Thursday, April 30, 2009

Sejarah: Bagaimana agama yahudi masuk ke jazirah arab

Ahli-ahli sejarah memulakan cerita bagaimana agama yahudi bertapak di semenanjung arab dengan kisah seorang pemimpin Yaman yang bernama Rabiah bin Nasr. Beliau bermimpi pelik dan kemudian mimpi beliau itu ditafsirkan oleh ahli nujum.

Ahli nujum berkata, “mimpi tuanku bermaksud orang-orang habsyah akan menakluki Yaman”. Tanya Rabiah, “Bila?” Ahli nujum berkata, “sekitar 60 hingga 70 tahun lagi”

Rabiah takut hal itu berlaku ke atas zuriatnya, lalu dia membawa semua ahli keluarganya meeninggalkan negeri Yaman. Mereka berpindah ke Hirah yang berdekatan Iraq. Akhirnya mereka menguasai Hirah. Ahli sejarah mencatatkan, Raja Hirah iaitu Nu’aim bin Munzir adalah keturunan Rabiah bin Nasr.


Pada ketika itu, raja-raja Rom dipanggil Kaisar, raja-raja Farsi dipanggil Kisra, raja-raja negeri Habsyah dipanggil najasy, dan raja-raja di negeri Yaman dipanggil tubba’. Di dalam al Quran, apabila disebut kaum tubba’, ia bermaksud orang-orang Yaman.

Suatu masa, Yaman diperintah oleh tubba’ yang bernama Tabban bin As’ad, merupakan raja yang terkenal suka berdagang dan melancong. Pada suatu masa, dia keluar berdagang dengan anaknya ke negeri Syam, sebelum ke sana, mereka singgah di Madinah, kemudian anaknya ditinggalkan untuk menguruskan perniagaannya di Madinah.

Semasa Tabban ke Syam, berlaku perselisiahn faham diantara anaknya dengan penduduk Madinah sehingga orang Madinah membunuh anaknya. Apabila berita ini sampai kepada Tabban, dia berpatah balik untuk menuntut bela di atas kematian anaknya. Berlakulah perperangan di antara orang Yaman dan Madinah.

Di tengah-tengah perperangan itu, pendeta-pendeta Yahudi yang datang dari Syam menemui Tabban. Mereka mahu berbincang dengan Tabban.

Mereka bertanya, “apakah yang kamu mahu daripada perperangan ini, wahai Tabban?”

“aku mahu merosakkan Madinah” kata Tabban

Pendeta Yahudi berkata pada Tabban, “kamu tidak akan berjaya, Tuhan akan musnahkan kamu. Madinah ini tempat hijrah Muhammad bin Abdullah, begitulah yang ada disebut dalam kitab-kitab kami”

Dari situ, timbul minat dalam hati Tabban untuk mempelajari kitaab suci orang Yahudi yang dipanggil Taurat. Akhirnya dia memeluk agama Yahudi dan berhenti memerangi orang Madinah. Selepas itu dia dan tenteranya bergerak ke Mekah.

Pada masa itu, orang Yahudi suku Huzail memusuhi Mekah dan mereka juga tidak suka orang Yaman. Mereka mengambil peluang ini untuk melaga-lagakan orang Yaman dengan orang Mekah. Mereka menghadap Tabban dan menceritakan di Mekah terdapat bagunan bernama Kaabah dan di bawah kaabah itu terdapat banyak emas permata. Memang ketika itu orang-orang Arab menanam emas dan permata di bawah Kaabah bagi memuliakan Kaabah.

Apabila Tabban mendengar hal ini, datang rasa tamak hendak meguasai harta ini. Dia lalu mempersiapkan tenteranya bagi menyerang Mekah dan kaabah. Apabila pendeta yahudi yang masih ada bersama mereka untuk mengajar agama Yahudi mendapat tahu perkara itu, mereka menghadap tabban dan menasihati tabban supaya tidak menyerang Mekah dan Kaabah.
Mereka berkata, “yang kami tahu, Kaabah inilah satu-satunya rumah Tuhan di atas muka bumi ini. Kalau kamu serang Kaabah, Tuhan akan musnahkan kamu.”

Tabban menerima nasihat itu dan meminta pandangan pendeta Yahudi itu apa yang patut dia lakukan apabila memasuki Mekah nanti.

Pendeta yahudi berkata, “Apabila tuan masuk Mekah nanti, tuan besarkan Kaabah”

“Bagaimana?” Tabban bertanya.

Pendeta Yahudi berkata, “Tuan tawaf di sekeliling Kaabah”

Tabban bertanya kepada para pendeta, “Adakah kamu akan tawaf juga?”

Pendeta berkata, “Kami pun hendak tawaf, tetapi oleh kerana Kaabah pada masa ini dipenuhi berhala di sekelilingnya, kami para ulama’ tidak sepatutnya tawaf dalam keadaan itu.”
Tabban pun melaksanakan nasihat pendeta Yahudi itu. Semasa di Mekah, dia bermimpi memakaikan kelambu pada Kaabah. Dia memerintahkan orang-orangnya supaya menyiapkan kelambu Kaabah. Dengan itu, orang yang pertama memakaikan kelambu pada Kaabah adalah Tabban bi As’ad, raja Yaman ini. Selepas itu, barulah suku arab menyambung tradisi ini.

Apabila Tabban balik ke Yaman, dia memerintahkan semua rakyatnya masuk agama Yahudi tetapi rakyatnya tidak setuju. Rakyat Yaman ketika itu menyembah api. Di setiap rumah mereka ada rumah api. Apabila mereka bergaduh sesame sendiri, mereka pergi ke rumah api itu. Apabila rumah api mula-mula dibuka, siapa yang mula-mula disambar api, dialah yang bersalah. Mereka mengambil keputusan berhakim dengan api dalam arahan Tabban ini. Tabban pun bersetuju.

Pada hari yang ditentukan, pendeta Yahudi itu dibawa ke rumah api. Begitu juga pendeta majusi yang menyembah api. Apabila dibuka pintu rumah api, api menyambar pendeta majusi. Mereka lari menyelamatkan ddiri. Rakyat tidak puas hati, diulang lagi bagi kali kedua. Kali ini pendeta majusi dipaksa jangan lari. Kali ini pun terkena pendetamajusi juga. Akhirnya, pendeta majusi mati dibakar api di situ. Dengan itu, semua rakyat Yaman masuk agama Yahudi. Dengan itu bertapaklah agama yahudi di semenanjung arab.

Sebelum itu, agama yahudi merupakan agama satu-satunya agama samawi iaitu agama yang datang dari wahyu melalui kitab taurat, sebelum kedatangan agama kristian melalui kitab injil. Maka, ketika itu kedudukan mereka orang-orang Yahudi di zaman itu adalah ahli-ahli kitab, dalam bahasa orang sekarang mereka ini adalah ustaz-ustaz, orang yang mengajar agama.

Sebelum kelahiran baginda Nabi Muhammad saw, mereka sudah mengatahui akan kelahiran nabi akhir zaman di jazirah arab, lalu mereka menetap di Madinah. Apabila baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah, ada ahli kitab yang menerima kenabian baginda, namun kebanyakkannya tidak malah menentang, walaupun mereka tahu semua ciri kenabian jelas pada diri baginda, semua ini dek kerana mereka kecewa, nabi akhir zaman itu bukan dari bangsa mereka, bangsa Yahudi.

Suatu yang menarik di sini adalah, memandangkan baginda sebelum itu tinggal di Mekah, baginda tidak pernah melihat amalan penganut agama yahudi ini. Apabila baginda berhijrah, baginda melihat orang-orang yahudi menyambut satu perayaan yang mereka panggil hari baru. Perayaan ini merujuk peristiwa mereka diselamatkan oleh Allah dari Firaun, di saat Allah member kekuasaan kepada Nabi Musa a.s membelah laut dan menghapuskan Firaun dan bala tenteranya.

Maka, bagi nabi, sepatutnya baginda lebih berhak menyambut hari itu, kerana Nabi Musa adalah Nabi sepertimana baginda, malah ada kaitan darah dengan baginda melalui Nabi Ibrahim a.s. Maka, sebagai ganti, baginda menjadikan 1 syawal sebagai perayaan umat islam untuk merayakan kejayaan umat islam menjaalani ibaadah puasa selama sebulan, apa yang diharapkan dari perayaan ini adalah, semoga selepas beribadat selama sebulan, setiap orang islam diberi rahmat pahala hasil ibadat mereka selama sebulan itu. Hari ini dikenali sebagai Ei’dul fitri.

Berbeza dengan perayaan Ei’dul adhadan ibadah korban. Perayaan ini ada ddisebut di dalam al Quran, dan arahan mengadakan ibadah korban itu, adalah sunat muakkad pada yang mampu, malah bagi imam Hanafi ibadah ini adalah wajib, kerana ayat dalam al Quran itu berbentuk perintah. Kerana itu di negara-negara arab, perayaan ini disambut dengan amat meriah, hampir setiap rumah akan ada acara korban masing-masing. Ini kerana kebesaran Ei’dul Adha adalah mengingati pengorbanan agung Baginda Nabi Ibrahim as menyembelih anak kesayangan baginda Nabi Ismail a.s.

Baca Selengkapnya....

Wednesday, April 29, 2009

Kenapa kita belajar sejarah?

Kenapa kita perlu belajar sejarah?

“kalau nak ikut kepala aku, tak payahlah belajar sejarah ni, ni cerita orang dulu-dulu, semua orang ni dah mati, sekarang ni zaman kita, kita buat kepala kita jelah”

Ha...ini kata-kata yang diungkapkan seorang kawan sekelas saya ketika tingkatan tiga, tidak direka-reka. Anda setuju?

“Hang kata tu betul, kalau dok pikir benda-benda lama ni buat sakit kepala, tapi benda-benda lama ni macam back mirror motor kau tau. Kau nak gerak depan, kau kena tengok belakang jugak”

Ini pula kata-kata achik masa tahun satu, sambil baring kat katil bob

Betul, sejarah itu mengajar kita realiti, sesiapa yang melupai sejarah, akan mengulangi kesilapan lalu. Sesiapa yang belajar dari sejarah akan tahu ke mana dia harus melangkah ke arah mencapai cita-cita.

Namun, persoalannya sekarang, sejarah sampai mana perlu kita tahu, cukupkah sekadar kita belajar dari kesilapan diri kita sebelum ini?


Atau menjangkau kepada sejarah nenek moyang kita?

Atau sudah cukup kita mengetahui sejarah bangsa kita?

Sampai mana?

Sudah pasti mereka yang berjuang bermati-matian untuk negara kerana mereka tahu dan menjiwai sejarah dan perjuangan orang-orang terdahulu, saya adalah peminat sejarah, subjek yang paling saya minati ketika darjah lima adalah kajian tempatan kerana ketika ini banyak disebut akan sejarah kerajaan Melaka, kedatangan Portugis,Belanda dan Inggeris.

Ketika itu,markah kajian tempatan saya paling tinggi dalam kelas, tetapi untuk subjek lain hampir semua cukup-cukup makan sahaja (haha). Masuk sekolah menengah, minat saya semakin bertambah, melihat bagaimana, suatu ketika krisis tiga segi diantara Melaka (Portugis)-Acheh-Johor dalam menguasai selat Melaka ketika itu. Kejatuhan negeri-negeri melayu kepada British, pendudukan jepun, pemerintahan komunis selama 15 hari.

Kewujudan UMNO, keluarnya Dato’ Onn dari UMNO kerana ahli UMNO tidak mahu menerima keahlian bukan melayu, dan bermacam-macam lagi. Hampir semua itu saya baca dengan minat ketika itu.

Namun, kini saya tertanya-tanya ke mana perginya nama-nama pejuang kemerdekaan yang dihumban ke dalam ISA oleh British, seperti Dr.Burhanudddin Al-Helmy, Prof Zulkifli Mohamad yang tempang?  

Di mana sejarah kewujudan Hizbul Muslimeen yang diasaskan Abu Bakar Baqir?  sejarah perhimpunan 10,000 penggerak Hizbul Muslimeen di gunung semanggol.  kenapa para ulama' selepas Hizbul Muslimeen diharamkan bersama UMNO ketika menuntut kemerdekaan, sebaliknya sebaik mencapai kemerdekaan mereka keluar UMNO dan menubuhkan PAS?

Betulkah Shamsiah fakeh itu menganut ajaran komunis apabila masuk komunis? Kenapa ramai tokoh-tokoh agama itu masih kekal bersama komunis, walaupun UMNO telah ditubuhkan dan kemerdekaan telah dicapai? Apa yang mereka mahu sebenarnya?

Betulkah Tok janggut menentang British kerana mahukan hak mengutip cukai?

Bagaimana pula Haji Abdul Rahman Limbong?

Malah, betulkah tujuan kedatangan British adalah untuk mendapatkan rempah? Kenapa tidak mereka beli sahaja rempah itu? Kenapa perlu sampai mereka keluarkan kos dan tenaga dalam berperang dengan orang melayu? Adakah orang melayu enggan menjual rempah ketika itu?

Banyak catatan-catatan yang tidak sampai kepada masyarakat, Tok Janggut bangkit berjuang menentang British kerana mendapat surat perutusan daripada Khilafah Uthmaniyyah untuk menghalau British, kerana British datang dengan tujuan meruntuhkan aqidah umat islam. Sehingga kini, surat itu masih ada, kenapa tiada dalam buku teks?

Semua orang melayu yang masuk komunis, benarkah mereka ini menganut ajaran itu? Betulkah mereka ini pengkhianat? Atau mereka masuk komunis kerana itu sahaja jalan ke arah membebaskan penjajahan pemikiran British. Sejarah ada mencatatkan bagaimana orang yang masuk hutan dalam keadaan tidak kenal agama, keluar dari hutan mampu mengajar al-Quran.

Kalau betul British datang untuk mengaut hasil bumi, kenapa perlu sampai mereka mengawal pentadbiran, mereka boleh sahaja datang dan membuat urus niaga yang jauh lebih mudah dari mentadbir Tanah Melayu.

Kenapa sistem residen yang diperkenalkan di perak selepas perjanjian Pangkor hanya member hak adat dan ritual agama kepada sultan, sedangkan kehakiman, pentadbiran, kewangan adalah di bawah kepala British? Bukankah ini unsur sekularisma yang amat jelas? Apakah niat British sebenarnya?

Semua ini adalah persoalan yang kabur di kepala saya, akhirnya timbul satu persoalan, bolehkah sejarah yang tertulis dalam buku teks sejarah Malaysia itu saya percaya?

Apabila saya berkenalan dengan blog saifulislam.com, artikel yang paling menarik minat saya adalah yang menyentuh sejarah, sejarah di saat keruntuhan khilafah terutama sekali, bagaimana pemikiran masyarakat islam ketika itu, surat Maharaja Meiji kepada Khalifah Sultan Abdul Hamid II, peranan Mustapha kamal yang dimainkan dalam menjatuhkan khilafah.

Semakin lama, apabila mengikuti kelas agama Ust Shamsuri, sama ada melalui CD atau live di masjid-masjid, semakin jauh dan dalam sejarah itu ditempuh dan sudah pasti memberi gambaran yang lebih jelas akan kedudukan bangsa melayu dan islam, malah ia juga memberi jawapan untuk apa sepatutnya kita selaku manusia berjuang, jangan kita menjadi sebagaimana pejuang bangsa Arab ketika era khilafah dahulu.

Betul, sejarah mengajar kita banyak perkara, malah sejarah jua yang memberitahu kepada kita yang mana salah, yang mana betul, jika anda hanya membaca sejarah negara dan bangsa ini, maka anda akan menjadi pejuang bangsa, namun jika anda membaca sejarah hingga kepada asal kejadian manusia, inshaAllah, anda akan sedar untuk apa anda hidup di dunia ini...

Baca Selengkapnya....

Berdakwah dengan kasih sayang...

“Syurga dan neraka adalah pekerjaan Allah, termasuk dalam hal-hal batin, kita tidak akan tahu siapa penghuni kedua-dua tempat ini”

Kata Ustazah Rahimah suatu pagi dalam kelas. Selama di tingkatan 4 dan tingkatan 5, Ustazah Rahimah ditugaskan untuk mengajar kelas saya, melalui kelas di awal pagi ini, kesedaran akan kewujudan Allah itu timbul.


“kadang-kadang kita tengok seorang yang mati dalam keadaan hina, perut membuncit, nanah bersembur, azab maut tu jelas pada muka masa roh nak diambil, kita kata dia ni penghuni neraka, siapa kata?”

Ustazah menyambung lagi,

“kalau kita tengok seorang yang mati dalam keadaan tenang, mudah dan baik, kita kata dia ni penghuni syurga, mana kita tahu?”

“kadang-kadang Allah azab dia di waktu nazak untuk melunaskan dosa-dosa dia, kerana Allah kasih pada dia, Dia tidak mahu hamba Dia yang satu ini diazab di akhirat kelak”

“Mungkin juga, kalau Dia matikan hambaNya dalam keadaan mudah kerana mahu hamba Dia yang satu ini diazab dengan teruk di neraka kelak. Hanya Allah yang tahu, kita cuma mampu doakan sahaja.” Ustazah menghabiskan kata-katanya.

Satu penyakit yang datang bersarang di hati penggiat dakwah adalah merasakan mereka baik, mulia, suci dan lebih terhormat dari mereka yang berseluar carik, perokok, free hair, kaki lepak, dan macam-macam lagi.

Ya, di saat itu, mungkin dari sudut amal kita di saat itu lebih baik, namun itu adalah ketika itu, di saat itu, macam mana di saat akhir usia kelak, di saat menghampiri hujung usia, adakah kita ini kekal baik, kekal berakhlak mulia, kekal istiqamah?

Adakah ‘dia’ yang kita rasa hina, kotor, keji (meskipun tidak dilafaz, namun hati mengiyakan) akan kekal begitu? Macam mana kalau ‘dia’ bertaubat di akhir usianya, lalu Allah terima taubatnyaa dan di masyar kelak, dia dianugerahakan kemuliaan, sedangkan kita di sana kelak merangkak dalam keadaan hina bertemu Allah SWT!!

Siapa tahu?

Dalam sebuah riwayat sahih (kurang pasti kitab mana) ada menyebut mengenai seorang pejuang, yang berjuang di medan perang. Ditakdirkan Allah, sahabat ini cedera parah sehingga perang tamat. Allah mengujinya dengan kesakitan di akhir usianya, dan sahabat ini tidak dapat menahan kesakitan berpanjangan itu, lalu mengambil pisau dan membunuh diri.

Seorang muslim, istiqamah dengan islam,

Keluar menyahut seruan jihad bersama nabi,

Sedikit sahaja lagi, dia akan mati sebagai seorang syuhada’, dianugerahkan syurga oleh Allah,

namun sayang,

Tindakan ketika itu, menyebabkan dia dihumban ke dalam neraka!

Di sisi lain, mereka yang asalnya menentang islam, ramai yang kita lihat akhirnya memeluk islam dan mati sebagai seorang muslim sejati malah sebagai mukmin yang tegar mempertahankan agama ini.

Khalid al Walid, pernah memimpin tentera Quraisy di medan Uhud, sehingga mencederakan baginda, akhinya menjadi panglima agung empayar islam.

Abu Sufian, pemimpin Quraisy yang merancang pembunuhan baginda, masuk islam ketika Fathu Makkah, dan akhirnya menjadi perawi, anaknya, Muawiyyah pengasas kerajaan Bani Umayyah.

Umar al-Khattab, dari sekeji-keji manusia, peminum arak tegar, pembunuh anak sendiri, menjadi sahabat nabi yang utama, diangkat sebagai Amirul Mukminin.

Ini adalah hakikat!

Kita tidak tahu siapa kita pada masa akan datang, saya sendiri pernah melihat macam mana seorang pemimpin Badan Dakwah dan Rohani berubah menjadi orang yang dia kutuk ketika itu. Dari seorang penggerak dalam program imarah surau sekolah, berani berdepan dengan pengetua, berkopiah ke mana-mana sahaja.

Apabila masuk ke kampus,kopiah entah ke mana, berseluar carik, merokok, solat entah bila, berkepit siang malam. Namun, atas dasar saudara, saya tahu, ini juga mungkin berlaku pada saya suatu hari kelak, di saat itu, sudah tentu saya tidak mahu dihina dan lebih dijauhkan dari pulang ke pangkal jalan.  Alhamdullilah, 'sahabat' saya ini, walau dia berubah begitu, ilmu agama masih dia faham dan ingati, cuma tidak mampu menggerakkan dan mencorakkan tindakannya sahaja, hasil sokongan dan nasihat, 'sahabat' ini kini kembali perlahan-lahan kepada fitrah asalnya, hamba Allah swt.....

Semua ini adalah kisah benar yang telah berlaku dan boleh berlaku pada diri saya dan juga mungkin anda semua.

Justeru janganlah bersenang hati dengan diri kita kini, sebaliknya berdoalah moga-moga Allah kekalkan kita dalam islam dan matikan kita sebagai seorang yang islam dan mukmin.

Dakwah kasih sayang

"Hakikatnya, semua orang nak jadi baik, walau teruk macam mana pun dia" 
kata Adi pada saya,

Ya, semua orang mahu jadi baik, tiada orang dalam hatinya merasakan jijik menjadi baik, semua orang nak mati dalam keadaan baik, semua orang mahu mendapat jodoh yang baik, semua orang mahu mendapat anak yang baik, dan mereka sedar mereka perlu menjadi baik untuk itu.

Namun, seringkali, sikap tidak mesra alam dan riak peenggerak dakwah menjadikan mereka benci dan susah mendekati islam.

kepada ahli Harakah dakwah islamiyyah, anda adalah orang yang dipilih membarisi perjuangan, diberi Allah hidayah dan keinginan mendalami ilmu agama.

Maka, jangan kelebihan itu anda calari dengan sikap bangga diri, riak, sombong dan ujub. Sebaliknya pandanglah manusia di sekeliling sebagai mereka yang memerlukan panduan dan petunjuk, bersabar dan dekatilah mereka dengan sikap kasih sayang.

Banyak contoh-contoh yang dapat kita pelajari, bagaimana sabarnya Nabi Nuh a.s berdakwah kepada kaumnya, selama 950 tahun, bagaimana kisah ketika mana baginda dicederakan penduduk Taif,

Tatkala Malaikat berkata kepada baginda,

“wahai Muhammad, engkau katakana sahaja kepada aku, apa yang engkau mahu aku buat dengan penduduk Taif ini, kalau engkau mahu aku hempapkan bukit kepada mereka, akan aku laksanakan tanpa berlengah-lengah “

Apa kata baginda?

“Jangan, jika kau simpati padaku, tolonglah berdoa kepada Allah, agar Allah member hidayah dan petunjuk kepada penduduk Taif”

Inilah dakwah baginda Nabi Muhammad SAW, penuh dengan sifat kasih sayang, dan kesabaran yang menebal dalam menghadapi cabaran dakwah. Sayang amat sedikit penggerak dakwah pada hari ini memiliki sifat kasih sayang dalam berdakwah.

Tidak ramai mereka yang mengaku ahli gerakan mampu merakyat, masuk dengan setiap lapisan masyarakat, mengenali mereka, menggauli mereka sebagai saudara yang rapat, dan memipin mereka ke jalan yang benar.

Ya, mungkin untuk permulaan, agak kekok, terutama mereka yang memang sebelum itu jenis tidak mesra alam, bersendirian, termasuk saya sendiri, namun demi dakwah ini, perlu kita mengubah sikap itu.

Sepanjang di kampus, saya ada mencuba mengubah sikap bersendirian saya, dan cuba untuk masuk dengan semua orang, namun ia memerlukan masa untuk membiasakan diri. Dalam aspek ini, sahabat saya, Hisyam adalah yang paling saya kagumi. Sikapnya yang sentiasa ambil berat dan ringan mulut itu merupakan asset penting dan berharga dalam dakwah.

Mungkin sikap itu lahir dari hatinya yang sentiasa bersangka baik dan lembut terhadap orang lain (bertuah sapa jadi bini enta). Inilah satu sikap yang perlu ada dalam diri pendakwah, jika anda seorang yang pendiam, kurang bercakap, cubalah mengubah diri dan sikap itu. 

Mulakan dengan menggerakkan hati untuk mengasihani orang-orang sekeliling anda, jika mereka melakukan maksiat, kasihan pada mereka, jangan biarkan dia ddicampak ke neraka kerana sikap benci kita...

inshaAllah ada hasilnya...

Baca Selengkapnya....

Tuesday, April 21, 2009

Sejarah: Kembalinya Makkah kepada keturunan Ismail

Apabila suku khuzaah menyerang dan merampas Makkah dari suku Jurhum, mereka menghalau suku Jurhum keluar dari Makkah, Sebelum itu Makkah diperintah oleh zuriat Ismail a.s. Namun, ada keturunan Ismail yang terus tiinggal di Makkah, tetapi tiada kuasa dan tidak mendapat tempat di Makkah. 500 tahun suku Khuzaah memerintah Makkah selama itu keinginan mereka mengusai kembali Makkah tidak pernah padam sehingga datang Qusai Bin Kilab. Qusai adalah keturunan Ismail a.s, antara zuriat Nabi ismail a.s adalah Fihr, fihr digelar Quraisy dan Qusai adalah keturunan Fihr. Allah member kekuatan dan kekayaan kepada Qusai Bin Kilab, menjadikan dia seorang bangsawan Makkah.


Qusai akhirnya mengahwini anak perempuan Hulail, ketua Makkah dan ketua suku Khuzaah ketika itu. Apabila Hulail mati, Qusai ingin mengembalikan kepimpinan Makkah kepada keturunan Ismail, lalu mengisytiharkan dirinya ketua Makkah, maka berlakulah perperangan antara Quraisy pimpinan Qusai Bin Kilab keturunan Ismail, penduduk asal Makkah dengan suku Khuzaah yang merasa mereka juga berhak ke atas Makkah setelah berkuasa 500 tahun.


Perang yang tidak berkesudahan akhirnya membuat mereka bersetuju untuk mencari hakim bagi mengadili kes mereka. Orang bijaksana dipilih menjadi hakim dan masing-masing bersumpah akan menerima keputusan hakim itu, hakim bernama Ya’mur bun Auf. Ya’mur memanggil kedua pihak dan meminta hujah masing-masing.

Qusai Bin Kilab mengatakan, Makkah adalah kepunyaan datuk neneknya, Ismail adalah yang pertama mendiami Makkah dan membina Kaabah, walaupun Khuzaah sudah lama berkuasa, mereka adalah perampas kuasa. Khuzaah ketika itu tiada hujah yang konkrit.
Dengan itu, segala-galanya dikembalikan kepada Qusai Bin Kilab, Siqayah (Hak member minum rombongan haji), Rifadah (Hak memberi makan rombongan yang menunaikan haji), Hijabah (Hak penjagaan Kaabah dari musuh) dan Sidanah (Hak member layanan dan perkhidmatan kepada Kaabah) menjadi hak milik Qusai bin Kilab, beliau memerintah Makkah dengan bijaksana dan adil. Beliau membina Darul Nadwah sebagai pusat pemerintahan.

Apabila Qusai meninggal semua ini diwariskan kepada anak sulungnya, Abdul Dar, selepas Abdul Dar meninggal, ia dibahagikan kepada anak-anak Qusai yang lain dan anak-anak Abdul Dar. Selain Abdul Dar, anak Qusai antaranya Abdul Manaf, anatara anak-anak Abdul Manaf adalah Muttalib dan Hasyim, dan antara anak hasyim adalah Syaibah. Hayim tidak panjang umurnya, beliau meninggal ketika Syaibah masih kecil, lalu Syaibah dibawa ibunya keluar dari Makkah dan dibesarkan bersama sukunya, kerana ibu Syaibah, Ummu Hasyim adalah kaum yang tinggal di luar Makkah.

Apabila Syaibah meningkat remaja, Muttalib datang meminta untuk membawa Syaibah pulang ke Makkah, ibunya tidak setuju, lalu kata Muttalib,

“Syaibah ini dari keturunan Qusai bin Kilab, dia adalah pemuka Quraisy, tidak sepatutnya dia tinggal di luar Makkah, lagipun dia sudah cukup umur sekarang”

Akhirnya, keputusan diserah kepada Syaibah, dan Syaibah memilih untuk kembali ke Makkah. Apabila Muttalib membawa Syaibah masuk ke Makkah, orang ramai melihat Muttalib membawa budak remaja di belakangnya, mereka menyangka Muttalib membeli hamba, lalu mereka memanggil Syaibah dengan gelaran Abdul Muttalib, iaitu hamba Muttalib, gelaran ini menjadi masyhur akhirnya.

Dari Abdul Muttalib lahirnya Abdullah, lalu lahirlah insan mulia iaitu Muhammad saw....

Ibrahim a.s -> Ismail a.s -> Fihr (Quraisy) -> Qusai Bin Kilab -> Abdul Manaf -> Hasyim -> Syaibah (Abdul Muttalib) -> Abdullah -> Muhammad saw

Rujukan: Biografi Muhammad Bin Abdullah, karangan Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusoff & Prof. Madya Dr. Noor Naemah Abd. Rahman

Baca Selengkapnya....

Sejarah:kemasukan syirik ke semenanjung arab

Tidak berapa lama Siti Hajar menemui telaga zam-zam yang terbit hasil hentakan anaknya, Ismail a.s, suku pertama yang melalui kawasan lembah makkah itu adalah suku Jurhum. Ketika itu mereka melihat kawanan burung berterbangan ke arah tempat Siti Hajar dan Ismail a.s, mereka sedia maklum kawasan itu (lembah Mekah) adalah kawasan yang kering kontang, dan bumi yang tandus, kedudukan Makkah adalah lembah diantara empat bukit, dua dari empat bukit itu adalah bukit Safa dan Marwah.


Apabila suku Jurhum tiba ke tempat Siti Hajar dan Ismail a.s, mereka yang dikenali memiliki akhlak dan budi pekerti mulia tidak merampas telaga itu, sebaliknya mereka meminta izin dari Siti Hajar, malah mereka rela membayar untuk air itu sekiranya dikhendaki oleh Siti Hajar, akhirnya mereka membina penempatan di lembah itu dan tinggal bersama Siti Hajar dan Ismail a.s.


Apabila Nabi Ibrahim kembali ke situ, didapati telah terbentuk satu masyarakat di situ. Apabila Nabi Ismail meningkat dewasa, maka Allah memerintahkan baginda bersama Ismail a.s membina kembali Kaabah di tapak asal Kaabah mula-mula dibina oleh Adam a.s. Kaabah dibina sejak zaman Adam a.s lagi, kemudiannya runtuh dan terkambus.

Selesai sahaja Kaabah dibina, maka Allah memerintahkan Ibrahim a.s menyeru manusia menziarahi Kaabah, Ibrahim berkata,

“wahai Tuhan! Bagaimana suara aku boleh sampai kepada pendengaran semua manusia?”

Allah menegasskan, tugas Ibrahim hanyalah menyeru, Dialah yang akan menyampaikan kepada manusia. Ibrahim naik ke bukit Arafah dan menyeru manusia seluruh dunia datang menziarahi Kaabah. Dengan kuasa Allah, suara Nabi Ibrahim a.s didengari oleh semua manusia, dan Allah campakkan dalam hati mereka rasa cinta bagi memuliakan Kaabah.

Berbondong-bondong manusia datang ke Kaabah, khususnya dari semenanjung Arab, melakukan ibadat haji di Makkah, mereka menghormati dan memuliakan kaabah. Sejak daripada itu, seluruh bagsa Arab menganut agama Hanif iaitu agama Nabi Ibrahim a.s, iaitu agama yang menyembah hanya satu Tuhan yakni Allah swt.

Syirik masuk ke semenanjung Arab

Apabila Nabi Ismail a.s dewasa, baginda berkahwin dengan suku Jurhum, maka suku Jurhum zuriat Nabi Ismail a.s adalah pemerintah dan ketua Makkah sehinggalah ddatang suku Khuzaah pimpinan Amru bin Lu’ayy. Suku Khuzaah menyerang suku Jurhum dan merampas Makkah. Amru bin Lu’ayy adalah orang pertama memperkenalkan berhala kepada kaumnya. Kerana kedudukan Makkah yang diziarahi setiap tahun oleh setiap suku arab di semenanjung arab ketika itu, maka ajaran menyembah berhala ini tersebar ke seluruh kaum arab.

Amru adalah seorang yang kaya dan dermawan, dia menyediakan segala kemudahan dan keperluan kepada mereka yang datang menunaikan haji di Makkah, maka orang mudah terpengaruh kepada kata-katanya, lantas menurut perintahnya menyembah berhala. Bermula dari itu, setiap suku mempunyai berhala sembahan masing-masing,

Hubal adalah berhala orang Makkah,

Wud berhala suku Kilab,

Suwa’ berhala suku Huzail,

Yaguth berhala suku Thoyyik,

Ya’uq berhala suku Hamazan,

Nasr berhala orang Yaman dan bermacam-macam berhala lagi termasuk Latta dan Uzza.
Meskipun setiap suku memiliki berhala masing-masing, namun semua berhala ini terdapat di Makkah, bagi mereka sembah ketika menunaikan haji setiap tahun. Terdapat dua berhala yang menarik iaitu Isaf dan Nailah.

Menurut ahli sejarah asal Isaf ini seorang pemuda dari Yaman dan Nailah seorang gadis dari Yaman, mereka saling mencintai tetapi tidak dibenarkan berkahwin oleh keluarga mereka. Ringkasnya mereka bertemu di Makkah ketika musim haji. Tanpa disedari ramai mereka melakukan perbuatan zina di tepi Kaabah, sebagai balasan Tuhan menukarkan mereka berdua menjadi batu. Selepas itu, Isaf diletakkan di bukit Safa dan Nailah di bukit Marwah sebagai peengajaran dan poeringatan kepada orang lain.

Apabila datang Amru bin Lu’ayy datang ke Makkah, dia memindahkan kedua-dua batu itu ke Kaabah, lalu menjadikan dua batu itu berhala yang disembah kerana sudah lupa akan asal usul batu itu. Kerana ini jugalah Islam melarang sebarang binaan berbentuk makhluk hidup kerana mungkin menjadi sembahan manusia kelak, kecuali binaan itu merupakan sembahan agama lain, ini kerana Islam tidak menyekat hak agama lain, malah haram bagi pemerintah Muslim merobohkan binaan-binaan yang menjadi sembahan agama lain.

Berbalik kepada semenanjung arab, ketika ini, berhala mula menjadi sembahan suku-suku Arab, mereka menyamakan Allah dengan berhala-berhala ini, mereka mula melupai akan ajaran Ibrahim a.s iaitu menyembah Allah, satu-satunya tuhan.


Rujukan: Biografi Muhammad Bin Abdullah, karangan Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusoff & Prof. Madya Dr. Noor Naemah Abd. Rahman

Baca Selengkapnya....

Tuesday, April 14, 2009

Selamat menghadapi ujian buat semua!!




Baca Selengkapnya....