Tuesday, April 21, 2009

Sejarah:kemasukan syirik ke semenanjung arab

Tidak berapa lama Siti Hajar menemui telaga zam-zam yang terbit hasil hentakan anaknya, Ismail a.s, suku pertama yang melalui kawasan lembah makkah itu adalah suku Jurhum. Ketika itu mereka melihat kawanan burung berterbangan ke arah tempat Siti Hajar dan Ismail a.s, mereka sedia maklum kawasan itu (lembah Mekah) adalah kawasan yang kering kontang, dan bumi yang tandus, kedudukan Makkah adalah lembah diantara empat bukit, dua dari empat bukit itu adalah bukit Safa dan Marwah.


Apabila suku Jurhum tiba ke tempat Siti Hajar dan Ismail a.s, mereka yang dikenali memiliki akhlak dan budi pekerti mulia tidak merampas telaga itu, sebaliknya mereka meminta izin dari Siti Hajar, malah mereka rela membayar untuk air itu sekiranya dikhendaki oleh Siti Hajar, akhirnya mereka membina penempatan di lembah itu dan tinggal bersama Siti Hajar dan Ismail a.s.


Apabila Nabi Ibrahim kembali ke situ, didapati telah terbentuk satu masyarakat di situ. Apabila Nabi Ismail meningkat dewasa, maka Allah memerintahkan baginda bersama Ismail a.s membina kembali Kaabah di tapak asal Kaabah mula-mula dibina oleh Adam a.s. Kaabah dibina sejak zaman Adam a.s lagi, kemudiannya runtuh dan terkambus.

Selesai sahaja Kaabah dibina, maka Allah memerintahkan Ibrahim a.s menyeru manusia menziarahi Kaabah, Ibrahim berkata,

“wahai Tuhan! Bagaimana suara aku boleh sampai kepada pendengaran semua manusia?”

Allah menegasskan, tugas Ibrahim hanyalah menyeru, Dialah yang akan menyampaikan kepada manusia. Ibrahim naik ke bukit Arafah dan menyeru manusia seluruh dunia datang menziarahi Kaabah. Dengan kuasa Allah, suara Nabi Ibrahim a.s didengari oleh semua manusia, dan Allah campakkan dalam hati mereka rasa cinta bagi memuliakan Kaabah.

Berbondong-bondong manusia datang ke Kaabah, khususnya dari semenanjung Arab, melakukan ibadat haji di Makkah, mereka menghormati dan memuliakan kaabah. Sejak daripada itu, seluruh bagsa Arab menganut agama Hanif iaitu agama Nabi Ibrahim a.s, iaitu agama yang menyembah hanya satu Tuhan yakni Allah swt.

Syirik masuk ke semenanjung Arab

Apabila Nabi Ismail a.s dewasa, baginda berkahwin dengan suku Jurhum, maka suku Jurhum zuriat Nabi Ismail a.s adalah pemerintah dan ketua Makkah sehinggalah ddatang suku Khuzaah pimpinan Amru bin Lu’ayy. Suku Khuzaah menyerang suku Jurhum dan merampas Makkah. Amru bin Lu’ayy adalah orang pertama memperkenalkan berhala kepada kaumnya. Kerana kedudukan Makkah yang diziarahi setiap tahun oleh setiap suku arab di semenanjung arab ketika itu, maka ajaran menyembah berhala ini tersebar ke seluruh kaum arab.

Amru adalah seorang yang kaya dan dermawan, dia menyediakan segala kemudahan dan keperluan kepada mereka yang datang menunaikan haji di Makkah, maka orang mudah terpengaruh kepada kata-katanya, lantas menurut perintahnya menyembah berhala. Bermula dari itu, setiap suku mempunyai berhala sembahan masing-masing,

Hubal adalah berhala orang Makkah,

Wud berhala suku Kilab,

Suwa’ berhala suku Huzail,

Yaguth berhala suku Thoyyik,

Ya’uq berhala suku Hamazan,

Nasr berhala orang Yaman dan bermacam-macam berhala lagi termasuk Latta dan Uzza.
Meskipun setiap suku memiliki berhala masing-masing, namun semua berhala ini terdapat di Makkah, bagi mereka sembah ketika menunaikan haji setiap tahun. Terdapat dua berhala yang menarik iaitu Isaf dan Nailah.

Menurut ahli sejarah asal Isaf ini seorang pemuda dari Yaman dan Nailah seorang gadis dari Yaman, mereka saling mencintai tetapi tidak dibenarkan berkahwin oleh keluarga mereka. Ringkasnya mereka bertemu di Makkah ketika musim haji. Tanpa disedari ramai mereka melakukan perbuatan zina di tepi Kaabah, sebagai balasan Tuhan menukarkan mereka berdua menjadi batu. Selepas itu, Isaf diletakkan di bukit Safa dan Nailah di bukit Marwah sebagai peengajaran dan poeringatan kepada orang lain.

Apabila datang Amru bin Lu’ayy datang ke Makkah, dia memindahkan kedua-dua batu itu ke Kaabah, lalu menjadikan dua batu itu berhala yang disembah kerana sudah lupa akan asal usul batu itu. Kerana ini jugalah Islam melarang sebarang binaan berbentuk makhluk hidup kerana mungkin menjadi sembahan manusia kelak, kecuali binaan itu merupakan sembahan agama lain, ini kerana Islam tidak menyekat hak agama lain, malah haram bagi pemerintah Muslim merobohkan binaan-binaan yang menjadi sembahan agama lain.

Berbalik kepada semenanjung arab, ketika ini, berhala mula menjadi sembahan suku-suku Arab, mereka menyamakan Allah dengan berhala-berhala ini, mereka mula melupai akan ajaran Ibrahim a.s iaitu menyembah Allah, satu-satunya tuhan.


Rujukan: Biografi Muhammad Bin Abdullah, karangan Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusoff & Prof. Madya Dr. Noor Naemah Abd. Rahman

0 komen sahabat: