Tuesday, August 12, 2008

Pendidikan Rohani

Pendidikan yang tepat dan jitu adalah pendidikan yang dilaksanakan dengan matlamat untuk mendidik, memberi kesedaran akan hakikat diri manusia itu sendiri iaitu roh. Roh atau rohani juga disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science) atau spiritual quotient (SQ). Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina 3 komponen manusia iaitu akal, nafsu dan roh. Pendidikan ini sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan pendidikan Barat yang hanya menumpukan pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Pendidikan ala barat ini melahirkan manusia yang tidak seimbang antara pembangunan akal, roh dan nafsunya.
Baginda Nabi Muhammad SAW memerintahkan ibu bapa agar mendidik anak-anak mengerjakan solat seawal usia 7 tahun. Ertinya, didikan secara praktikal dalam melatih dan membentuk SQ ini sudah bermula sejak usia tujuh tahun. Malah ibu bapa wajib memukul anak-anak jika mereka lalai dalam melaksanakan solat apabila telah mencapai usia sepuluh tahun. Ini menunjukkan persoalan solat adalah tanggungjawab yang berat yang telah diamanahkan kepada ibu bapa, kerana ia membina rohani dan pribadi individu muslim seawal usia muda.

Oleh kerana persoalan solat itu amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga tanpa mengecualikan anak kecil kerana inilah yang akan mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Kalau solat tidak dapat didisiplinkan, kehidupan keluarga akan menjadi kucar-kacir dan berterabur, ini juga menandakan islam memandang tinggi akan aspek displin dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Solat yang diprogramkan di rumah mampu untuk mengajak atau membuatkan anak-anak ini berfikir akan wujudnya Maha Pencipta, malah inilah satu langkah yang praktikal dalam proses membentuk rohani anak-anak. Dalam membina rohani atau apa sahaja elemen, ia mesti dididik sejak di usia muda, sebab itu ada pepatah melayu yang berbunyi, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Konsep ini sebenarnya dipraktikkan di luar negara.

Masyarakat Australia sebagai contoh, mengajar anak-anak mereka untuk hidup sebagai bangsa yang maju dan mampu untuk menguasai ekonomi dan dunia. Ini dimulakaan dengan melatih pelajar sekolah dasar menjual kek cawan (cup cake) untuk dijual ketika keluar dari rumah menuju ke sekolah. Manakala pelajar sekolah menengah pula diajar supaya berdikari dengan bekerja di pejabat setelah tamat waktu pengajian. Malah mereka disokong pula oleh majikan-majikan premis di tempat mereka bekerja secara sambilan (part-time). Ini merupakan satu contoh pembinaan yang dimulakan sejak dari kecil. Berbeza dengan fenomena yang berlaku di Malaysia, siswazah-siswazah universiti yang mengambil bidang pertanian dan ekonomi contohnya, mereka masih belum tahu apa itu pemasaran (marketing). Bagaimana bangsa Cina di Malaysia dapat menguasai tampuk ekonomi negara? Mereka juga mengajar anak-anak mereka berniaga secara kecil-kecilan sejak kecil lagi.

Kejatuhan mendadak nilai moral dan akhlak remaja islam pada hari ini, bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia, merupakan masalah pembentukan pemikiran dan pembinaan rohani, sana-sini kita dapat melihat gejala sosial yang kian meruncing, jika kita selidiki mereka yang bermasalah ini, kita mendapati berlakunya kepincangan dalam membentuk aspek rohani seawal usia muda lagi, sama ada di rumah mahupun di sekolah. Apakah mungkin, kita mahu melihat generasi berkualiti di masa depan, yang mampu memimpin Negara, mampu membela agama kita, andai aspek pendidikan asas ini tidak dipandang serius pada hari ini? Mengapa perkara sebesar sistem pendidikan bagi umat Islam yang boleh memperkasakan umat Islam ini tidak dikaji dan ddibinccangkan ddi peringkat nasional, atau global seperti OIC? Inilah satu persoalan yang perlu difikir oleh mereka yang punya kesedaran.

0 komen sahabat: