Malam itu, selepas maghrib perasaan kami semua amat sayu, malam itu bermula minggu ulang kaji bagi Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP). Selesai solat maghrib berjemaah, seperti biasa setelah menunaikan solat sunat rawatib, kami ahli jawatankuasa surau akan berkumpul di dalam bilik gerakan surau, walau sempit, tapi tempat itu jugalah kami suka berhimpit, di situlah kami belajar, di situlah kami berbincang, di situ jugalah kami tidur, walau cuma berlapikkan tikar, kadang-kadang atas simen tanpa apa-apa lapik, tanpa bantal, berhimpit sampai sepuluh orang! Terasa nilai ukhwah ketika itu.
Malam itu, saya mencari sahabat saya Nidzam, niat di hati ingin minta dia mengajar saya cara sebutan huruf yang tepat. Sepanjang di matrik, Nidzam banyak membantu saya membetulkan bacaan, bermula dari sebutan, tajwid, panjang pendek sebutan, hampir semuanya dibentuk dan diacu dengan teratur, shukran akhi.
“weh, maghi kito buat liqo’ metar. Rusydi mitok kumpul sumo, bawok quran sekali”, kata Nidzam kepada kami semua dalam bilik gerakan.
Tanpa banyak soal terus kami semua ambil quran dan berkumpul membentuk halaqah di anjung surau. Sebaik berkumpul, Rusydi memulakan dengan al fatihah, selawat dan sepotong ayat al Quran, sebagaimana biasa beliau mengetuai apa-apa majlis dan mesyuarat. Biasanya kalau kami berkumpul, ada perkara yang mahu dibincangkan, sama ada berkenaan gerak kerja, aktiviti surau, atau program. Tapi minggu itu minggu ulang kaji, Minggu Aspirasi Islam, program kemuncak saban tahun baru selesai, sepatutnya semua gerak kerja sudah selesai.
“Niat ana panggil antum semua malam ni sebenarnya nak buat usrah sementara menunggu waktu isyak, maklumlah sepanjang kita bergerak kerja dalam surau ni, tidak pernah kita adakan usrah sama-sama ajk surau”. Usrah berjalan sehingga menghampiri isyak. Di akhir usrah, satu kata-kata Rusydi,
“Ana sebenarnya rasa sedih bila fikir kita dah tak lama di sini, walau kita berada di matrik ni setahun sahaja, tiada usrah khas pun di kalangan kita, ana dapat rasakan ukhwah di sini jauh lebih tinggi kalau nak dibandingkan dengan waktu ana di sekolah. Walau di sekolah ana bersama dengan para huffaz quran, ada usrah, muqayyam, tamrin tapi nilai ukhwah kat sini betul-betul terasa. Sedih rasa nak tinggalkan zaman matrik ni.”
Sepanjang saya di matrik, satu-satunya usrah yang saya ikuti secara formal adalah usrah bersama En. Suhaimi, penyarah unit matematik. En. Suhaimi ahli JIM, juga anak usrah kepada Dr. Danial, bersama-sama dengan Prof Roslan. Manakala, usrah bersama ajk surau, tidak pernah dirancang atau dianjurkan, pada malam itu sahaja, di minggu ulang kaji semester kedua, diadakan usrah.
Meskipun usrah yang dibuat hanya sekali, tapi ketiga-tiga elemen usrah, ta’aruf, taffahum, dan takaful berjalan dengan baik sesama kami, ini kerana kami berusrah sepanjang berada di matrikulasi. Mana tidaknya, tidur sama-sama, bangun pagi serentak pukul 5 pagi, selesai solat subuh bersama, berkumpul sarapan di kafe pukul 7.30 pagi, selang waktu antara kuliah, berkumpul di surau solat Dhuha dan ulang kaji. Selesai kuliah pukul lima dan selepas solat asar, berkumpul lagi berbincang pasal gerak kerja, pukul 6 ptg makan sama-sama, lepas isyak, ulang kaji di surau jugak dan tidur pun di situ juga, boleh dikatakan hampir 24 jam bersama.
Dan sepanjang masa kami bersama itulah, kefahaman islam diterapkan, perkongsian ilmu dengan kawan-kawan, perkongsian pengalaman, kemahiran berorganisasi, segalanya diterapkan secara berterusan dan tidak lansung. Juga hasil dari ini adalah ukhwah yang cukup mantap dan terasa di hati. Bagi saya inilah usrah terbaik pernah saya lalui, walaupun tiada halaqah, tidak dimulakan dengan al fatihan dan diakhiri tasbih kafarah dan al-asr.
Niat kami untuk bersama dalam jawatankuasa itulah pembuka kepada usrah kami, bacaan quran secara talaqi di bilik ajk itulah sesi saya membaiki bacaan quran, perbincangan isu-isu semasa, agama, dan sejarah islam di bilik gerakan, di kafe itulah ilmu dari usrah ini. Qudwah sahabat-sahabat menjadi cerminan kepada diri. Gerak kerja melatih nilai-nilai takaful dalam diri, berkongsi masalah, tidur dan belajar di tempat yang sama membuang sifat ananiyyah dari dalam diri, menguatkan nilai ta’aruf dan taffahum dalam diri, dan pengakhiran usrah ini malam terkhir kami di matrikulasi, bersama-sama sahabat, pelukan ukhwah dan titisan air mata mengakhiri segalanya, inshaAllah, ukhwafillah kita kekal selamanya sahabat..
0 komen sahabat:
Post a Comment