Sunday, November 8, 2009

Allah's right

Salah satu keistimewaan negeri Pulau Pinang berbanding negeri lain adalah percambahan ilmu dan pemikiran yang pantas dan rancak. Isu-isu semasa, perbezaan pandangan dalam aspek agama dapat diadakan tanpa sebarang krisis. Pembacaan terhadap makalah-makalah intelektual dan agamawan dibaca dan diajarkan dari sedalam-dalam ilmu berkaitan hati, aqidah dan ketuhanan yang melibatkan pembinaan jati diri, sehingga sebesar-besar perkara yang mengcakupi masyarakat yang bersifat haraki.

Selari dengan itu, program-program dakwah di negeri ini amat rancak dijalankan semua pihak, agamawan seperti Ust Shamsuri yang kuliah bulanan beliau menggali kembali khazanah ilmu islam ulama’ nusantara, pengisian yang dikaitkan dengan sains oleh Dr. Danial Zainal Abidin di surau KBSN, Presiden ABIM Sdr. Yusri Mohamad pernah memberi ceramah di USM, malah Dato’ Dr. Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS pernah memberi penerangan mengenai alam jin di Dewan Budaya USM. Selain itu, satu gerakan dakwah yang saya kira rancak di Pulau Pinang, iaitu dakwah kepada non muslim, oleh Islamic Propagation Society International (IPSI) yang digerakkan oleh Brother Kamarudin Abdullah.

Selain kelas perbandingan agama yang memberi kefahaman kepada para daie konsep agama Yahudi, Kristian, Buddha, dan Hindu, salah satu aktiviti IPSI adalah menganjurkan talk daripada tokoh-tokoh islam dari seluruh dunia yang kebanyakannya converter. Ivone Ridley, antaranya, seorang wartawan British yang pernah ditahan Taliban di Afghanistan yang akhirnya melihat kebenaran islam melalui jaring besi di Afghanistan, lalu memeluk agama islam.

Salah seorang tokoh yang pernah dijemput memberi talk di USM adalah Brother Yusuf Estes. Ada satu kata-kata beliau yang saya ingat sehingga hari ini, malam itu beliau memulakan ucapan dengan berkata,

“Nowadays, in this world we have our right, I want my right, you want your right. We also have human right, women right, children right and all those right! But remember brothers and sisters, above all those rights, is Allah’s right!”

Islam adalah agama yang mengutamakan hak. Hak sebagai manusia, hak untuk beragama, hak untuk hidup, dan ia mampu kita fahami melalui konsep maqasid syariah iaitu matlamat islam ini diturukan kepada manusia. Malah islam sebagai rahmat untuk sekalian alam juga meletakkan hak bagi orang bukan islam sebagai tuntutan bagi mereka yang beriman kepada Allah swt.

Dalam kontek muamalat, berlaku dengan adil dan menjauhi perkara zalim adalah menunaikan hak Allah, menjauhi riba adalah menunaikan hak Allah, menyuarakan perkara yang bertentangan dengan syariat islam adalah menunaikan hak Allah, malah apabila seorang pemerintah islam menunaikan hak non muslim di bawah penguasaannya juga menunaikan hak Allah.

Sleeping Buddha

Sewaktu tingkatan tiga, tahun 2002, ketika itu satu patung sleeping Buddha terbesar di asia tenggara ditempatkan di Tumpat dan dirasmikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan. Seorang kawan saya yang tidak bersetuju dan membantah, katanya seolah-olah kita orang islam ni meraikan pula agama lain. “Dulu masa mula-mula memerintah, patung kijang kat bulatan kijang tu cabut, kata haram patung menyerupai makhluk, yang patung Buddha ni, punya besar, gi rasmi pulak, berpolitik tak sudah!”

Dalam agama islam, memang diharamkan untuk membina patung atau monumen yang menyerupai makhluk, kerana dibimbangi akan membawa kembali sembahan berhala, sebagaimana umat nabi musa, selepas diselamaatkan dari Firaun menyembah patung lembu betina yang mengeluarkan bunyi. Justeru itu, segala monumen yang menyerupai makhluk mesti dimusnahkan, kecuali patung-patung atau monumen-monumen yang menjadi sembahan penganut agama lain. Malah haram jika seorang penguasa muslim memusnahkan patung-patung sembahan itu, ini kerana salah satu prinsip islam adalah kebebasan dalam beragama kepada mereka yang bukan islam.

Memberi kebebasan ini adalah mutlak hak Allah swt. Namun, jika patung yang asalnya disembah kemudian ditinggalkan dan tidak lagi disembah, di waktu itu boleh dirobohkan. Sebagaimana di akhir pemerintahan Taliban di Afghanistan, mereka menghancurkan patung Buddha tertua di dunia, namun apabila Hamid Karzai memerintah, diupah pengukir dari jepun untuk membina kembali patung itu sebagai tujuan pelancongan!

Pengkid

Ketika isu pengharaman ‘pengkid’ oleh majlis fatwa kebangsaan, saya ditanya oleh kawan-kawan non muslim yang berfahaman sosialis, ketika itu, kami sedang minum di Pelita Nasi Kandar sambil berbincang isu-isu semasa.

“Ashraf, apa you punya komen tentang pengharaman pengkid?” Tanya salah seorang dari mereka.

“Bagi saya ia sejajar dengan tuntutan islam” jawab saya.

“Kamu tak rasa tindakan macam tu menyekat kebebasan dan hak asasi manusia ke?”

Apabila berdepan dengan situasi seperti ini, bagi saya yang pertama kita kena meraikan soalan mereka dan menggunakan ia sebagai ruang untuk memberi penerangan tentang islam. Mereka bertanya kerana mereka mahu tahu, jangan pula kita kata, “Eh you ni, ini urusan agama kami, jangan pandai-pandai nak masuk campur”, ini adalah tindakan yang reaktif, bukan proaktif. Kedua perlu kita fahami, mereka ini berfahaman bagaimana? Kerana mereka sosialis, sudah pasti hak-hak individu ini menjadi perjuangan mereka.

Saya menerangkan kepada mereka, sebagai orang islam, kami juga memperjuangkan hak individu, namun bagi kami hak kepada Allah itu paling utama, mengatasi hak-hak lain. Apabila berlaku pertembungan di antara kehendak Allah dan manusia yang beriman, maka hak Allah mesti diutamakan, dan ia wajib bagi muslim. Justeru itu, pengharaman pengkid adalah menunaikan hak Allah, atau dalam erti lain, hak kami sebagai orang islam untuk mempraktikkan agama kami dengan bebas yang mana termasuk dalam hak kebebasan seorang manusia. Perbincangan selepas itu lebih memfokuskan kenapa islam mengharamkan pengkid dan seumpamanya.

Hak yang tidak tertunai

Secara mudah, melebihkan ajaran alQuran dan as sunnah dalam hidup seharian, adalah tuntutan sebagai hamba Allah dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah adalah hak Allah, melebihkan dan mengutamakan daripada segalanya, ideologi, kebanggsaan, patriotik, kepentingan diri dan bermacam-macam lagi. Dalam hadith ke-19, dalam kitab hadith 40 imam nawawi, Rasulallah berpesan kepada Abu Abbas Abdullah bin Abbas beberapa perkara, antaranya, kata baginda, “Jagalah Allah taala, nanti Allah akan menjaga engkau”.

Menjaga hak Allah bukan sahaja dari segi muamalat, sama ada sesama muslim atau kepada non muslim, yang lebih utama adalah menunaikan hak Allah sebagai individu muslim. Sebagai seorang islam, kita dituntut untuk menjadikan seluruh kehidupan kita hanya untuk Allah swt. Mendisplinkan diri dengan nilai-nilai islam, dengan menjadikan kehidupan sahabat sebagai tauladan. Membentengi diri dari maksiat, sama ada jelas atau tidak, dan maksiat yang paling manusia lupa adalah maksiat hati. Jika kita seorang pelajar, adakah kita benar-benar mengtauhidkan Allah dalam kita belajar? Dalam kita berbudi kepada manusia, adakah kita mengtauhidkan Allah dalam tindakan kita? atau kita mencari nama sebenarnya? Dalam kita menjaga ikhtilat, adakah kita benar-benar kerana Allah? Atau kerana malu kepada manusia?

Jika direnung, sebenarnya kita jarang sekali melakukan sesuatu benar-benar kerana Allah, sentiasa ada niat-niat dan sebab-sebab lain. Inilah punca kita tidak konsisten dalam beramal, inilah punca kita mudah kecewa kepada manusia, inilah punca amal-amal seharian kita tidak mendekatkan diri kita kepadaNya, sebaliknya diri kian takbur, ujub, dan sum’ah. Lama-kelamaan, tanpa disedari, diri semakin jauh, meskipun pada persangkaan kita, kita beramal kerana Allah swt.

“Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah Yang Maha kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji”

Al-Fatir: 15

Tunaikanlah HAK ALLAH SWT…


Baca Selengkapnya....

Sunday, November 1, 2009

Islam tetap akan bangkit!

“USM ni, masa ana datang dulu kan, masa tu lawatan sekolah, suasana cukup baik!”

“Owh…gitu ke? Abg Yusri dulu sekolah kat mana? Baik macam mana tu?”

“Abang dulu sekolah STAR, dulu masa abg datang, boleh nampak izzah islam dalam kampus ni, pemakaian, sosial, senang cakap bi’ah tu terasa, kat tasik harapan ni, waktu petang, penuh dengan halaqah usrah!”

Lebih kurang begitulah dialog saya dengan Abg.Yusri depan tasik harapan di suatu petang. Kata-kata atau ungkapan yang bercakap tentang keistimewaan USM sebagai sebuah kampus yang subur dengan suasana islam ini bukan pertama kali saya dengar, sebelum saya masuk ke USM pun saya pernah mendengar kata-kata seumpana ini. Malah sahabat-sahabat kampus lain pun ada yang tahu akan sejarah kegemilangan USM.

Apabila saya memasuki USM, saya teruja untuk melihat dan merasai sendiri gerak kerja amal islami di kampus ketika itu, tapi rupanya apa yang saya gambarkan sebelum itu jauh dari sangkaan, kampus telah berubah. Tiada kelihatan program-program berteraskan kefahaman islam dan intelek mewarnaikan kehidupan mahasiswa dan mahasiswi, kalau pun ada sambutannya hambar. Usrah juga jarang kelihatan, kalau pun ada, dibuat dalam keadaan menyorok-nyorok, seumpama orang bersalah.

Secara jujur saya kecewa ketika itu. Pun begitu, saya hormat kepada kepimpinan ketika itu yang sentiasa berusaha memikirkan langkah terbaik untuk mengembalikan islam di kampus, saya dapat melihat di sebalik wajah tenang mereka, mereka menanggung beban dalam hati mereka, beban tanggunjawab. Apabila saya mengambil alih kepimpinan, beban itu dapat saya rasai. Matlamat saya hanya satu, mahu mencari kembali formula yang telah hilang, keyakinan bahawa islam sentiasa relevan sepanjang zaman, adalah mutlak, persoalannya adakah pendekatan kami sudah lapuk? Lalu apakah pendekatan yang terbaik di waktu ini?

“Kalau kita tidak mampu membawa perubahan yang ketara, atau perubahan yang tidak mampu dilihat sekalipun, setidak-tidak kita mesti menyediakan tapak yang baik untuk generasi kita selepas ini menjulang panji islam di kampus” kata-kata sahabat pimpinan ketika itu.

Alhamdullilah, Allah datangkan seorang sahabat yang jelas fikrah dan kaya dengan idea-idea baru dan semasa, perlahan-lahan sepanjang sidang itu saya dan sahabat-sahabat cuba memahami dan mendalami konsep amal islami, matlamat, dan pendekatan yang sesuai dan terbaik. Masuk sidang kedua kepimpinan, semua idea dan pendekatan itu barisan kepimpinan ketika itu cuba ‘implement’ perubahan sikap, pendekatan dan keutamaan yang kami dalami. Walaupun ada kecacatan dan kegagalan, alhamdullilah, hasilnya lebih memberansangkan dan menunjukkan perubahan. Kini, kepimpinan telah diserahkan kepada mereka yang lebih memahami dan mendalami waqi’ terkini.

Kurang sebulan dari sekarang, saya akan menanggalkan gelaran mahasiswa dari diri saya, dan dalam tempoh ini saya banyak berfikir apa yang telah saya buat sepanjang dua tahun berada di dalam kepimpinan, teringat kata-kata Ust Hisom, "Kamu Mahasiswa suara kamu adalah emas, sebaik kamu dilucutkan taraf mahasiswa, suara kamu umpana tembaga". Yang pasti saya mengharapkan perubahan yang tidak mampu saya sendiri capai, tinggal satu saja harapan saya, kepimpinan kini mampu merealisasikan apa yang generasi sebelumnya harapkan. Petang semalam, saya ternampak di pulau tasik harapan ada dua usrah sedang berjalan, tiba-tiba hujan turun dengan renyai, siswa-siswi yang sedang berjogging masing-masing terlari-lari anak mencari tempat berteduh, tapi mereka masih kekal dalam halaqah, alhamdullilah, inshaAllah ini adalah permulaan kepada sebuah perubahan.

“Islam itu bermula dengan dagang (asing), dan ia akan kembali dagang, maka beruntunglah mereka yang dagang itu.”

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan kepadaNya. Sungguh, dia maha penerima taubat.” (An-Nasr:1-4)


Baca Selengkapnya....

Friday, October 30, 2009

Bencana Penarafan Universiti?


TANGGAL 8 Oktober 2009, apabila keputusan penarafan THES-QS diumumkan, saya sedang berada di bandar Giessen, lebih kurang satu jam dari Frankfurt, untuk memenuhi undangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) yang menjadi penaung utama semua universiti di benua tersebut.

Undangan ini sempena persidangan bertajuk "Pengantarabangsaan melewati sempadan Eropah" dan saya diminta memberi pandangan dari sudut luar Eropah sebagai seorang antara dua pengucaptama - seorang lagi adalah rakan Rektor, Berlin Free University, salah satu universiti tertua dan ternama di Jerman, malah Eropah.

Dewasa ini, e-mel bertalu-talu tiba mengesahkan "bencana" yang menimpa Malaysia. Jika Indonesia dengan gempa buminya, Filipina dengan banjir dan tanah runtuhnya, Samoa dengan tsunaminya dan Jepun banjirnya, bagi Malaysia pula menghadapai bencana gara-gara penarafan IPTAnya. Walaupun hanya beberapa buah IPTA sahaja yang terlibat, kesannya tidak kurang menggugat.

Media gamat dengan liputan berita tersebut. Anehnya hanya yang tersenarai sahaja yang dipertikaikan, sedangkan puluhan yang lain yang tidak langsung tersenarai (termasuk IPTS yang saban diiklan sebagai paling 'global' di akhbar-akhbar) nampaknya terselamat daripada bencana tersebut. Seolah-olah membayangkan lebih baik tidak tersenarai sama sekali daripada tersenarai.

Ini sahaja sudah cukup mengelirukan tentang apa cita rasa yang ingin diluahkan dalam hal ini? Kita belum lagi membincangkan tentang "cita rasa" penganjur THES-QS apabila beria-ia mendakwa penarafannya adalah tepat, bebas dan boleh dipercayai tanpa sebarang ragu-ragu lagi! Walaupun ada bukti sebaliknya! Apa pun kita mengangguk saja.

Sebagai perbandingan suasana di Giessen sewaktu persidangan tersebut cukup aman, biar ratusan rektor universiti Eropah dan benua lain, bersama dengan pegawai tertinggi universiti serta pelajar bersesak-sesak di dewan seminar Justus Liebig Universitat Giessen - sebuah IPTA berusia lebih 400 tahun.

Bandar Giessen merupakan bandar universiti dengan hampir 40 peratus penduduknya terdiri daripada warga universiti tersebut. Universitinya moden disulami tradisi ilmiah dan kesarjanaan yang kental.

Universiti itu juga tidak kurang mempunyai pusat kecemerlangan tersendiri di bawah Inisiatif Kecemerlangan Jerman yang dicontohi Malaysia di bawah Inisiatif APEX. Jelas, Justus Liebig Universitat cukup yakin dengan pencapaian dan jati dirinya.

Penarafan, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi bertujuan komersial, tidak langsung dihiraukan. Mereka tidak juga apologetic - malah kalaupun ada pengajaran daripada aktiviti penarafan, ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan pengukur institusi pendidikan.

Sebaliknya sesebuah universiti itu mempunyai keperibadiannya tersendiri; wawasan serta keunikannya - selaras dengan kefahaman "pendidikan" (bukan sahaja pelajaran atau kajian) yang memegang amanah ilmu dan kesarjanaan.

Kepelbagaian adalah kekayaannya, dan lagi unik adunan kepelbagaian tersebut - lagi terbina keperibadian universiti berkenaan. Ia bukan kilang yang mengeluarkan barangan tidak bernyawa yang seragam dan diseragamkan supaya mudah dibanding-bandingkan untuk tujuan tertentu.

Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya?

Begitu juga hal dengan institusi bergelar "universiti" - lebih-lebih ukuran yang dikenakan lebih mirip kepada bahan perkilangan atau untuk peraduan ratu cantik, atau sebaliknya! Pokoknya asas dan pandangan dunia dan amanah sebuah universiti tulen tidak sama dengan pandangan dunia dan amanah sebuah organisasi bukan pendidikan. Namun inilah yang sering kali dicampuradukkan sehingga memusnahkan sama sekali maksud sesebuah universiti di mata ramai di samping mengusutkan lagi keadaan.

Yang turut mengkagumkan adalah rektor-rektor universiti Eropah yang menghadiri persidangan itu amat jelas tentang tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah universiti. Autonomi berulang-ulang kali disebut untuk menyatakan kelainan sebuah universiti dengan organisasi lain, terutama yang berbentuk komersial, dan wujud untuk mengaut keuntungan.

Autonomi bagi mereka adalah benteng utama yang perlu dipertahankan dalam mengasuh dan mengangkat maruah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Disini mereka tidak berkompromi sama sekali dan enggan dijadi seolah-olah kerbau dicucuk hidung, diarak-arak atau diarah-arah ke hulu dan ke hilir seadanya saja.

Saya mengandaikan yang persidangan tersebut akan gegak gempita membahaskan soal penarafan apabila dilihat dari perspektif pengantarabangsaan. Saya mengagakkan keputusan THES-QS dijadikan tanda aras mutlak, dan turut menimbulkan "bencana" di Giessen seperti mana di tanah air.

Ternyata saya tersilap sama sekali. Selama dua hari berikutnya isu penarafan tidak sekalipun disebutkan baik oleh para penceramah mahupun peserta. Apabila cuba dicukil pendapat mereka, rata-rata maklum balasnya cukup dingin - kalau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "what about it?" (apa halnya?).

Dan bila dikatakan keputusan THES-QS sudah diumum, kelihatan mereka amat sinis dan jelek sekali, bagaikan menegur: "Siapa mereka ini untuk menjadikan universiti kami bak kerbau cucuk hidung?"

Umum tidak kisah langsung tentang isu tersebut kerana angka-angka penarafan bagi mereka tidak membawa erti apa-apa, kalaupun konsep penarafan boleh diterima. Malah seorang ada bertanya: "Bolehkah saya menaraf lima orang anak saya secara adil dan saksama? Apa lagi berbanding dengan anak orang lain?"

Natijahnya, dalam penarafan kita mesti ikut telunjuk orang lain yang mengadun segala-galanya. Umpama ratu cantik, kita juga perlu memperagakan diri, baik berbikini sekalipun, berlenggang lengguk, tersenyum tersipu-sipu untuk menawan pengadil dengan harapan untuk menjadi ratu!

Jika tidak agak sukar membayangkan apa-apa kejayaan. Apatah lagi turut diperhatikan dalam peraduan seumpama ini calon tuan rumah sering kali akan "menang" sesuatu kalaupun tidak hadiah pertama. Hal ini juga beransur lumrah dalam aktiviti penarafan di mana unsur-unsur penajaan dan sogokan (bagi sesetengah pihak dikatakan "rasuah") sudah mula menular.

Maka pernah universiti disyor mengiklankan nama dan logonya di laman web penaja dengan bayaran sekian banyak supaya lebih "mesra pelanggan" dan "mudah diperkenalkan" dan melonjakkan kedudukan. Malangnya tidak kurang juga yang terjebak dengan "tawaran" tersebut, umpama si ratu cantik meniduri pengadil, dengan harapan agar menang jua. Tidak kiralah jika maruah turut tergadai.

Banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkaitan aspek etika dan keutuhan (sama ada cara langsung atau tidak), sekali gus membuka tembelang usaha penarafan khususnya yang berbentuk komersial. Cukup banyak telah ditulis tentang hal ini supaya jangan terperangkap sebagai Pak Turut saja!

Maka di Giessen saya menghela nafas lega! Lebih daripada itu, saya bertambah yakin yang universiti sememang ada maruah dan nilai sendiri dalam kelangsungan menunaikan tanggungjawab serta amanah tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun, apa lagi yang berkepentingan cukup sempit dan anti cendekiawan! Ataupun mencari sanjungan pintas.

Saya juga belajar yang maruah ini ada kaitannya dengan nilai keluhuran dan kejujuran berilmu dan bersarjana, sesuatu yang tak dapat ditolak ansur dalam apa hal sekalipun; jangan sebutlah memperjudikan etika!

Akhir sekali saya sedar kita tidak perlu apologetic sekiranya jati diri ingin diperkasa. Rupa-rupanya universiti yang istimewa itu adalah universiti yang mengerti semua ini dan terus mempertahankan prinsip keilmuan biar "bencana" apa sekali yang mendatang. Bak kata orang tua-tua: Membujur lalu, melintang patah! Pantang maut, sebelum ajal.

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia


Baca Selengkapnya....

Monday, October 12, 2009

Interview with rap artist turned muslim

Video ini adalah temubual dengan seorang artis rap yang memeluk islam, cuba perhatikan bagaimana perbezaan riak wajah, cara bercakap, dan kedamaian antara sebelum hati mengenal Allah dan selepas hati menerima dan mengagungkan Allah swt...


Baca Selengkapnya....

Tuesday, October 6, 2009

Demi Matahari:SNADA



Baca Selengkapnya....

Tuesday, September 29, 2009

Merawat budaya kuning anak-anak (Ust Hasrizal)


“Kita ambil yang inilah. Biar sama dengan warna baju Abi” kata Ummu Saif kepada anak sulung kami.

“Ok!” jawabnya ringkas. Setuju tetapi dengan air muka yang tidak setuju.

Berbaju raya sewarna sedondon ini bukanlah kemestian bagi kami. Hanya sesekali. Fadhilatnya, memudahkan pengenalan diri tatkala anak-anak saudara sejumlah 36 orang itu mencabut baju seragam raya. Mudah untuk dikenal baju siapa, berpandukan warna.

“Yop sebenarnya nak baju warna apa?” saya tidak berpuas hati dengan reaksi anak yang tidak suka dengan baju yang bakal dipakai.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu membazir membeli pakaian yang nak dipakaikan kepada si anak, tetapi mengikut selera ibu bapa. Sedangkan harganya sama sahaja. Kenapa mahu dipaksa anak-anak memakai baju mengikut pilihan kita yang dibenci anak-anak?

Nanti kalau sikap seperti ini dibiarkan, silap-silap siapa suami dan isteri si anak pun mahu kita tentukan bila sampai masanya nanti.

“Yop nak baju warna kuning” jawab si anak.

“Hmm… kuning tak ada saiz. Nantilah kalau jumpa di tempat lain, kita tengok” saya membuat janji.

Tanpa bertangguh, kami sekeluarga segera pulang ke rumah selepas selesai membeli pakaian anak-anak. Suasana di pasaraya sangat sesak dan kami tidak mahu mendedahkan diri dan anak-anak kepada bahaya jangkitan H1N1 yang masih hangat.

RAHSIA WARNA KUNING

“Kenapa Yop nak baju warna kuning? Baju t-shirt nak kuning, baju Melayu pun nak kuning” saya cuba mengorek rahsia, selepas tiba di rumah.

“Yop suka kuning” jawabnya.

Hairan.

Macam mana boleh minat dengan warna kuning? Tiada sentuhan kuning di rumah kami.

“Kenapa Yop suka warna kuning?” saya bertanya lagi.

“Kuning warna kaya. Orang kaya!” jawab anak saya, malu-malu.

“HAH!?” tercengang saya dibuatnya.

Jawapan yang langsung tidak diduga.

“Yop suka pakai baju warna kuning sebab Yop suka kayalah, ya?” saya mahukan kepastian.

Dia mengangguk.

“Siapa kata warna kuning warna orang kaya?” saya menyambung pertanyaan lagi.

“Tak tahu. Kuning emas kot” jawabnya, selamba.

“Astaghfirullah. Materialistik sungguh!” saya menggaru kepala.

Entah di mana idea itu datang. Idea mahu kaya, mahu kelihatan kaya dan mengaitkan kuning dengan kekayaan.

“Lepas ni Abi rasa Yop tak payahlah gosok gigi. Biar gigi kuning. Baru nampak macam orang kaya. Orang kaya semua kuning. Baju kuning, gigi pun kuning!” saya melontar provokasi.

“Tak nak, tak nak” katanya tersengih-sengih mendengar cadangan saya.

IDEA YANG TIDAK SIHAT

Saya tidak suka dengan idea-idea kebendaan hinggap ke kepala anak-anak.

Keluarga kami tidaklah kaya dan tidak juga susah. Serba sederhana. Berbelanja masih mengira-ngira dan membeli mesti ada bajet dan bukan sesuka hati. Saya cuba pastikan kehidupan anak-anak tidak terganggu dengan kesusahan pada perkara-perkara yang penting buat mereka. Makan minum, pakaian, buku dan peralatan sekolah serta apa-apa yang bersangkutan dengan peningkatan diri mereka, saya cuba untuk tidak terlalu berkira.

Ada pun barangan yang tidak penting, dan mempunyai kesan yang tidak baik ke atas diri seperti PSP yang diinginkan si anak, saya tidak menyetujuinya. Dari semasa ke semasa, saya peringatkan mengapa PSP tiada dalam senarai. Cukuplah dengan komputer saya yang dikongsi bersama anak-anak, serta televisyen yang dipantau penggunaannya.

Daripada mana idea sukakan kekayaan dan mahu kelihatan kaya hinggap ke fikiran anak-anak saya?

Saya tidak dapat memastikannya.

Ia boleh datang daripada mana-mana sumber, dan soal itu tidak penting. Apa yang utama, ialah membetulkan kembali persepsi anak-anak terhadap kehidupan.

PERBANDINGAN

“Abi, nanti kalau Muiz dah besar macam mana?” kata Saiful Islam kepada saya.

“Macam mana apa?” saya tidak faham dengan soalannya.

“Nanti Muiz dah besar, kereta ni tak muat. Kenalah beli Alphard!” jawab anak saya.

Tersirap darah saya.

Geram pun geram juga.

Apabila pulang beraya, ada berbelas kereta adik beradik yang akan berkumpul di halaman rumah. Saya tidak pernah kisah siapa guna kereta apa, tetapi anak saya yang meminati ‘warna kuning simbol kekayaan’ itu, rupa-rupanya jatuh hati dengan Alphard pakciknya.

Sudah berkali-kali beliau asyik tanyakan saya tentang Alphard, meminta pandangan sama ada saya suka dengan kereta itu atau tidak.

Pada detik pertama, memang ada rasa terkilan di hati. Terasa apabila dibanding-bandingkan. Apakah anakku sudah lupa yang dahulunya kita pernah berhimpit-himpit di dalam ATOS comel, kereta pertama kami? Setelah keluarga membesar daripada anak dua menjadi empat, kami memberanikan diri melangkah ke peringkat hidup seterusnya dengan menjual ATOS berkenaan serta digantikan dengan kereta 7-Seaters tempatan seadanya.

Tiba-tiba, si anak seolah-olah tidak menghargainya dan lebih berminat dengan kereta bapa saudaranya yang lebih besar dan mewah.

PEDIH MENJADI MANGSA PERBANDINGAN

Tetapi saya terbalikkan perasaan itu dan berkata kepada diri sendiri tentang pahitnya menjadi mangsa perbandingan. Justeru kita sebagai ibu bapa, jangan suka membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain. Pahitnya sama bila anak-anak kita pula membandingkan kita dengan ibu bapa yang lain. Jangan buat anak-anak dengan apa yang kita tidak mahu mereka buat kepada kita.

Golden rule!

“Kamu tengok anak orang tu. Tertib, sopan, bijak. Tak bolehkah kamu jadi macam tu?” antara ayat-ayat ibu bapa yang boleh menghancurkan jati diri si anak.

“Kenapa kereta ayah tidak sebesar kereta pakcik itu?” itu pulang paku buah keras si anak kepada ibu bapa pula.

Jika tidak mahu dialog anak berisi racun perbandingan, kita sebagai ibu bapalah jangan memulakannya.

MENCARI PENYEMBUH

“Yop nak kaya?” saya bertanya kepada si anak.

“Nak!” jawabnya tanpa berselindung.

Tangannya masih di dalam poket baju Melayu, menggenggam duit raya barangkali.

“Kalau kaya dan banyak duit, Yop boleh beli apa?” saya bertanya lagi kepadanya.

“Beli apa-apa sahaja!” katanya dengan penuh yakin.

“Beli Alphard dan baju emas?” saya menyoalnya sambil menyindir.

Beliau mengangguk sambil tersengih. Faham dengan sindiran saya.

“Kalau Abi kaya, Abi boleh tak beli mata kat kedai kalau Yop buta? Ummi boleh tak beli telinga kat pasaraya kalau anak-anak dia pekak?” saya melontar soalan berfikir untuknya.

Saiful Islam terkejut.

Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.

“Kalau Abi kaya pakai Alphard, Abi boleh tak beli jantung kat hospital untuk ganti jantung yang rosak?” saya tambah lagi soalan.

Saiful Islam berubah sedikit air mukanya. Menggelengkan kepala lagi.

“Abi sangat bersyukur kepada Allah sebab duit Abi tak banyak tetapi anak-anak Abi semua sihat. Semua cukup kaki, cukup tangan, tiada yang cacat, tiada yang sakit. Abi bersyukur sebab kita tak kaya tapi kita bahagia” saya mahu memberi satu kesimpulan kepada anak-anak.

“Yop nak kaya ke Yop nak bahagia?” tanya Ummu Saif pula kepadanya.

“Nak bahagia” kata anak sulung kami.

Anak-anak yang lain hanya mendengar. Belum mengerti.

“Kalau nak bahagia, miskin boleh bahagia, kaya pun boleh bahagia. Syaratnya, kena bersyukur kepada Allah” balas Ummu Saif lagi.

“Jadi, Yop nak Alphard orang lain punya ke, atau kereta kita?” saya menyudahkan perbualan.

“Kereta kita” jawabnya.

“Alhamdulillah. Jom singgah kedai pekena nasi kandaq!” saya menarik nafas lega.

14_7

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” [Ibrahim 14: 7]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Baca Selengkapnya....

Sunday, September 27, 2009

Merasa diri besar dengan Allah..


Syawal 1430H ini mengajar saya sesuatu untuk peringatan hari esok. Bertapa banyak contoh Allah datangkan dalam memberi ibrah untuk baki kehidupan. Pada 3 syawal, saya menghadiri mesra iedulfitri mahasiswa bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan yang hadir ketika itu hanya bermatlamat untuk mendengar ucapan Tok Guru, kerana respon penonton kebanyakannya ketika ucapan Tok guru. Ucapan Tok guru hari itu agak keras dan tegas, kerana mesej Tok guru hari itu amat penting, iaitu, jangan sesekali manusia berlaku angkuh dengan Allah swt.

Angkuh dengan Allah bukan hanya apabila kita menganggap diri lebih besar dari Allah, tapi apabila kita membelakangkan kata-kata, amaran, peringatan Allah kepada kita, ia seolah-olah kita sudah lebih pandai dan tahu dari Allah, sedangkan kita hanyalah makhluk ciptaanNya. Tok guru datangkan satu hadith yang pertama kali saya mendengarnya, kurang ingat maksud matan yang lengkap, tapi isinya lebih kurang bermaksud, “Apabila manusia merasa diri kaya, maka dia lupa akan Allah swt”.

Merasa diri kaya dengan harta, seolah-olah harta itu mampu memberi jaminan keselamatan dan kasih sayang manusia padanya, adakah dia fikir harta itu mampu membeli redha Allah? Kaya dengan ilmu seumpama ilmu itu boleh memberi dia jalan keluar dari segala masalah, berdasarkan kepandaian dan kebijaksaan dia, lupa siapa yang memiliki ilmu mengatur dan menyusun fitrah alam ini. Kaya dengan pangkat, seolah-olah pangkat itu mampu menghindarkan musibah kepada dia, sedangkan Nabi Sulaiman yang menguasai binatang dan jin tunduk sujud pada Allas swt. Kaya dengan pujian, perhatian dan kasih sayang manusia, seperti semua pujian dan kasih sayang itu mampu menyelamatkan dia dari ajal dan api neraka Allah swt. selagi mana dia merasakan diri memiliki sesuatu, dia lupa siapa dia dengan Allah, sedangkan segala kepunyaan dia, jika bukan kerana kehendak dan izin Allah, tidak sekali-kali menjadi milik dia.

Saya teringat kata-kata Tok guru dua tahun lepas selepas solat subuh di Pulau Melaka, tok guru cakap pada kami, “Anda semua loni tengah belajar, tapi keno ingat, sejauh mana kito manusia ni belajar, kita cuma boleh belajar mengguna dan memanfaatkan cipataan Allah jah, manusia dio bino bangunan, pakai konkrit, besi, kayu, sekarang ni sapo hok buat kayu, batu, kerikil tu sumo, kalu Allah tok sedio bendo tu ko manusia, manusio boleh bino bangunan ko? Sebab tu kito keno ingat, pandai mano pun kito, jange dok ingat kito ni pandai sangat, hok Allah kato tu jangan dok lawan.” Bila manusia Allah berikan sedikit kelebihan, sungguh mudah manusia lupa asal usul, siapa yang menyempurnakan keperluan di waktu manusia masih di dalam janin, siapa yang memberi dia makan, siapa yang mentakdirkan dia berjaya dalam hidup, di waktu itu, manusia lupa batasan dia dengan Allah.

Di waktu inilah, manusia mula mengingkari kata-kata, amaran dan larangan Allah. Pengalaman yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, bagaimana seorang yang diberi kelebihan kebijaksaan, dan kecekapan dalam bekerja. Walaupun hanya berkelulusan diploma, mampu berjaya dalam kerjaya sehingga memegang jawatan No.2 dalam sebuah bank ternama di negara ini. Di waktu itu, segala-galanya mewah, pujian dan penghormatan sentiasa datang, makan mewah-mewah, sentiasa ke majlis-majlis VIP, namun di waktu itu, dia bersikap kasar dengan ahli keluarga, lupa arahan Allah untuk berlaku baik kepada isteri, dan anak-anak. Solat sentiasa terlepas, lupa siapa dia dengan Allah swt, lupa batasan pergaulan, seolah-olah tiada malaikat sedang merakam. Sekarang setelah Allah tarik semua jawatan dan dunia itu, diri tidak terurus, sanak-saudara tidak ambil kisah, kalau dulu pakai Mercedes, sekarang naik bas, kadang-kadang berjalan kaki, makan sekadar yang ada saja. Adakah kita merasakan semua yang kita ada sekarang mutlak milik kita?

Berapa ramai yang saya pernah tengok, apabila sudah besar, berkerjaya, merasakan diri sudah ada kedudukan, berlaku kasar dengan ibu sendiri. Sedikit kesilapan sahaja diherdik, dibuat seolah-olah ibu sendiri orang asing, yang mengharap ehsan si anak. Dia lupa siapa yang mempertaruhkan nyawa di waktu mahu melahirkannya, siapa yang menyusukannya, siapa yang bersabar dengan karenahnya, lupa hakikat apabila menitis air mata ibu kerana perbuatan si anak, bergegar arash Allah swt. Adakah manusia fikir jawatan dan kedudukan itu mampu menahan balasan Allah? Adakah Allah tidak mampu menarik semua itu dan menjdikan dia papa? MasyaAllah! Takutlah pada kekuatan dan azab Allah...

Yakinlah kehidupan kita di dunia ini hanyalah permainan yang sia-sia, segala-gala yang kita perolehi di dunia ini, harta, pangkat, pujian, kasih sayang, hadir dengan izin dan kehendak Allah, dan semua itu milik Allah. Jangan sekali-kali kita mengengkari Allah kerana sudah banyak diberikanNya dalam hidup kita, bersyukurlah dengan segala pemberianNya...

Baca Selengkapnya....