Sunday, November 8, 2009

Allah's right

Salah satu keistimewaan negeri Pulau Pinang berbanding negeri lain adalah percambahan ilmu dan pemikiran yang pantas dan rancak. Isu-isu semasa, perbezaan pandangan dalam aspek agama dapat diadakan tanpa sebarang krisis. Pembacaan terhadap makalah-makalah intelektual dan agamawan dibaca dan diajarkan dari sedalam-dalam ilmu berkaitan hati, aqidah dan ketuhanan yang melibatkan pembinaan jati diri, sehingga sebesar-besar perkara yang mengcakupi masyarakat yang bersifat haraki.

Selari dengan itu, program-program dakwah di negeri ini amat rancak dijalankan semua pihak, agamawan seperti Ust Shamsuri yang kuliah bulanan beliau menggali kembali khazanah ilmu islam ulama’ nusantara, pengisian yang dikaitkan dengan sains oleh Dr. Danial Zainal Abidin di surau KBSN, Presiden ABIM Sdr. Yusri Mohamad pernah memberi ceramah di USM, malah Dato’ Dr. Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS pernah memberi penerangan mengenai alam jin di Dewan Budaya USM. Selain itu, satu gerakan dakwah yang saya kira rancak di Pulau Pinang, iaitu dakwah kepada non muslim, oleh Islamic Propagation Society International (IPSI) yang digerakkan oleh Brother Kamarudin Abdullah.

Selain kelas perbandingan agama yang memberi kefahaman kepada para daie konsep agama Yahudi, Kristian, Buddha, dan Hindu, salah satu aktiviti IPSI adalah menganjurkan talk daripada tokoh-tokoh islam dari seluruh dunia yang kebanyakannya converter. Ivone Ridley, antaranya, seorang wartawan British yang pernah ditahan Taliban di Afghanistan yang akhirnya melihat kebenaran islam melalui jaring besi di Afghanistan, lalu memeluk agama islam.

Salah seorang tokoh yang pernah dijemput memberi talk di USM adalah Brother Yusuf Estes. Ada satu kata-kata beliau yang saya ingat sehingga hari ini, malam itu beliau memulakan ucapan dengan berkata,

“Nowadays, in this world we have our right, I want my right, you want your right. We also have human right, women right, children right and all those right! But remember brothers and sisters, above all those rights, is Allah’s right!”

Islam adalah agama yang mengutamakan hak. Hak sebagai manusia, hak untuk beragama, hak untuk hidup, dan ia mampu kita fahami melalui konsep maqasid syariah iaitu matlamat islam ini diturukan kepada manusia. Malah islam sebagai rahmat untuk sekalian alam juga meletakkan hak bagi orang bukan islam sebagai tuntutan bagi mereka yang beriman kepada Allah swt.

Dalam kontek muamalat, berlaku dengan adil dan menjauhi perkara zalim adalah menunaikan hak Allah, menjauhi riba adalah menunaikan hak Allah, menyuarakan perkara yang bertentangan dengan syariat islam adalah menunaikan hak Allah, malah apabila seorang pemerintah islam menunaikan hak non muslim di bawah penguasaannya juga menunaikan hak Allah.

Sleeping Buddha

Sewaktu tingkatan tiga, tahun 2002, ketika itu satu patung sleeping Buddha terbesar di asia tenggara ditempatkan di Tumpat dan dirasmikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan. Seorang kawan saya yang tidak bersetuju dan membantah, katanya seolah-olah kita orang islam ni meraikan pula agama lain. “Dulu masa mula-mula memerintah, patung kijang kat bulatan kijang tu cabut, kata haram patung menyerupai makhluk, yang patung Buddha ni, punya besar, gi rasmi pulak, berpolitik tak sudah!”

Dalam agama islam, memang diharamkan untuk membina patung atau monumen yang menyerupai makhluk, kerana dibimbangi akan membawa kembali sembahan berhala, sebagaimana umat nabi musa, selepas diselamaatkan dari Firaun menyembah patung lembu betina yang mengeluarkan bunyi. Justeru itu, segala monumen yang menyerupai makhluk mesti dimusnahkan, kecuali patung-patung atau monumen-monumen yang menjadi sembahan penganut agama lain. Malah haram jika seorang penguasa muslim memusnahkan patung-patung sembahan itu, ini kerana salah satu prinsip islam adalah kebebasan dalam beragama kepada mereka yang bukan islam.

Memberi kebebasan ini adalah mutlak hak Allah swt. Namun, jika patung yang asalnya disembah kemudian ditinggalkan dan tidak lagi disembah, di waktu itu boleh dirobohkan. Sebagaimana di akhir pemerintahan Taliban di Afghanistan, mereka menghancurkan patung Buddha tertua di dunia, namun apabila Hamid Karzai memerintah, diupah pengukir dari jepun untuk membina kembali patung itu sebagai tujuan pelancongan!

Pengkid

Ketika isu pengharaman ‘pengkid’ oleh majlis fatwa kebangsaan, saya ditanya oleh kawan-kawan non muslim yang berfahaman sosialis, ketika itu, kami sedang minum di Pelita Nasi Kandar sambil berbincang isu-isu semasa.

“Ashraf, apa you punya komen tentang pengharaman pengkid?” Tanya salah seorang dari mereka.

“Bagi saya ia sejajar dengan tuntutan islam” jawab saya.

“Kamu tak rasa tindakan macam tu menyekat kebebasan dan hak asasi manusia ke?”

Apabila berdepan dengan situasi seperti ini, bagi saya yang pertama kita kena meraikan soalan mereka dan menggunakan ia sebagai ruang untuk memberi penerangan tentang islam. Mereka bertanya kerana mereka mahu tahu, jangan pula kita kata, “Eh you ni, ini urusan agama kami, jangan pandai-pandai nak masuk campur”, ini adalah tindakan yang reaktif, bukan proaktif. Kedua perlu kita fahami, mereka ini berfahaman bagaimana? Kerana mereka sosialis, sudah pasti hak-hak individu ini menjadi perjuangan mereka.

Saya menerangkan kepada mereka, sebagai orang islam, kami juga memperjuangkan hak individu, namun bagi kami hak kepada Allah itu paling utama, mengatasi hak-hak lain. Apabila berlaku pertembungan di antara kehendak Allah dan manusia yang beriman, maka hak Allah mesti diutamakan, dan ia wajib bagi muslim. Justeru itu, pengharaman pengkid adalah menunaikan hak Allah, atau dalam erti lain, hak kami sebagai orang islam untuk mempraktikkan agama kami dengan bebas yang mana termasuk dalam hak kebebasan seorang manusia. Perbincangan selepas itu lebih memfokuskan kenapa islam mengharamkan pengkid dan seumpamanya.

Hak yang tidak tertunai

Secara mudah, melebihkan ajaran alQuran dan as sunnah dalam hidup seharian, adalah tuntutan sebagai hamba Allah dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah adalah hak Allah, melebihkan dan mengutamakan daripada segalanya, ideologi, kebanggsaan, patriotik, kepentingan diri dan bermacam-macam lagi. Dalam hadith ke-19, dalam kitab hadith 40 imam nawawi, Rasulallah berpesan kepada Abu Abbas Abdullah bin Abbas beberapa perkara, antaranya, kata baginda, “Jagalah Allah taala, nanti Allah akan menjaga engkau”.

Menjaga hak Allah bukan sahaja dari segi muamalat, sama ada sesama muslim atau kepada non muslim, yang lebih utama adalah menunaikan hak Allah sebagai individu muslim. Sebagai seorang islam, kita dituntut untuk menjadikan seluruh kehidupan kita hanya untuk Allah swt. Mendisplinkan diri dengan nilai-nilai islam, dengan menjadikan kehidupan sahabat sebagai tauladan. Membentengi diri dari maksiat, sama ada jelas atau tidak, dan maksiat yang paling manusia lupa adalah maksiat hati. Jika kita seorang pelajar, adakah kita benar-benar mengtauhidkan Allah dalam kita belajar? Dalam kita berbudi kepada manusia, adakah kita mengtauhidkan Allah dalam tindakan kita? atau kita mencari nama sebenarnya? Dalam kita menjaga ikhtilat, adakah kita benar-benar kerana Allah? Atau kerana malu kepada manusia?

Jika direnung, sebenarnya kita jarang sekali melakukan sesuatu benar-benar kerana Allah, sentiasa ada niat-niat dan sebab-sebab lain. Inilah punca kita tidak konsisten dalam beramal, inilah punca kita mudah kecewa kepada manusia, inilah punca amal-amal seharian kita tidak mendekatkan diri kita kepadaNya, sebaliknya diri kian takbur, ujub, dan sum’ah. Lama-kelamaan, tanpa disedari, diri semakin jauh, meskipun pada persangkaan kita, kita beramal kerana Allah swt.

“Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah Yang Maha kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji”

Al-Fatir: 15

Tunaikanlah HAK ALLAH SWT…


0 komen sahabat: