Tuesday, April 21, 2009

Sejarah: Kembalinya Makkah kepada keturunan Ismail

Apabila suku khuzaah menyerang dan merampas Makkah dari suku Jurhum, mereka menghalau suku Jurhum keluar dari Makkah, Sebelum itu Makkah diperintah oleh zuriat Ismail a.s. Namun, ada keturunan Ismail yang terus tiinggal di Makkah, tetapi tiada kuasa dan tidak mendapat tempat di Makkah. 500 tahun suku Khuzaah memerintah Makkah selama itu keinginan mereka mengusai kembali Makkah tidak pernah padam sehingga datang Qusai Bin Kilab. Qusai adalah keturunan Ismail a.s, antara zuriat Nabi ismail a.s adalah Fihr, fihr digelar Quraisy dan Qusai adalah keturunan Fihr. Allah member kekuatan dan kekayaan kepada Qusai Bin Kilab, menjadikan dia seorang bangsawan Makkah.


Qusai akhirnya mengahwini anak perempuan Hulail, ketua Makkah dan ketua suku Khuzaah ketika itu. Apabila Hulail mati, Qusai ingin mengembalikan kepimpinan Makkah kepada keturunan Ismail, lalu mengisytiharkan dirinya ketua Makkah, maka berlakulah perperangan antara Quraisy pimpinan Qusai Bin Kilab keturunan Ismail, penduduk asal Makkah dengan suku Khuzaah yang merasa mereka juga berhak ke atas Makkah setelah berkuasa 500 tahun.


Perang yang tidak berkesudahan akhirnya membuat mereka bersetuju untuk mencari hakim bagi mengadili kes mereka. Orang bijaksana dipilih menjadi hakim dan masing-masing bersumpah akan menerima keputusan hakim itu, hakim bernama Ya’mur bun Auf. Ya’mur memanggil kedua pihak dan meminta hujah masing-masing.

Qusai Bin Kilab mengatakan, Makkah adalah kepunyaan datuk neneknya, Ismail adalah yang pertama mendiami Makkah dan membina Kaabah, walaupun Khuzaah sudah lama berkuasa, mereka adalah perampas kuasa. Khuzaah ketika itu tiada hujah yang konkrit.
Dengan itu, segala-galanya dikembalikan kepada Qusai Bin Kilab, Siqayah (Hak member minum rombongan haji), Rifadah (Hak memberi makan rombongan yang menunaikan haji), Hijabah (Hak penjagaan Kaabah dari musuh) dan Sidanah (Hak member layanan dan perkhidmatan kepada Kaabah) menjadi hak milik Qusai bin Kilab, beliau memerintah Makkah dengan bijaksana dan adil. Beliau membina Darul Nadwah sebagai pusat pemerintahan.

Apabila Qusai meninggal semua ini diwariskan kepada anak sulungnya, Abdul Dar, selepas Abdul Dar meninggal, ia dibahagikan kepada anak-anak Qusai yang lain dan anak-anak Abdul Dar. Selain Abdul Dar, anak Qusai antaranya Abdul Manaf, anatara anak-anak Abdul Manaf adalah Muttalib dan Hasyim, dan antara anak hasyim adalah Syaibah. Hayim tidak panjang umurnya, beliau meninggal ketika Syaibah masih kecil, lalu Syaibah dibawa ibunya keluar dari Makkah dan dibesarkan bersama sukunya, kerana ibu Syaibah, Ummu Hasyim adalah kaum yang tinggal di luar Makkah.

Apabila Syaibah meningkat remaja, Muttalib datang meminta untuk membawa Syaibah pulang ke Makkah, ibunya tidak setuju, lalu kata Muttalib,

“Syaibah ini dari keturunan Qusai bin Kilab, dia adalah pemuka Quraisy, tidak sepatutnya dia tinggal di luar Makkah, lagipun dia sudah cukup umur sekarang”

Akhirnya, keputusan diserah kepada Syaibah, dan Syaibah memilih untuk kembali ke Makkah. Apabila Muttalib membawa Syaibah masuk ke Makkah, orang ramai melihat Muttalib membawa budak remaja di belakangnya, mereka menyangka Muttalib membeli hamba, lalu mereka memanggil Syaibah dengan gelaran Abdul Muttalib, iaitu hamba Muttalib, gelaran ini menjadi masyhur akhirnya.

Dari Abdul Muttalib lahirnya Abdullah, lalu lahirlah insan mulia iaitu Muhammad saw....

Ibrahim a.s -> Ismail a.s -> Fihr (Quraisy) -> Qusai Bin Kilab -> Abdul Manaf -> Hasyim -> Syaibah (Abdul Muttalib) -> Abdullah -> Muhammad saw

Rujukan: Biografi Muhammad Bin Abdullah, karangan Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusoff & Prof. Madya Dr. Noor Naemah Abd. Rahman

0 komen sahabat: