Saturday, November 14, 2009

Hadis-hadis dhoif yang biasa dianggap sahih


Artikel ini saya copy paste tanpa izin dari blog Khyrul Hycal...



اْلأَذَانُ وَاْلإِقَامَةُ فِي أُذُنِ الْمَوْلُوْدِ
“Azan dan iqamah di telinga anak yang baru lahir”.
Hadis ini dha’if sekali. Bayan al-Wahm, Ibnu al-Qaththan, 4:594; al-Majruhin, Ibnu Hibban, 2:128; adl-Dla’ifah, 1:494

اطْلُبُوا الْعِلْمَ وَلَوْ بِالصِّيْنِ فَاِنَّ طَلَبَ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Carilah ilmu meskipun sampai ke negeri China, kerana sesungguhnya mencari ilmu adalah kewajiban atas setiap orang muslim”.
Hadis ini palsu. Al-Maudlu’at, Ibnu al-Jauzi, 1:215; Tartib al-Maudlu’at, adz-Dzahabi, 111; al-Fawaid al-Majmu’ah, 852; Kasyful Khafa’, al-Ajluni, 1:139.

اعْمَلْ لِدُنْيَاكَ كَأَنَّكَ تَعِيْشُ أَبَداً، وَاعْمَلْ لآخِرَتِكَ كَأَنَّكَ تَمُوْتُ غَداً
“Beramallah untuk duniamu seolah-olah kau akan hidup selamanya, dan berbuatlah untuk akhiratmu seolah-olah kau akan mati besok”.
Al-Albani mengatakan; Tidak benar kalau hadis ini marfu’, maksudnya tidak benar kalau hadis ini berasal dari Nabi saw. adl-Dla’ifah: 8

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْباً، وَإِنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ يس مَنْ قَرَأَهَا فَكَأَنَّمَا قَرَأ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ
“Sesungguhnya segala sesuatu memiliki hati, dan sesung-guhnya hatinya Al-Qur’an adalah surat Yasin, barang siapa membaca surat Yasin, maka seolah-olah ia telah membaca Alqur’an 10 kali”.
Hadis ini maudlu’. Al-Ilal Ibnu Abi Hatim, 2:55; adl-Dla’ifah, 169.

أَحِبُّوْا الْعَرَبَ لِثَلاَثٍ لأَنِّيْ عَرَبِيٌّ وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ وَكَلاَمُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ
“Cintailah Arab kerana tiga hal, kerana saya orang Arab, al-Qur’an berbahasa Arab, dan bahasa penduduk syurga adalah bahasa Arab”.
Hadis ini Maudhu’ (palsu). Tadzkiratu al-Maudlu’at, 112; al-Maqashid al-Hasanah, 31; Tanzih asy-Syari’ah, 2:30; Kasyf al-Khafa’, 1:54

أَوْصَانِي جِبْرَائِيْلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ بِالْجَارِ إِلَى أَرْبَعِيْنَ دَارًا عَشْرَةٌ مِنْ هَا هُنَا، وَعَشْرَةٌ مِنْ هَا هُنَا ، وَعَشْرَةٌ مِنْ هَا هُنَا ، وَعَشْرَةٌ مِنْ هَا هُنَا
“Jibril mewasiatkan kepadaku bahawa jiran tetangga itu sampai 40 rumah, 10 dari arah sana, 10 dari arah sana, 10 dari arah sana, dan 10 dari arah sana”.
Hadis ini dla’if. Kasyful Khafa’, 1:1054; Takhrij al-Ihya’, 2:232; al-Maqashid al-Hasanah, as-Sakhawi, 170.

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدِ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
“Hati-hatilah kalian terhadap iri (hasad), kerana iri itu akan dapat memakan kebaikan seperti api memakan (membakar) kayu”.
Hadis dha’if. At-Tarikh al-Kabir, 1:272; Mukhtashar Sunan Abi Dawud, al-Mundziri, 7:226

اْلاِيْمَانُ عُرْيَانٌ فَلِبَاسُهُ التَقْوَى وَزِيْنَتُهُ الْحَيَاءُ وَثَمْرَتُهُ الْعِلْمُ
“Iman itu telanjang, pakaiannya adalah taqwa, perhiasan-nya adalah malu dan buahnya adalah ilmu.”
Hadis ini palsu, Kasyf al-Khafa’, 27.

اْلإِيْمَانُ يَزِيْدُ وَيَنْقُصُ
“Iman itu boleh bertambah dan berkurang”.
Bukan hadis Rasululah, tetapi kata-kata yang disepakati (ijma’) oleh ulama’ salaf. al-Manar al-Munif, 119; Kasyf al-Khafa’, 25; Mizan al-I’tidal, 6:304.

حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ اْلإِيْمَانِ
“Cinta tanah air sebahagian dari iman”
Hadis ini tidak ada asalnya, adl-Dla’ifah, 36; Kasyf al-Khafa’, 1102; al-Mashnu’, Ali al-Qari, 1:91.

رَجَعْناَ مِنَ الْجِهَادِ اْلأَصْغَرِ إِلَى الْجِهَادِ اْلأَكْبَرِ قَالُوْا وَمَا الْجِهَادُ اْلأَكْبَرُ قَالَ جِهَادُ الْقَلْبِ
“Kami pulang dari jihad ashghar (jihad kecil) menuju jihad akbar (jihad besar). Para sahabat bertanya, apakah jihad akbar itu. Rasul saw bersabda; Jihad hati”.
Hadis ini tidak ada asalnya, al-Asrar al-Marfu’ah, 211; Tadzkiratu al-Maudlu’at, al-Futni, 191, Kasyf al-Khafa’, 1:511.

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي أَرْضِهِ ، مَنْ نَصَحَهُ هُدِيَ ، وَمَنْ غَشَّهُ ضَلَّ
“Penguasa adalah bayang-bayang Allah di bumi-Nya, barangsiapa yang setia kepada penguasa maka ia telah mendapatkan petunjuk dan barangsiapa mengkhianatinya maka ia telah sesat”.
Maudlu’ (palsu). Tadzkiratu al-Maudlu’at, al-Futni, 182; al-Fawaid al-Majmu’ah, asy-Syaukani, 623; adl-Dla’ifah, 475.

سَيِّدُ الْقَوْمِ خَادِمُهُمْ
“Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka”.
Hadis ini dha’if. Al-Maqashid al-Hasanah, as-Sakhawi, 579; adl-Dla’ifah, 1502.

لَوْلاَكَ مَا خَلَقْتُ الدُّنْيَا
“Kalau bukan kerana kamu (Nabi Muhammad saw) nescaya tidak aku ciptakan dunia”.
Hadis maudlu’. Al-Lu’lu’ al-Marshu’, al-Musyaisyi, 454; Tartib al-Maudlu’at, 196; adl-Dla’ifah, 282.

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ ، وَلاَ نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ وَلاَ عَالَ مَنِ اقْتَصَدَ
“Tidak akan sia-sia orang yang beristikharah, tidak akan kecewa orang yang bermusyawarah, dan tidak akan sengsara orang yang berhemat”.
Hadis ini maudhu’ (palsu). Al-Kasyf al-Ilahi, 1:775; adl-Dla’ifah, 611.

مَنْ حَجَّ الْبَيْتَ وَلَمْ يَزُرْنِي فَقَدْ جَفَانِي
“Barangsiapa berhaji di Baitullah tetapi tidak menziarahi makamku maka ia telah menjauh dariku”.
Hadis ini Maudhu’ sebagaimana disebutkan oleh adz-Dzahabi di dalam kitab Tartib al-Maudlu’at, 600; ash-Shaghani menyebutkan di dalam al-Maudlu’at, 52; asy-Syaukani menyebutkan di dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah, 326.

مَنْ حَجَّ، فَزَارَ قَبْرِيْ بَعْدَ مَوْتِي، كَانَ كَمَنْ زَارَنِي فِي حَيَاتِي
“Barangsiapa yang berhaji lalu menziarahi kuburku setelah kematianku maka ia seperti orang yang mengunjungiku di masa hidupku”.
Ibnu Taimiyah mengatakan, hadis ini dha’if, Qa’idah Jalilah, 57; Al-Albani menyatakan Maudhu’, adl-Dla’ifah, 47. Lihat pula Dzakhirat al-Huffadz, Ibnu Al-Qaisrani, 4:5250.

مَنْ صَلَّى فِي مَسْجِدِيْ أَرْبَعِيْنَ صَلاَةً لاَ يَفُوْتُهُ صَلاَةٌ كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَنَجَاةٌ مِنَ الْعَذَابِ، وَبَرِئٌ مِنَ النِّفَاقِ
“Barangsiapa solat di masjidku empat puluh waktu solat tanpa ketinggalan satu waktu solat pun maka ditetapkan baginya terbebas dari neraka dan selamat dari azab, dan terlepas dari kemunafikan”.
Hadis dha’if, adl-Da’ifah, 364.

مَنْ وَلَدَ لَهُ مَوْلُوْدٌ فَأَذِنَ فِي أُذُنِهِ الْيُمْنَى وَأَقَامَ فِي أُذُنِهِ الْيُسْرَى لَمْ تَضُرُّهُ أُمُّ الصِّبْيَانِ
“Barangsiapa yang mendapatkan seorang anak, kemudian ia azankan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri, maka kelak anak itu tidak akan diganggu oleh jin”.
Hadis Maudhu’. Al-Mizan, adz-Dzahabi, 4:397; Majma’ az-Zawa’id, al-Haitsami. Takhrij al-Ihya’, 2:61.

النَّاسُ كُلُّهُمْ مَوْتَى إِلاَّ الْعَالِمُوْنَ، وَالْعَالِمُوْنَ كُلُّهُمْ هَلَكَى إِلاَّ الْعَامِلُوْنَ، وَالْعَامِلُوْنَ كُلُّهُمْ غَرَقَى إِلاَّ الْمُخْلِصُوْنَ، وَالْمُخْلِصُوْنَ عَلَى خَطْرٍ عَظِيْمٍ
“Manusia semuanya adalah mayat, kecuali orang yang berilmu, dan orang-orang yang berilmu semuanya binasa kecuali orang yang beramal, orang-orang yang beramal semuanya tenggelam kecuali orang yang ikhlas. Dan orang yang ikhlas berada di atas kedudukan yang agung”.
Ash-Shaghani berkata, ini adalah hadis yang diada-adakan lagi pula tidak sesuai dengan aturan kebahasaan. Yang benar secara bahasa adalah dengan menggunakan kata al-‘Alimina, al-‘Amilina dan Mukhlishin. Al-Maudlu’at, 200; Asy-Syaukani menyebutkan di dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah, 771; al-Futni menyebutkan dalam Tadzkirat al-Maudlu’at, 200.

Baca Selengkapnya....

Ukhwah matrik



Malam itu, selepas maghrib perasaan kami semua amat sayu, malam itu bermula minggu ulang kaji bagi Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP). Selesai solat maghrib berjemaah, seperti biasa setelah menunaikan solat sunat rawatib, kami ahli jawatankuasa surau akan berkumpul di dalam bilik gerakan surau, walau sempit, tapi tempat itu jugalah kami suka berhimpit, di situlah kami belajar, di situlah kami berbincang, di situ jugalah kami tidur, walau cuma berlapikkan tikar, kadang-kadang atas simen tanpa apa-apa lapik, tanpa bantal, berhimpit sampai sepuluh orang! Terasa nilai ukhwah ketika itu.

Malam itu, saya mencari sahabat saya Nidzam, niat di hati ingin minta dia mengajar saya cara sebutan huruf yang tepat. Sepanjang di matrik, Nidzam banyak membantu saya membetulkan bacaan, bermula dari sebutan, tajwid, panjang pendek sebutan, hampir semuanya dibentuk dan diacu dengan teratur, shukran akhi.

“weh, maghi kito buat liqo’ metar. Rusydi mitok kumpul sumo, bawok quran sekali”, kata Nidzam kepada kami semua dalam bilik gerakan.

Tanpa banyak soal terus kami semua ambil quran dan berkumpul membentuk halaqah di anjung surau. Sebaik berkumpul, Rusydi memulakan dengan al fatihah, selawat dan sepotong ayat al Quran, sebagaimana biasa beliau mengetuai apa-apa majlis dan mesyuarat. Biasanya kalau kami berkumpul, ada perkara yang mahu dibincangkan, sama ada berkenaan gerak kerja, aktiviti surau, atau program. Tapi minggu itu minggu ulang kaji, Minggu Aspirasi Islam, program kemuncak saban tahun baru selesai, sepatutnya semua gerak kerja sudah selesai.

“Niat ana panggil antum semua malam ni sebenarnya nak buat usrah sementara menunggu waktu isyak, maklumlah sepanjang kita bergerak kerja dalam surau ni, tidak pernah kita adakan usrah sama-sama ajk surau”. Usrah berjalan sehingga menghampiri isyak. Di akhir usrah, satu kata-kata Rusydi,

“Ana sebenarnya rasa sedih bila fikir kita dah tak lama di sini, walau kita berada di matrik ni setahun sahaja, tiada usrah khas pun di kalangan kita, ana dapat rasakan ukhwah di sini jauh lebih tinggi kalau nak dibandingkan dengan waktu ana di sekolah. Walau di sekolah ana bersama dengan para huffaz quran, ada usrah, muqayyam, tamrin tapi nilai ukhwah kat sini betul-betul terasa. Sedih rasa nak tinggalkan zaman matrik ni.”

Sepanjang saya di matrik, satu-satunya usrah yang saya ikuti secara formal adalah usrah bersama En. Suhaimi, penyarah unit matematik. En. Suhaimi ahli JIM, juga anak usrah kepada Dr. Danial, bersama-sama dengan Prof Roslan. Manakala, usrah bersama ajk surau, tidak pernah dirancang atau dianjurkan, pada malam itu sahaja, di minggu ulang kaji semester kedua, diadakan usrah.

Meskipun usrah yang dibuat hanya sekali, tapi ketiga-tiga elemen usrah, ta’aruf, taffahum, dan takaful berjalan dengan baik sesama kami, ini kerana kami berusrah sepanjang berada di matrikulasi. Mana tidaknya, tidur sama-sama, bangun pagi serentak pukul 5 pagi, selesai solat subuh bersama, berkumpul sarapan di kafe pukul 7.30 pagi, selang waktu antara kuliah, berkumpul di surau solat Dhuha dan ulang kaji. Selesai kuliah pukul lima dan selepas solat asar, berkumpul lagi berbincang pasal gerak kerja, pukul 6 ptg makan sama-sama, lepas isyak, ulang kaji di surau jugak dan tidur pun di situ juga, boleh dikatakan hampir 24 jam bersama.

Dan sepanjang masa kami bersama itulah, kefahaman islam diterapkan, perkongsian ilmu dengan kawan-kawan, perkongsian pengalaman, kemahiran berorganisasi, segalanya diterapkan secara berterusan dan tidak lansung. Juga hasil dari ini adalah ukhwah yang cukup mantap dan terasa di hati. Bagi saya inilah usrah terbaik pernah saya lalui, walaupun tiada halaqah, tidak dimulakan dengan al fatihan dan diakhiri tasbih kafarah dan al-asr.

Niat kami untuk bersama dalam jawatankuasa itulah pembuka kepada usrah kami, bacaan quran secara talaqi di bilik ajk itulah sesi saya membaiki bacaan quran, perbincangan isu-isu semasa, agama, dan sejarah islam di bilik gerakan, di kafe itulah ilmu dari usrah ini. Qudwah sahabat-sahabat menjadi cerminan kepada diri. Gerak kerja melatih nilai-nilai takaful dalam diri, berkongsi masalah, tidur dan belajar di tempat yang sama membuang sifat ananiyyah dari dalam diri, menguatkan nilai ta’aruf dan taffahum dalam diri, dan pengakhiran usrah ini malam terkhir kami di matrikulasi, bersama-sama sahabat, pelukan ukhwah dan titisan air mata mengakhiri segalanya, inshaAllah, ukhwafillah kita kekal selamanya sahabat..



Baca Selengkapnya....

Friday, November 13, 2009

Tahniah Amy!


Pagi ini, terbaca berita dari Malaysiakini berkenaan hasrat Amy search mahu menubuhkan sekolah tahfiz, mungkin ada yang skeptik, mungkin ada yang takjub, mungkin ada yang fanatik, tapi di atas semua itu adalah hak Allah dalam memilih siapa yang layak diberi hidayahNya....

Di bawah laporan dari Malaysiakini:

Ikon penyanyi rock negara tahun 80-an, Amy Search berhasrat menubuhkan sebuah sekolah tahfiz tidak lama lagi.

Amy, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, bercadang membina sekolah itu di Johor. Hasrat itu timbul semasa beliau menziarahi sebuah bukit ketika menunaikan ibadat haji tahun lalu.

"Ketika mendaki bukit, saya bertanya-tanya arah mana tujuan saya nanti dan siapa diri sayaserta untuk apa Allah kurniakan saya dengan bakat yang ada ini.

"Ketika itu juga, telinga saya terdengar-dengar lagu Cahaya Merah Dari Ufuk Timur -- lagu yangmenginsafkan hati saya tentang matlamat kejadian insan," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah di Bangi semalam.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana memilih beliau untuk melancarkan buku berunsurkan keagamaan, Amy berkata buku kecil itu mampu mendidik dan menyedarkan masyarakat Islam mengenai hukum hakam dalam agama.

"Membaca cerita-cerita dalam buku ini bukan sekadar untuk memenuhi masa lapang, tetapi ia boleh dijadikan iktibar penting dalam kehidupan harian kita.

"Buku ini besar ertinya dan saya yakin ia boleh membentuk jiwa orang Islam supaya lebih mendekati Allah dan menjauhi perkara yang dilarang," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu.

Buku setebal 189 halaman berharga RM7.50 senaskah merupakan kompilasi cerita yang tersiar dalam majalah Mastika sejak tahun 1996. Ia mengisahkan pengalaman jemaah haji dan umrah semasa di Mekah.

Sementara itu pengumpul cerita berkenaan, Zulkarnain Zakaria berkata sebanyak 27 cerita dimuatkan dalam edisi pertama buku itu.

"Buku koleksi ini adalah wadah kami di Utusan dalam menyampaikan dakwah, memperingati mereka yang lupa dan memberi khabar gembira dari Tanah Suci kepada masyarakat Islam di seluruh negara.

"Untuk permulaan, sebanyak 100,000 buku dicetak dan saya yakin selepas ini akan ada ulang cetak berikutan permintaan yang memberangsangkan daripada syarikat pengendali umrah dan haji," katanya. BERNAMA

Apabila hati sudah disentuh hidayah, kepuasan hanya pada mengenali dan memahami matlamat kehidupan...



Baca Selengkapnya....

Sunday, November 8, 2009

Allah's right

Salah satu keistimewaan negeri Pulau Pinang berbanding negeri lain adalah percambahan ilmu dan pemikiran yang pantas dan rancak. Isu-isu semasa, perbezaan pandangan dalam aspek agama dapat diadakan tanpa sebarang krisis. Pembacaan terhadap makalah-makalah intelektual dan agamawan dibaca dan diajarkan dari sedalam-dalam ilmu berkaitan hati, aqidah dan ketuhanan yang melibatkan pembinaan jati diri, sehingga sebesar-besar perkara yang mengcakupi masyarakat yang bersifat haraki.

Selari dengan itu, program-program dakwah di negeri ini amat rancak dijalankan semua pihak, agamawan seperti Ust Shamsuri yang kuliah bulanan beliau menggali kembali khazanah ilmu islam ulama’ nusantara, pengisian yang dikaitkan dengan sains oleh Dr. Danial Zainal Abidin di surau KBSN, Presiden ABIM Sdr. Yusri Mohamad pernah memberi ceramah di USM, malah Dato’ Dr. Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS pernah memberi penerangan mengenai alam jin di Dewan Budaya USM. Selain itu, satu gerakan dakwah yang saya kira rancak di Pulau Pinang, iaitu dakwah kepada non muslim, oleh Islamic Propagation Society International (IPSI) yang digerakkan oleh Brother Kamarudin Abdullah.

Selain kelas perbandingan agama yang memberi kefahaman kepada para daie konsep agama Yahudi, Kristian, Buddha, dan Hindu, salah satu aktiviti IPSI adalah menganjurkan talk daripada tokoh-tokoh islam dari seluruh dunia yang kebanyakannya converter. Ivone Ridley, antaranya, seorang wartawan British yang pernah ditahan Taliban di Afghanistan yang akhirnya melihat kebenaran islam melalui jaring besi di Afghanistan, lalu memeluk agama islam.

Salah seorang tokoh yang pernah dijemput memberi talk di USM adalah Brother Yusuf Estes. Ada satu kata-kata beliau yang saya ingat sehingga hari ini, malam itu beliau memulakan ucapan dengan berkata,

“Nowadays, in this world we have our right, I want my right, you want your right. We also have human right, women right, children right and all those right! But remember brothers and sisters, above all those rights, is Allah’s right!”

Islam adalah agama yang mengutamakan hak. Hak sebagai manusia, hak untuk beragama, hak untuk hidup, dan ia mampu kita fahami melalui konsep maqasid syariah iaitu matlamat islam ini diturukan kepada manusia. Malah islam sebagai rahmat untuk sekalian alam juga meletakkan hak bagi orang bukan islam sebagai tuntutan bagi mereka yang beriman kepada Allah swt.

Dalam kontek muamalat, berlaku dengan adil dan menjauhi perkara zalim adalah menunaikan hak Allah, menjauhi riba adalah menunaikan hak Allah, menyuarakan perkara yang bertentangan dengan syariat islam adalah menunaikan hak Allah, malah apabila seorang pemerintah islam menunaikan hak non muslim di bawah penguasaannya juga menunaikan hak Allah.

Sleeping Buddha

Sewaktu tingkatan tiga, tahun 2002, ketika itu satu patung sleeping Buddha terbesar di asia tenggara ditempatkan di Tumpat dan dirasmikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan. Seorang kawan saya yang tidak bersetuju dan membantah, katanya seolah-olah kita orang islam ni meraikan pula agama lain. “Dulu masa mula-mula memerintah, patung kijang kat bulatan kijang tu cabut, kata haram patung menyerupai makhluk, yang patung Buddha ni, punya besar, gi rasmi pulak, berpolitik tak sudah!”

Dalam agama islam, memang diharamkan untuk membina patung atau monumen yang menyerupai makhluk, kerana dibimbangi akan membawa kembali sembahan berhala, sebagaimana umat nabi musa, selepas diselamaatkan dari Firaun menyembah patung lembu betina yang mengeluarkan bunyi. Justeru itu, segala monumen yang menyerupai makhluk mesti dimusnahkan, kecuali patung-patung atau monumen-monumen yang menjadi sembahan penganut agama lain. Malah haram jika seorang penguasa muslim memusnahkan patung-patung sembahan itu, ini kerana salah satu prinsip islam adalah kebebasan dalam beragama kepada mereka yang bukan islam.

Memberi kebebasan ini adalah mutlak hak Allah swt. Namun, jika patung yang asalnya disembah kemudian ditinggalkan dan tidak lagi disembah, di waktu itu boleh dirobohkan. Sebagaimana di akhir pemerintahan Taliban di Afghanistan, mereka menghancurkan patung Buddha tertua di dunia, namun apabila Hamid Karzai memerintah, diupah pengukir dari jepun untuk membina kembali patung itu sebagai tujuan pelancongan!

Pengkid

Ketika isu pengharaman ‘pengkid’ oleh majlis fatwa kebangsaan, saya ditanya oleh kawan-kawan non muslim yang berfahaman sosialis, ketika itu, kami sedang minum di Pelita Nasi Kandar sambil berbincang isu-isu semasa.

“Ashraf, apa you punya komen tentang pengharaman pengkid?” Tanya salah seorang dari mereka.

“Bagi saya ia sejajar dengan tuntutan islam” jawab saya.

“Kamu tak rasa tindakan macam tu menyekat kebebasan dan hak asasi manusia ke?”

Apabila berdepan dengan situasi seperti ini, bagi saya yang pertama kita kena meraikan soalan mereka dan menggunakan ia sebagai ruang untuk memberi penerangan tentang islam. Mereka bertanya kerana mereka mahu tahu, jangan pula kita kata, “Eh you ni, ini urusan agama kami, jangan pandai-pandai nak masuk campur”, ini adalah tindakan yang reaktif, bukan proaktif. Kedua perlu kita fahami, mereka ini berfahaman bagaimana? Kerana mereka sosialis, sudah pasti hak-hak individu ini menjadi perjuangan mereka.

Saya menerangkan kepada mereka, sebagai orang islam, kami juga memperjuangkan hak individu, namun bagi kami hak kepada Allah itu paling utama, mengatasi hak-hak lain. Apabila berlaku pertembungan di antara kehendak Allah dan manusia yang beriman, maka hak Allah mesti diutamakan, dan ia wajib bagi muslim. Justeru itu, pengharaman pengkid adalah menunaikan hak Allah, atau dalam erti lain, hak kami sebagai orang islam untuk mempraktikkan agama kami dengan bebas yang mana termasuk dalam hak kebebasan seorang manusia. Perbincangan selepas itu lebih memfokuskan kenapa islam mengharamkan pengkid dan seumpamanya.

Hak yang tidak tertunai

Secara mudah, melebihkan ajaran alQuran dan as sunnah dalam hidup seharian, adalah tuntutan sebagai hamba Allah dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah adalah hak Allah, melebihkan dan mengutamakan daripada segalanya, ideologi, kebanggsaan, patriotik, kepentingan diri dan bermacam-macam lagi. Dalam hadith ke-19, dalam kitab hadith 40 imam nawawi, Rasulallah berpesan kepada Abu Abbas Abdullah bin Abbas beberapa perkara, antaranya, kata baginda, “Jagalah Allah taala, nanti Allah akan menjaga engkau”.

Menjaga hak Allah bukan sahaja dari segi muamalat, sama ada sesama muslim atau kepada non muslim, yang lebih utama adalah menunaikan hak Allah sebagai individu muslim. Sebagai seorang islam, kita dituntut untuk menjadikan seluruh kehidupan kita hanya untuk Allah swt. Mendisplinkan diri dengan nilai-nilai islam, dengan menjadikan kehidupan sahabat sebagai tauladan. Membentengi diri dari maksiat, sama ada jelas atau tidak, dan maksiat yang paling manusia lupa adalah maksiat hati. Jika kita seorang pelajar, adakah kita benar-benar mengtauhidkan Allah dalam kita belajar? Dalam kita berbudi kepada manusia, adakah kita mengtauhidkan Allah dalam tindakan kita? atau kita mencari nama sebenarnya? Dalam kita menjaga ikhtilat, adakah kita benar-benar kerana Allah? Atau kerana malu kepada manusia?

Jika direnung, sebenarnya kita jarang sekali melakukan sesuatu benar-benar kerana Allah, sentiasa ada niat-niat dan sebab-sebab lain. Inilah punca kita tidak konsisten dalam beramal, inilah punca kita mudah kecewa kepada manusia, inilah punca amal-amal seharian kita tidak mendekatkan diri kita kepadaNya, sebaliknya diri kian takbur, ujub, dan sum’ah. Lama-kelamaan, tanpa disedari, diri semakin jauh, meskipun pada persangkaan kita, kita beramal kerana Allah swt.

“Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah Yang Maha kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji”

Al-Fatir: 15

Tunaikanlah HAK ALLAH SWT…


Baca Selengkapnya....

Sunday, November 1, 2009

Islam tetap akan bangkit!

“USM ni, masa ana datang dulu kan, masa tu lawatan sekolah, suasana cukup baik!”

“Owh…gitu ke? Abg Yusri dulu sekolah kat mana? Baik macam mana tu?”

“Abang dulu sekolah STAR, dulu masa abg datang, boleh nampak izzah islam dalam kampus ni, pemakaian, sosial, senang cakap bi’ah tu terasa, kat tasik harapan ni, waktu petang, penuh dengan halaqah usrah!”

Lebih kurang begitulah dialog saya dengan Abg.Yusri depan tasik harapan di suatu petang. Kata-kata atau ungkapan yang bercakap tentang keistimewaan USM sebagai sebuah kampus yang subur dengan suasana islam ini bukan pertama kali saya dengar, sebelum saya masuk ke USM pun saya pernah mendengar kata-kata seumpana ini. Malah sahabat-sahabat kampus lain pun ada yang tahu akan sejarah kegemilangan USM.

Apabila saya memasuki USM, saya teruja untuk melihat dan merasai sendiri gerak kerja amal islami di kampus ketika itu, tapi rupanya apa yang saya gambarkan sebelum itu jauh dari sangkaan, kampus telah berubah. Tiada kelihatan program-program berteraskan kefahaman islam dan intelek mewarnaikan kehidupan mahasiswa dan mahasiswi, kalau pun ada sambutannya hambar. Usrah juga jarang kelihatan, kalau pun ada, dibuat dalam keadaan menyorok-nyorok, seumpama orang bersalah.

Secara jujur saya kecewa ketika itu. Pun begitu, saya hormat kepada kepimpinan ketika itu yang sentiasa berusaha memikirkan langkah terbaik untuk mengembalikan islam di kampus, saya dapat melihat di sebalik wajah tenang mereka, mereka menanggung beban dalam hati mereka, beban tanggunjawab. Apabila saya mengambil alih kepimpinan, beban itu dapat saya rasai. Matlamat saya hanya satu, mahu mencari kembali formula yang telah hilang, keyakinan bahawa islam sentiasa relevan sepanjang zaman, adalah mutlak, persoalannya adakah pendekatan kami sudah lapuk? Lalu apakah pendekatan yang terbaik di waktu ini?

“Kalau kita tidak mampu membawa perubahan yang ketara, atau perubahan yang tidak mampu dilihat sekalipun, setidak-tidak kita mesti menyediakan tapak yang baik untuk generasi kita selepas ini menjulang panji islam di kampus” kata-kata sahabat pimpinan ketika itu.

Alhamdullilah, Allah datangkan seorang sahabat yang jelas fikrah dan kaya dengan idea-idea baru dan semasa, perlahan-lahan sepanjang sidang itu saya dan sahabat-sahabat cuba memahami dan mendalami konsep amal islami, matlamat, dan pendekatan yang sesuai dan terbaik. Masuk sidang kedua kepimpinan, semua idea dan pendekatan itu barisan kepimpinan ketika itu cuba ‘implement’ perubahan sikap, pendekatan dan keutamaan yang kami dalami. Walaupun ada kecacatan dan kegagalan, alhamdullilah, hasilnya lebih memberansangkan dan menunjukkan perubahan. Kini, kepimpinan telah diserahkan kepada mereka yang lebih memahami dan mendalami waqi’ terkini.

Kurang sebulan dari sekarang, saya akan menanggalkan gelaran mahasiswa dari diri saya, dan dalam tempoh ini saya banyak berfikir apa yang telah saya buat sepanjang dua tahun berada di dalam kepimpinan, teringat kata-kata Ust Hisom, "Kamu Mahasiswa suara kamu adalah emas, sebaik kamu dilucutkan taraf mahasiswa, suara kamu umpana tembaga". Yang pasti saya mengharapkan perubahan yang tidak mampu saya sendiri capai, tinggal satu saja harapan saya, kepimpinan kini mampu merealisasikan apa yang generasi sebelumnya harapkan. Petang semalam, saya ternampak di pulau tasik harapan ada dua usrah sedang berjalan, tiba-tiba hujan turun dengan renyai, siswa-siswi yang sedang berjogging masing-masing terlari-lari anak mencari tempat berteduh, tapi mereka masih kekal dalam halaqah, alhamdullilah, inshaAllah ini adalah permulaan kepada sebuah perubahan.

“Islam itu bermula dengan dagang (asing), dan ia akan kembali dagang, maka beruntunglah mereka yang dagang itu.”

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan kepadaNya. Sungguh, dia maha penerima taubat.” (An-Nasr:1-4)


Baca Selengkapnya....

Friday, October 30, 2009

Bencana Penarafan Universiti?


TANGGAL 8 Oktober 2009, apabila keputusan penarafan THES-QS diumumkan, saya sedang berada di bandar Giessen, lebih kurang satu jam dari Frankfurt, untuk memenuhi undangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) yang menjadi penaung utama semua universiti di benua tersebut.

Undangan ini sempena persidangan bertajuk "Pengantarabangsaan melewati sempadan Eropah" dan saya diminta memberi pandangan dari sudut luar Eropah sebagai seorang antara dua pengucaptama - seorang lagi adalah rakan Rektor, Berlin Free University, salah satu universiti tertua dan ternama di Jerman, malah Eropah.

Dewasa ini, e-mel bertalu-talu tiba mengesahkan "bencana" yang menimpa Malaysia. Jika Indonesia dengan gempa buminya, Filipina dengan banjir dan tanah runtuhnya, Samoa dengan tsunaminya dan Jepun banjirnya, bagi Malaysia pula menghadapai bencana gara-gara penarafan IPTAnya. Walaupun hanya beberapa buah IPTA sahaja yang terlibat, kesannya tidak kurang menggugat.

Media gamat dengan liputan berita tersebut. Anehnya hanya yang tersenarai sahaja yang dipertikaikan, sedangkan puluhan yang lain yang tidak langsung tersenarai (termasuk IPTS yang saban diiklan sebagai paling 'global' di akhbar-akhbar) nampaknya terselamat daripada bencana tersebut. Seolah-olah membayangkan lebih baik tidak tersenarai sama sekali daripada tersenarai.

Ini sahaja sudah cukup mengelirukan tentang apa cita rasa yang ingin diluahkan dalam hal ini? Kita belum lagi membincangkan tentang "cita rasa" penganjur THES-QS apabila beria-ia mendakwa penarafannya adalah tepat, bebas dan boleh dipercayai tanpa sebarang ragu-ragu lagi! Walaupun ada bukti sebaliknya! Apa pun kita mengangguk saja.

Sebagai perbandingan suasana di Giessen sewaktu persidangan tersebut cukup aman, biar ratusan rektor universiti Eropah dan benua lain, bersama dengan pegawai tertinggi universiti serta pelajar bersesak-sesak di dewan seminar Justus Liebig Universitat Giessen - sebuah IPTA berusia lebih 400 tahun.

Bandar Giessen merupakan bandar universiti dengan hampir 40 peratus penduduknya terdiri daripada warga universiti tersebut. Universitinya moden disulami tradisi ilmiah dan kesarjanaan yang kental.

Universiti itu juga tidak kurang mempunyai pusat kecemerlangan tersendiri di bawah Inisiatif Kecemerlangan Jerman yang dicontohi Malaysia di bawah Inisiatif APEX. Jelas, Justus Liebig Universitat cukup yakin dengan pencapaian dan jati dirinya.

Penarafan, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi bertujuan komersial, tidak langsung dihiraukan. Mereka tidak juga apologetic - malah kalaupun ada pengajaran daripada aktiviti penarafan, ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan pengukur institusi pendidikan.

Sebaliknya sesebuah universiti itu mempunyai keperibadiannya tersendiri; wawasan serta keunikannya - selaras dengan kefahaman "pendidikan" (bukan sahaja pelajaran atau kajian) yang memegang amanah ilmu dan kesarjanaan.

Kepelbagaian adalah kekayaannya, dan lagi unik adunan kepelbagaian tersebut - lagi terbina keperibadian universiti berkenaan. Ia bukan kilang yang mengeluarkan barangan tidak bernyawa yang seragam dan diseragamkan supaya mudah dibanding-bandingkan untuk tujuan tertentu.

Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya?

Begitu juga hal dengan institusi bergelar "universiti" - lebih-lebih ukuran yang dikenakan lebih mirip kepada bahan perkilangan atau untuk peraduan ratu cantik, atau sebaliknya! Pokoknya asas dan pandangan dunia dan amanah sebuah universiti tulen tidak sama dengan pandangan dunia dan amanah sebuah organisasi bukan pendidikan. Namun inilah yang sering kali dicampuradukkan sehingga memusnahkan sama sekali maksud sesebuah universiti di mata ramai di samping mengusutkan lagi keadaan.

Yang turut mengkagumkan adalah rektor-rektor universiti Eropah yang menghadiri persidangan itu amat jelas tentang tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah universiti. Autonomi berulang-ulang kali disebut untuk menyatakan kelainan sebuah universiti dengan organisasi lain, terutama yang berbentuk komersial, dan wujud untuk mengaut keuntungan.

Autonomi bagi mereka adalah benteng utama yang perlu dipertahankan dalam mengasuh dan mengangkat maruah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Disini mereka tidak berkompromi sama sekali dan enggan dijadi seolah-olah kerbau dicucuk hidung, diarak-arak atau diarah-arah ke hulu dan ke hilir seadanya saja.

Saya mengandaikan yang persidangan tersebut akan gegak gempita membahaskan soal penarafan apabila dilihat dari perspektif pengantarabangsaan. Saya mengagakkan keputusan THES-QS dijadikan tanda aras mutlak, dan turut menimbulkan "bencana" di Giessen seperti mana di tanah air.

Ternyata saya tersilap sama sekali. Selama dua hari berikutnya isu penarafan tidak sekalipun disebutkan baik oleh para penceramah mahupun peserta. Apabila cuba dicukil pendapat mereka, rata-rata maklum balasnya cukup dingin - kalau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "what about it?" (apa halnya?).

Dan bila dikatakan keputusan THES-QS sudah diumum, kelihatan mereka amat sinis dan jelek sekali, bagaikan menegur: "Siapa mereka ini untuk menjadikan universiti kami bak kerbau cucuk hidung?"

Umum tidak kisah langsung tentang isu tersebut kerana angka-angka penarafan bagi mereka tidak membawa erti apa-apa, kalaupun konsep penarafan boleh diterima. Malah seorang ada bertanya: "Bolehkah saya menaraf lima orang anak saya secara adil dan saksama? Apa lagi berbanding dengan anak orang lain?"

Natijahnya, dalam penarafan kita mesti ikut telunjuk orang lain yang mengadun segala-galanya. Umpama ratu cantik, kita juga perlu memperagakan diri, baik berbikini sekalipun, berlenggang lengguk, tersenyum tersipu-sipu untuk menawan pengadil dengan harapan untuk menjadi ratu!

Jika tidak agak sukar membayangkan apa-apa kejayaan. Apatah lagi turut diperhatikan dalam peraduan seumpama ini calon tuan rumah sering kali akan "menang" sesuatu kalaupun tidak hadiah pertama. Hal ini juga beransur lumrah dalam aktiviti penarafan di mana unsur-unsur penajaan dan sogokan (bagi sesetengah pihak dikatakan "rasuah") sudah mula menular.

Maka pernah universiti disyor mengiklankan nama dan logonya di laman web penaja dengan bayaran sekian banyak supaya lebih "mesra pelanggan" dan "mudah diperkenalkan" dan melonjakkan kedudukan. Malangnya tidak kurang juga yang terjebak dengan "tawaran" tersebut, umpama si ratu cantik meniduri pengadil, dengan harapan agar menang jua. Tidak kiralah jika maruah turut tergadai.

Banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkaitan aspek etika dan keutuhan (sama ada cara langsung atau tidak), sekali gus membuka tembelang usaha penarafan khususnya yang berbentuk komersial. Cukup banyak telah ditulis tentang hal ini supaya jangan terperangkap sebagai Pak Turut saja!

Maka di Giessen saya menghela nafas lega! Lebih daripada itu, saya bertambah yakin yang universiti sememang ada maruah dan nilai sendiri dalam kelangsungan menunaikan tanggungjawab serta amanah tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun, apa lagi yang berkepentingan cukup sempit dan anti cendekiawan! Ataupun mencari sanjungan pintas.

Saya juga belajar yang maruah ini ada kaitannya dengan nilai keluhuran dan kejujuran berilmu dan bersarjana, sesuatu yang tak dapat ditolak ansur dalam apa hal sekalipun; jangan sebutlah memperjudikan etika!

Akhir sekali saya sedar kita tidak perlu apologetic sekiranya jati diri ingin diperkasa. Rupa-rupanya universiti yang istimewa itu adalah universiti yang mengerti semua ini dan terus mempertahankan prinsip keilmuan biar "bencana" apa sekali yang mendatang. Bak kata orang tua-tua: Membujur lalu, melintang patah! Pantang maut, sebelum ajal.

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia


Baca Selengkapnya....

Monday, October 12, 2009

Interview with rap artist turned muslim

Video ini adalah temubual dengan seorang artis rap yang memeluk islam, cuba perhatikan bagaimana perbezaan riak wajah, cara bercakap, dan kedamaian antara sebelum hati mengenal Allah dan selepas hati menerima dan mengagungkan Allah swt...


Baca Selengkapnya....