Bismillahirrahmanirrahim,
Segala puji jua adalah milik Allah, khalik yang agung lagi adil, dua minggu ini adalah minggu yang sangat sibuk, terdapat dua faktor utama, yang pertama adalah jadual jemaah yang sememangnya padat bulan ini, boleh dikatakan setiap minggu ada program-program penting hingga ke muktamar 15hb Mac nanti, ditambah pula persediaan setiap ahli MT dalam menghadapi AGM, sedikit sebanyak menekan kami di barisan pimpinan, minggu ini sahaja, hampir setiap hari mesyuarat selesai jam 2 pagi.
Di celah-celah kesibukan ini juga, Final Year Project(FYP) saya berada dalam keadaan 50%, selepas harvest minggu lepas, saya berada di fasa terakhir sebelum menganalisa semua data, harap-harap segala-gala lancar. Meskipun, telah berjaya harvest, biochemical tests yang mengambil masa hampir seminggu menghadiahkan tekanan baru, minggu lepas hampir setiap hari tidur di makmal, bila tak tahan ajak abg. Hafizi minum kat subaidah, abg. Hafizi selalu masuk makmal prof. Baha tengah malam.
Namun, ini adalah fitrah dan resam dalam hidup, gerak kerja dalam jemaah sepanjang berada di USM sedikit sebanyak membantu saya dalam menghadapi keadaan-keadaan seperti ini, sepanjang saya bersama jemaah, keletihan adalah tetamu rasmi, tekanan adalah sahabat paling akrab, dan ini semua memang telah mematangkan saya. Kadang kala saya merasakan saya mungkin tidak punya apa-apa jika tidak berintima’ dengan jemaah.
Saya bukanlah seorang yang dilatih atau didedahkan mengenai perjuangan islam secara terus atau dibina fikrah sejak di bangku sekolah lagi, pada tingkatan satu saya gagal memasuki kelas bahasa arab kerana saya tidak pandai membaca dan menulis jawi. Sepanjang di sekolah menegah, tidak banyak yang saya tahu, saya hanya ke masjid untuk solat jumaat. Solat berjemaah lima waktu di masjid bagi saya adalah untuk pelajar pondok di kampung saya. Di tingkatan lima, saya satu-satunya pelajar yang gagal dalam ujian tajwid. Saya masih ingat wajah ustazah Latifah yang terkejut waktu itu.
Namun, sepanjang masa itu saya dapat merasakan saya menginginkan sesuatu, memikirkan tentang hakikat diri, alhamdullilah, kakak dan ustazah saya banyak membantu dalam membina kefahaman asas saya. Sebelum ke matrikulasi, kakak mengingatkan saya agar menyertai usrah. Alhamdullilah, didorong keinginan itu, saya menyertai jawatankuasa surau an-nur KMPP, dan dari situ saya mula dibina oleh sahabat-sahabat.
Nidzam yang sentiasa senyum dan tajam pemikiran,
Rushdi, seorang hafiz dan fasih bahasa arab yang kaya dengan thaqafah,
Nabil, seorang yang tenang dan sentiasa mengambil pendekatan tasawuf,
Zunnur, seorang yang amat rendah diri meskipun berasal dari keluarga berada,
Zulhusni dan zuhaili, kembar yang sentiasa ceria tetapi tegas,
Mereka ini adalah teman akrab yang saya kenang dan hargai setiap masa, mereka adalah sahabat-sahabat yang Allah swt hadiahkan kepada saya, membimbing saya kembali kepada asal keinginan saya, iaitu mengenali hakikat kehidupan ini, dan tugas sebenar saya selaku hamba dan kahlifah Allah swt.
Setahun di KMPP banyak mengubah saya,
di sini kali pertama saya solat subuh berjemaah,
di sini saya membetulkan bacaan al-Quran,
di sini kali pertama saya qiamullail,
di sini kali pertama saya puasa isnin dan khamis,
di sini kali pertama saya menyertai usrah,
di sini kali pertama saya mendengar nama Hasan al-banna,
dan di sinilah saya merasakan kehadiran Allah dalam hidup,
serta mempraktikkan sunnah dalam hidup.
Asas ini saya bawa ke USM, dengan harapan ia akan terus subur dan bercambah, penyertaan dalam jemaah PMIUSM mematangkan saya. Saya tidak pernah bermimpi atau berangan untuk menjadi pemimpin, kerana saya anggap diri masih baru dan dalam proses belajar, lalu apabila diberi taklifan YDP PMIUSM 07/08, saya sedikit kekok dan kaku. Banyak sebenarnya kesilapan dan salah tanggapan saya dalam menjalankan amanah.
Namun setelah hampir dua sidang memegang taklifan ini, saya mula menyedari ini adalah pilihan Allah swt, ini adalah aturan Allah, ini adalah latihan Allah terhadap diri saya. Allah tidak akan meletakkan sesuatu yang tidak mampu seseorang itu menaggungnya, itulah keyakinan yang paling penting, dan kita perlu sedar Allah mengenali diri kita lebih dari diri kita sendiri.
Kini, bila saya mengenang kembali diri saya yang lalu, satu perasaan syukur, kasih dan terhutang budi kepada Dia yang mengatur segala-gala, yang telah memilih diri untuk menerima semua ini, inilah nikmat dari Allah, inilah kasih sayang dan cinta Allah swt, yang sering kali dilupai oleh manusia, nikmat Islam dan Iman.
Sepanjang saya bergerak kerja, saya dapat mengenali ramai orang yang asalnya amat teruk, ada yang pernah jadi kaki pukul dan taiko di sekolah, tetapi Allah swt pilih mereka ke dalam gelanggang amal islami, dan mereka inilah yang selalunya menjadi golongan berani mati dalam gerakan.
Ini adalah cinta Allah kepada kita, dalam sebuah hadith ada menyebut,
Siapalah kita tanpa rahmat hidayah dan petunjukNya....
2 komen sahabat:
salams ashraf. tahniah, anda telah menjawab persoalan di blog ana, entry bertajuk "Mendamba Wahyu Ya Robbi". Istiqamah itu lebih baik, walaupun sedikit.
"Carilah teman secantik balqis, moga kau jadi sehebat sulaiman, carilah kasih seperti zulaika semoga kau menjadi setampan yusof (appearance), dambakan isteri sekuat khatijah, moga kau sekuat & setabah Muhammad SAW!!"
ayat2 diatas dinukil khas untuk ashraff. ngee~
Salam.
Perjalanan cukup panjang. Kalah di sepanjang jalan adalah ujian yang paling berat sebagai hamba Allah. Tapi, tatkala diri dibimbing dan dididik untuk kembali bangkit di jalan yang kita pernah gagal adalah suatu ni'mat yang sukar digambarkan..ya.. Allah mengasihi hambaNya.. mengasihi hamba yang ingin kembali kepadaNya.. setiap insan punya perjalanan hidup yang berbeza. teruskan istiqamah dalam pencarianNya.. =)
Post a Comment