Kenapa kita perlu belajar sejarah?
“kalau nak ikut kepala aku, tak payahlah belajar sejarah ni, ni cerita orang dulu-dulu, semua orang ni dah mati, sekarang ni zaman kita, kita buat kepala kita jelah”
Ha...ini kata-kata yang diungkapkan seorang kawan sekelas saya ketika tingkatan tiga, tidak direka-reka. Anda setuju?
“Hang kata tu betul, kalau dok pikir benda-benda lama ni buat sakit kepala, tapi benda-benda lama ni macam back mirror motor kau tau. Kau nak gerak depan, kau kena tengok belakang jugak”
Ini pula kata-kata achik masa tahun satu, sambil baring kat katil bob
Betul, sejarah itu mengajar kita realiti, sesiapa yang melupai sejarah, akan mengulangi kesilapan lalu. Sesiapa yang belajar dari sejarah akan tahu ke mana dia harus melangkah ke arah mencapai cita-cita.
Namun, persoalannya sekarang, sejarah sampai mana perlu kita tahu, cukupkah sekadar kita belajar dari kesilapan diri kita sebelum ini?
Atau menjangkau kepada sejarah nenek moyang kita?
Atau sudah cukup kita mengetahui sejarah bangsa kita?
Sampai mana?
Sudah pasti mereka yang berjuang bermati-matian untuk negara kerana mereka tahu dan menjiwai sejarah dan perjuangan orang-orang terdahulu, saya adalah peminat sejarah, subjek yang paling saya minati ketika darjah lima adalah kajian tempatan kerana ketika ini banyak disebut akan sejarah kerajaan Melaka, kedatangan Portugis,Belanda dan Inggeris.
Ketika itu,markah kajian tempatan saya paling tinggi dalam kelas, tetapi untuk subjek lain hampir semua cukup-cukup makan sahaja (haha). Masuk sekolah menengah, minat saya semakin bertambah, melihat bagaimana, suatu ketika krisis tiga segi diantara Melaka (Portugis)-Acheh-Johor dalam menguasai selat Melaka ketika itu. Kejatuhan negeri-negeri melayu kepada British, pendudukan jepun, pemerintahan komunis selama 15 hari.
Kewujudan UMNO, keluarnya Dato’ Onn dari UMNO kerana ahli UMNO tidak mahu menerima keahlian bukan melayu, dan bermacam-macam lagi. Hampir semua itu saya baca dengan minat ketika itu.
Namun, kini saya tertanya-tanya ke mana perginya nama-nama pejuang kemerdekaan yang dihumban ke dalam ISA oleh British, seperti Dr.Burhanudddin Al-Helmy, Prof Zulkifli Mohamad yang tempang?
Di mana sejarah kewujudan Hizbul Muslimeen yang diasaskan Abu Bakar Baqir? sejarah perhimpunan 10,000 penggerak Hizbul Muslimeen di gunung semanggol. kenapa para ulama' selepas Hizbul Muslimeen diharamkan bersama UMNO ketika menuntut kemerdekaan, sebaliknya sebaik mencapai kemerdekaan mereka keluar UMNO dan menubuhkan PAS?
Betulkah Shamsiah fakeh itu menganut ajaran komunis apabila masuk komunis? Kenapa ramai tokoh-tokoh agama itu masih kekal bersama komunis, walaupun UMNO telah ditubuhkan dan kemerdekaan telah dicapai? Apa yang mereka mahu sebenarnya?
Betulkah Tok janggut menentang British kerana mahukan hak mengutip cukai?
Bagaimana pula Haji Abdul Rahman Limbong?
Malah, betulkah tujuan kedatangan British adalah untuk mendapatkan rempah? Kenapa tidak mereka beli sahaja rempah itu? Kenapa perlu sampai mereka keluarkan kos dan tenaga dalam berperang dengan orang melayu? Adakah orang melayu enggan menjual rempah ketika itu?
Banyak catatan-catatan yang tidak sampai kepada masyarakat, Tok Janggut bangkit berjuang menentang British kerana mendapat surat perutusan daripada Khilafah Uthmaniyyah untuk menghalau British, kerana British datang dengan tujuan meruntuhkan aqidah umat islam. Sehingga kini, surat itu masih ada, kenapa tiada dalam buku teks?
Semua orang melayu yang masuk komunis, benarkah mereka ini menganut ajaran itu? Betulkah mereka ini pengkhianat? Atau mereka masuk komunis kerana itu sahaja jalan ke arah membebaskan penjajahan pemikiran British. Sejarah ada mencatatkan bagaimana orang yang masuk hutan dalam keadaan tidak kenal agama, keluar dari hutan mampu mengajar al-Quran.
Kalau betul British datang untuk mengaut hasil bumi, kenapa perlu sampai mereka mengawal pentadbiran, mereka boleh sahaja datang dan membuat urus niaga yang jauh lebih mudah dari mentadbir Tanah Melayu.
Kenapa sistem residen yang diperkenalkan di perak selepas perjanjian Pangkor hanya member hak adat dan ritual agama kepada sultan, sedangkan kehakiman, pentadbiran, kewangan adalah di bawah kepala British? Bukankah ini unsur sekularisma yang amat jelas? Apakah niat British sebenarnya?
Semua ini adalah persoalan yang kabur di kepala saya, akhirnya timbul satu persoalan, bolehkah sejarah yang tertulis dalam buku teks sejarah Malaysia itu saya percaya?
Apabila saya berkenalan dengan blog saifulislam.com, artikel yang paling menarik minat saya adalah yang menyentuh sejarah, sejarah di saat keruntuhan khilafah terutama sekali, bagaimana pemikiran masyarakat islam ketika itu, surat Maharaja Meiji kepada Khalifah Sultan Abdul Hamid II, peranan Mustapha kamal yang dimainkan dalam menjatuhkan khilafah.
Semakin lama, apabila mengikuti kelas agama Ust Shamsuri, sama ada melalui CD atau live di masjid-masjid, semakin jauh dan dalam sejarah itu ditempuh dan sudah pasti memberi gambaran yang lebih jelas akan kedudukan bangsa melayu dan islam, malah ia juga memberi jawapan untuk apa sepatutnya kita selaku manusia berjuang, jangan kita menjadi sebagaimana pejuang bangsa Arab ketika era khilafah dahulu.
Betul, sejarah mengajar kita banyak perkara, malah sejarah jua yang memberitahu kepada kita yang mana salah, yang mana betul, jika anda hanya membaca sejarah negara dan bangsa ini, maka anda akan menjadi pejuang bangsa, namun jika anda membaca sejarah hingga kepada asal kejadian manusia, inshaAllah, anda akan sedar untuk apa anda hidup di dunia ini...
1 komen sahabat:
salams, nice entry betul tu. sejarah la mengajar kita erti muhasabah dalam hidup ni.
ps: kita cipta sejarah?Bila?
Post a Comment