Mungkin ramai yang tidak menyedari hangatnya isu ini diperkataka seperti gerakannya juga yang tidak berapa disedari mengancam umat Islam ketika ini. Laporan-laporan daripada sumber media yang dipercayai, respon-respon mereka yang celik akan isu semasa bahkan ulasan-ulasan serta kritikan-kritikan yang boleh didapati daripada medium yang semakin popular iaitu blog turut menjadikan isu ini sebagai santapan utama yang dihidangkan oleh pengemar alam maya.
Bercampurnya segala rasa perasaan tatkala mata mula menatap dari satu artikel ke satu artikel yang panas membincangkan isu ini. Bukan propaganda politik yang ingin ditimbulkan, apatah lagi menyokong mahupun mengkritik mana-mana pihak, cuma ingin membawa para pembaca sekalian untuk celik akan isu semasa yang melanda masyarakat ketika ini sekaligus bersama-sama memerah otak dan juga membanting usaha dalam bertindak menyelesaikan permasalahan yang harus ditangani.
Kenyataan akhbar Berita Harian yang bertarikh 12 Februari 2009, menunjukkan gerakkan Sister in Islam (SIS) semakin aktif bergerak dalam masyarakat bahkan semakin melangkah keperingkat antarabagsa. Program MUSAWAH anjuran SIS seperti yang dilaporkan, dilihat bukan sahaja mencabar hukum Allah bahkan golongan Islam liberal ini cuba bertindak menjadi “golongan ulamak” yang membahaskan sesuatu untuk dijadikan fatwa.
Program tertutup yang berlangsung selama lima hari bermula dari tarikh 14 Februari 2009 ini dihadiri oleh 200 muslim liberal yang dijemput khas daripada 40 buah negara terpilih. Para ahli penalnya juga adalah terdiri daripada tokoh-tokoh Islam liberal seperti Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.
Isu-isu sensitif dalam Islam menjadi topik utama dalam forum ini antaranya ialah kesamarataan islam, gender, poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah dan aurat wanita. Forum ini cuba membahaskan hukum-hukam dalam Islam yang dilihat sebagai menindas hak asasi dan kebebasan wanita. Golongan ini melihat bahawa hukum syariah lebih berpihak kepada patriarchy (utamakan lelaki), dan objektifnya adalah mengubah undang-undang syariah mengikut acuan hak asai manusia tajaan tamadun Barat.
Tindakan Persatuan Ulamak Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) yang menyelar penganjuran program ini, menunjukkan beratnya maslahat yang bakal melanda umat Islam sekiranya resolusi yang bakal dicapai tersebar ke peringkat masyarakat. Respon daripada pihak lain juga seperti Lajnah Dakwah & Pembelaan Dewan Pemuda PAS Pusat (pemuda PAS), Datuk Dr Mashita Ibrahim dan lain-lain individu mengkhabarkan perlunya dititikberatkan isu-isu yang bersangkut-paut dengan Islam. Namun ini bukanlah pokok persoalannya. SIS yang bergerak atas nama memperjuangkan hak wanita ditambah lagi keangotaan ahlinya yang terdiri daripada golongan professional, mampu mempengaruhi masyarakat yang kurang mendalami ilmu agama.
Mungkin ramai yang mengkritik tindakkan kelompok ini kerana cuba membangkitkan kekeliruan umat Islam yang rata-ratanya adalah Islam keturunan dan Islam hanya pada nama. Namun demikian isu ini tidak boleh dilihat dengan menggunakan saluran emosi semata-mata tetapi perlulah dilihat dengan kaca mata objektif dengan menyelidik apakah bibit-bibit pencetus gerakkan ini. Sekiranya dilihat dengan lebih telus, gerakan ini sebenarnya mengandungi agenda hegemoni pemikir liberalisme agama dan hak asasi manusia tajaan barat.
Idealisme barat cuba diselit masuk secara halus dengan menggunakan istilah ‘kebebasan asasi’ dalam pemikiran umat Islam. Kelahiran kelompok ini dilihat sebagai produk barat yang berjaya dicipta, lahir dengan status professional Islam namun berpegang kepada pemikiran barat sebagai panduan, bahkan terdapat banyak lagi kelompok diluar sana yang mungkin baru berkembang-biak menebarkan sayap idealisme barat. Jesteru adakah kita hanya mampu menyelidik tanpa ada tindakan selanjutnya yang lebih agresif sifatnya untuk menghadapi kelompok ini?
Dimana penggerak-penggerak Islam yang laungannya bergema ingin memperjuangkan kalimah Allah, sedangkab isu gerakan ini begitu lancar dalam menyebarkan propaganda mereka.
Bukan ancaman luar sahaja yang perlu diselidik, ancaman dalaman itulah yang lebih wajib dikenal pasti untuk mencetus tindakan yang perlu digerakkan. Kelemahan komuniti Muslim yang membelakangkan agama bukan sahaja gagal dalam menangani masalah kekeluargaan hingga wujudnya kelompok seperti SIS, bahkan yang lebih menyedihkan ialah budaya sosial hidup sahaja pun tidak berlandaskan nilai-nilai etika dalam Islam, walhal Islam telah menggariskan sebegitu kemas segala panduan yang perlu bagi manusia.
Golongan ini perlu dididik dengan berhikmah oleh umat Islam yang faham agar tidak terjerat dalam jaringan liberalis yang suka memutar belitkan fakta dan kefahaman berkenaan hukum-hakam Islam. Ramai wanita muda, mahupun yang sudah berumur terperangkap dalam jaringan ini. Mugkin kerana kecetekan ilmu agama Islam, maka mereka menjadi keliru dengan realiti tersebut.
Golongan ini masih boleh diselamatkan jikalau kita benar-benar mengambil kisah akan masalah ini. Tetapi ternyata perjuangan akar umbi sebegini kurang menarik perhatian para a’milin amal Islami kerana politik kepartian yang sempit, parochial lebih digemari mereka. Benar, inilah realiti.
Jika dilihat, golongan yang terbaik untuk melakukan kerja-kerja de-feminisasi, dan de-liberalisasi ini adalah mahasiswa terutamanya golongan Muslimat. Dengan ilmu yang cukup, golongan mahasiswa mampu berdialog, menerangkan kepada golongan ini baik Muslim dan bukan Muslim akan perihal sebenar isu ini.
Sekarang ini, imej political Islam itu lebih tebal berbanding kelembutan Islam itu sendiri. Masakan tidak, ramai orang sudah muak dengan pendokong Islam yang pandai beretorik tetapi masalah komuniti sendiri tidak selesai juga. Kita gagal mendidik ahli masyarakat kita dengan berkesan kerana kita sendiri yang meletakkan benteng pemisahan tersebut!
Pergilah ke kampus-kampus dan lihat apakah golongan Islamis ini berkawan dengan budak-budak yang kontemporari? Sangat minimum sekali. Bagaimana nak memerintah negara kalau satu tahap daripada prinsip sulbah –yakni masyarakat Islam pun tak selesai lagi.
Melihat Musawah ini begitu rancak diusahakan, inilah peluang gerakan Islam untuk bermuhasabah kembali manhaj dakwah sebenar. Perkara ini tidak perlu dipolitikkan. Kurang bijak kalau kita politikkan perkara yang memerlukan kesatuan ummah. Ini masalah yang perlu diambil peduli oleh semua orang tetapi disebabkan golongan Islamis yang lebih bersedia maka amanah itu lebih berat di pundak mereka berbanding orang awam. Sunnatullah bukan tertegak atas prinsip revolusi tetapi evolusi.
Wallahu a’lam...
Thursday, February 19, 2009
Gerakan Islam Perlu Kembali Kepada Matlamat Sebenar
Tinta pena MUHAMMAD ASHRAF MOHD SALLEH at 4:51 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 komen sahabat:
slm...memg benar gerakan2 ni semakin menyelusup masuk dlm masyarakat..bkn SIS ja tp byk lg...keperihatinan kite nk membuka mata semua pihak memg susah tapi sekurang2nya kte cuba untuk menggunakan pelbagai medium yang ada..lebih2 lagi golongan muda yang sepatutnya menjadi pejuang nk tegakkan agama Allah..slmt meneruskan perjuangan pena.
Post a Comment