepenuhnya, pernah terfikir kemungkinan akan kehilangan fungsi kaki kanan selamanya, namun alhamdullilah, sebaik masuk ke matrikulasi, sudah mampu berjalan tanpa tongkat, walaupun terpaksa berjalan terhenjut-henjut.

Ramadhan kali ini, Allah sekali lagi mengkafarahkan dosa saya dengan sedikit kemalangan di bulatan kedai mahasiswa, walaupun cederanya tak teruk, tapi ia mengingatkan diri akan kemalangan lalu, terus teringat akan hakikat semua kejadian ini, semuanya adalah tanda Allah masih kasih pada kita, pelik.. kenapa diri ini amat mudah ingat akan Allah di waktu kesakitan,waktu susah, tetapi tidak di waktu-waktu kesenangan, sedangkan Dia sentiasa ingat akan kita hambaNya.

Sememangnya setinggi mana cinta kita kepada Allah swt, tidak dapat menandingi kasih dan sayang Allah kepada kita, kasih dan sayang Allah itu 7 kali ganda kasih sayang ibu kepada kita, semua yang berlaku adalah perancangan dan ketetapan Allah swt kepada kita, walau ia baik mahupun buruk untuk kita, redhalah dengan ketentuanNya, ia akan menjadikan kita lebih dekat denganNya, semoga Allah mengampuni dosa kita dan memandang kita denagn kasih sayang di padang mahsyar kelak.....


0 komen sahabat: