Wednesday, March 4, 2009

Jangan Ganggu Mahasiswa

Merujuk kepada satu tajuk dalam akhbar Utusan yang bertajuk “Jangan Ganggu Mahasiswa” pada 2 Mac yang lepas, saya selaku Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam USM tertarik dengan kenyataan Datuk Ibrahim Ali, ahli Parlimen Pasir Mas ketika menyampaikan ucaptama pada simposium Perdana Mahasiswa Islam Malaysia di Universiti Malaya pada 1mac baru-baru ini.

Menurut Datuk Ibrahim Ali mahasiswa berhak memillih haluan mereka tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir luar dan hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kewibawaan dan membentuk jati diri mahasiswa tersebut.

Berdasarkan hal ini, parti-parti politik sama ada daripada kerajaan mahupun sebaliknya digesa supaya tidak menggaggu atau cuba untuk mendoktrin mana-mana persatuan-persatun mahasiswa di institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Jelasnya, implikasi daripada fenomena ini akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan mahasiswa dan memporak-perandakan perpaduan yang wujud sebelum ini. Adakah ini yang kita mahu lihat? Sudah pasti jawapannya, TIDAK SAMA SEKALI!

Menurut beliau lagi, campur tangan parti-parti politik hanya menjadikan persatuan mahasiswa kaku dan lesu jika dibandingkan dengan persatuan mahasiswa dahulu terutama pada era 70-an.
Jelas beliau, perjuangan persatuan mahasiswa pada eranya tidak berpaksi pada sesiapa kerana mahasiswa ketika itu bukan sahaja tidak sehaluan dengan kerajaan, tetapi juga tidak sehaluan dengan pembangkang. Persatuan-persatuan mahasiswa juga disaran supaya memandang serius mengenai isu antarabangsa selain menjuarai isu-isu dalam negara dan perlu mempunyai'stand' tersendiri serta bersifat neutral.

Di sini, apa yang saya ingin tegaskan ialah mahasiswa mestilah menjadi satu kumpulan yang tidak berpaksikan kepada mana-mana parti politik atau fahaman kerana mahasiswa merupakan satu golongan yang mempunyai idealisme yang tersendiri yang sudah pasti berlainan sama sekali dengan idealisme yang cuba dibawa oleh mana-mana parti politik.

Malah, saya berharap mahasiswa di era globalisasi kini mampu menjadi satu golongan yang menjunjung prinsip cheak and balance kepada segala dasar dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan atau pembangkang di negara yang tercinta ini supaya rakyat dan mahasiswa di negara ini sentiasa terbela nasibnya dan yang terpenting sekali supaya negara kita ini sentiasa berada di landasan keadilan dan kesejahteraan dari sebarang tipu-helah dan kepincangan yang cuba dibuat oleh mana-mana badan parti politik.

Menurut beliau lagi, era globalisisi kini menuntut kepada seluruh umat Islam supaya kembali bersatu-padu dan mengukuhkan tekad perjuangan biar menjadi sangat tajam, fokus dan berwibawa kerana keadaan sekarang amat mencabar kepada agama Islam, dunia Islam dan umat Islam di serata dunia.

Cukuplah awan hitam yang menyelubungi Palestin baru-baru ini menjadi bukti bahawa dunia Islam dan Umat Islam khususnya wajib bersatu-padu kembali di bawah naungan payung aqidah tauhid yang satu. Bukan dinaungi oleh mana-mana idealisme sesat yang dihasilkan oleh musuh-musuh Islam seperti fahaman sekularisme dan tidak mengikut telunjuk pihak yang berkepentingan. Ini kerana, apabila kita berpegang teguh dengan Islam sahajalah kita pasti menemui kemenangan dan kekuatan yang pasti akan menggerunkan musuh umat Islam.

Wallahu a’lam…

0 komen sahabat: